Kenyataan RasmiMinda Pengerusi

Perutusan MUIS Sempena Maulidur Rasul 1442 Hijrah

Majlis Ulama ISMA (MUIS) mengucapkan selamat menyambut Maulidur Rasul pada tahun 1442H.

Dalam memperingati bulan kelahiran junjungan besar kita Rasulullah SAW, umat Islam pada hari ini dilanda berbagai kemelut samada secara tempatan atau antarabangsa. Isu terkini umat Islam sekitar kemelut pengiktirafan beberapa negara Arab terhadap negara haram Israel, serta isu karikatur biadab di Perancis yang disokong oleh kerajaan mereka sendiri hinggalah isu dalam negara kita berupa perebutan kuasa politik dan rasuah yang melibatkan penjawat awam dan pihak keselamatan dalam isu-isu penipuan dan seumpamanya.

Sempena memperingati bulan kelahiran baginda SAW, MUIS ingin mengajak agar umat Islam Kembali kepada ajaran baginda SAW yang merupakan ikutan terbaik bagi manusia sejagat. Ia ibarat teguran yang datang daripada Allah SWT pada masa yang tepat dalam melihat kemelut dan musibah yang menimpa umat Islam hari ini.

Sunnah yang ditinggalkan oleh baginda SAW amat besar dan tinggi nilainya. Kita tidak sepatutnya mengecilkan skop sunnah hingga menjadi bahan pelaris di mata masyarakat, hingga kita melupakan sunnah terbesar baginda SAW iaitulah memenangkan agama di atas segala agama-agama lain.

“Dan Dialah yang mengutuskan rasul-Nya dengan hidayah dan agama yang benar, bagi memenangi segala agama-agama yang lain, walaupun ia dibenci oleh golongan kafir” – Surah As-Soff, ayat 9

MUIS menyeru agar umat Islam di Malaysia tidak membesar-besarkan isu-isu khilafiyah yang membawa kepada perdebatan yang berpanjangan, hingga melupakan isu yang disepakati yang cukup banyak dalam membina kesatuan dan kekuatan umat Islam itu sendiri.

Marilah kita bersama-sama mengambil Rasulullah SAW sebagai contoh ikutan yang unggul dan terulung, untuk kita membina semula kegemilangan umat Islam untuk masa akan datang.

Salam Maulidur Rasul 1442 H.

Sahibus Samahah Dato’ Hj Zamri bin Hashim
Pengerusi MUIS

Leave a Reply