Jangan Campur Aduk Isu Asas Agama dengan Kira-kira Politik

1. Kekeliruan dalam meletakkan letak duduk sesuatu isu boleh mengundang kesalahfahaman yang besar di dalam masyarakat, apatah lagi jika ia melibatkan perkara asas dalam beragama.

2. Kemungkaran adalah mungkar walau sesiapa pun yang melakukannya. Menyatakan ia adalah mungkar adalah satu perkara asasi, sebelum kita menegah kemungkaran tersebut.

3. Menyatakan kemungkaran suatu perkara termasuk dalam bab ilmu, adapun menegah kemungkaran itu boleh dikatakan dalam bab amal. Apabila seseorang itu mengetahui, baru dia boleh bertindak.

4. Jika seseorang tidak mampu menegah kerana kekangan tertentu, jangan pula jadikan ketidakmampuannya itu adalah satu perkara yang betul. Dia perlu nyatakan ia tetap mungkar, namun untuk menegahnya memerlukan kemampuan pada skala tertentu atau pun ‘fiqh’ yang tertentu seperti menolak kemudaratan yang lebih besar, memikirkan maslahat yang lebih besar dan seumpamanya.

5. Demikianlah perihalnya dalam isu yang melibatkan segala kesalahan dari sudut syariah seperti judi dan arak. Umat Islam perlu bertegas menyatakan ia adalah satu bentuk kesalahan yang merosakkan masyarakat secara keseluruhannya.

6. Allah SWT tidak memperakui keabsahan sebarang bentuk jenayah itu sama ada ia arak ataupun judi, dengan dalil-dalil yang jelas dan tidak dipertikaikan lagi.

7. Seseorang itu tidak boleh dikatakan mempunyai hak untuk melakukan sebarang kesalahan, hatta hak untuk kafir pun tidak boleh disebut ia sebagai hak, ini kerana hak itu berdiri di atas kebenaran dan keadilan, dan mustahil sesuatu kesalahan boleh dikira sebagai kebenaran dan adil kerana sifat sesuatu kesalahan adalah kezaliman.

Allah SWT menyebut : “Jika sekiranya al-haq (kebenaran) itu mengikut hawa nafsu mereka, sudah pasti akan hancurlah segala apa yang ada di langit dan di bumi ini” – Surah Al-Mukminun

8. Jadi dalam isu ini, para pemimpin politik lebih-lebih lagi yang menjunjung nama Islam sebagai perjuangannya perlu sedar dan cakna agar tidak membawa satu bentuk kefahaman yang celaru dalam menterjemahkan Islam dalam peringkat kenegaraan.

9. Saya melihat isu ini bukan sepatutnya ditanggapi dengan perspektif sama ada ‘arak’ itu berhak diminum oleh bukan Islam atau tidak, seperti yang diutarakan oleh seorang pemimpin politik. Sepatutnya ia perlu berdiri atas noktah yang disepakati bahawa ia adalah satu jenayah yang merosakkan, lalu menyatakan langkah yang sewajarnya yang melibatkan kira-kira keuntungan dan kerugian terhadap negara tanpa menyentuh perkara asas dalam syariah.

10. Ia berdasarkan hadis Nabi SAW apabila ada sahabat yang ingin membunuh orang munafiq : “Janganlah hingga ada orang menyatakan bahawa Muhammad itu membunuh sahabatnya”.

Difahami daripada hadis ini, Rasulullah SAW tidak menyatakan bahawa orang munafiq itu tidak layak dibunuh, tetapi baginda SAW melarang untuk munafiq itu dibunuh kerana sebab perkiraan-perkiraan bersifat politikal yang membawa kepada untung rugi pada skala umat Islam yang lebih besar.

Wallahua’lam bissawaab.

Ustaz Ahmad Syamil bin Mohd Esa
Timbalan Setiausaha
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *