DakwahKolumnis

Jangan Berharap Masuk Syurga Jika Tidak Mencintai Baginda SAW !

Pernahkah kita terfikir, mengapa kita perlu mengenal Nabi Muhammad SAW mengingatinya setiap masa, menyayanginya sepenuh jiwa dan mengikut Sunnah baginda SAW?

Sedangkan baginda sudahpun wafat dan tiada lagi di atas muka bumi ini. Tambahan pula, kita tidak pernah bertemu dengannya dan tidak pernah melihat wajahnya. Bagaimana mungkin kita mencintai seseorang yang tidak pernah bersua muka?

Apakah kita benar-benar perlu mencintai manusia bernama Muhammad ini?

Penting sangatkah untuk kita mengenali dan mencintai baginda?

Adakah baginda juga mengenal diri kita? Adakah baginda tahu tentang kewujudan kita?

Jika masih belum kukuh rasa cinta kepada baginda di jiwa, ketahuilah bahawa inilah TIGA sebab utama kenapa kita WAJIB cintakan Nabi!

PERTAMA: Mencintai Nabi menjadi tanda keimanan kita

Tidak beriman seseorang itu jika seseorang itu tidak mencintai Nabi Muhammad SAW. Bahkan cinta kepada baginda adalah cinta yang perlu didahulukan sebelum manusia lain dan merupakan cinta kedua yang datang selepas cinta kepada Allah SWT pencipta kita.

Nabi SAW telah bersabda:

لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ

Maksudnya: “Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga aku lebih dikasihi oleh kamu berbanding dengan anak-anak, kedua ibu bapa dan manusia yang lainnya.” (HR Bukhari dan Muslim)

Imam Bukhari telah meletakkan hadis ini dalam Kitab al-Iman di mana ia mengaitkan kecintaan kepada Rasulullah SAW sebagai tanda keimanan. Ibn Hajar ketika mengulas hadis ini menyatakan, kasih dan cinta kepada Nabi SAW adalah daripada perkara usul (asas) keimanan iaitu menyamai kasih dan cinta kepada Allah SWT.

Penekanan perlu diberikan kepada cinta kepada Allah dan Rasul-Nya kerana manusia secara fitrahnya mencintai dan menyayangi apa yang ada di sekelilingnya termasuklah cinta kepada pasangan, ibu bapa, kaum keluarga, harta benda dan sebagainya.

Dalam sebuah kisah, Saidina Umar al-Khattab pernah mengaku mencintai diri beliau sendiri sebelum mencintai Rasulullah dan perkara ini ditegur oleh baginda.

Berkata Umar kepada Nabi SAW: “Aku mengasihi kamu melebihi kasih aku terhadap segala perkara kecuali (aku lebih mengasihi) diri aku sendiri.”

Lalu Nabi SAW berkata kepada beliau: “Tidak, wahai Umar, sehinggalah aku dikasihi oleh kamu lebih daripada dirimu sendiri.” Maka Umar berkata: “Demi Allah, mulai sekarang, kamu lebih aku kasihi daripada diriku sendiri.” Nabi SAW menyapa: “Sekarang juga wahai Umar”.

Kecintaan kita kepada Allah juga hanya akan sempurna sekiranya kita turut mencintai pesuruh-Nya dan mengikuti jalan yang ditunjuki baginda. Seperti mana dalam firman Allah SWT dalam Surah Ali-Imran ayat 31:

Maksudnya: “Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

KEDUA: Nabi juga mencintai kita umatnya

Sebelum kita berusaha menyatakan cinta dan kasih kepada Rasulullah, baginda terlebih dahulu telah mengungkapkan cinta dan kasihnya kepada umat. Malah, baginda rindu untuk bertemu dengan kita iaitu umatnya.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersama sahabatnya pergi ke kawasan perkuburan Baqi’ dan bersabda yang bermaksud: “Sejahtera ke atas kamu (penghuni) negeri orang-orang yang beriman. Sesungguhnya kami dengan kehendak Allah akan menyusuli kamu. Amat ingin di hatiku seandainya dapat kita melihat SAUDARA-SAUDARA (ikhwan)  kita.”

Sahabat Baginda yang mendengar ketika itu bertanya: “Apakah kami ini bukan saudara-saudaramu ya Rasulullah?” Baginda SAW menjawab: “Kamu semua adalah sahabat-sahabatku. Sedangkan saudara-saudara kita adalah (orang-orang Mukmin) yang belum muncul (iaitu orang-orang beriman tanpa pernah melihat Rasulullah SAW).” (HR Muslim, Ibn Majah, an-Nasa’ie dan Imam Malik).

Subhanallah, kitalah orang-orang yang belum muncul ketika itu dan tidak pernah melihat Rasulullah di depan mata. Kitalah saudara-saudara yang dimaksudkan baginda. Apa yang telah diungkapkan baginda menunjukkan rasa rindu kepada kita, namun adakah pernah terbit rasa rindu pada baginda dalam sudut hati kita?

Ketahuilah bahawa cinta ini bukan cinta yang bertepuk sebelah tangan. Cinta kita hakikatnya berbalas oleh baginda.

Namun, adakah baginda mengenali kita sebagai umatnya? Bukankah terlalu ramai umat manusia di akhir zaman ini? Bagaimana Nabi ingin mengenal kita sebagai umatnya?

Nabi SAW telah bersabda:

إِنَّ أُمَّتِي يُدْعَوْنَ يَوْمَ القِيَامَةِ غُرًّا مُحَجَّلِينَ مِنْ آثَارِ الوُضُوءِ، فَمَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ أَنْ يُطِيلَ غُرَّتَهُ فَلْيَفْعَلْ

Maksudnya: “Sesungguhnya umatku akan dipanggil pada hari Kiamat dengan dahi, tangan dan kaki yang berseri-seri disebabkan daripada kesan-kesan wuduk. Barangsiapa yang mampu daripada kalangan kamu untuk melebihkan dahinya maka lakukanlah ia.” (HR Bukhari dan Muslim).

Syeikh Mustafa al-Bugha berkata ketika memberi komentar terhadap hadis ini dalam Sahih Bukhari menyatakan bahawa makna hadis ini adalah cahaya akan terpancar daripada anggota wuduk orang yang berwuduk pada hari Kiamat. Dan cahaya ini menjadi tanda pengenalan bahawa mereka adalah umat Nabi Muhammad SAW.

Maka, sempurnakanlah wuduk kita setiap kali ingin mengerjakan solat. Kerana ia akan menjadi tanda bahawa kitalah umat Muhammad dan baginda mengenali kita serta memanggil kita berdasarkan cahaya kesan wuduk ini di akhirat.

KETIGA: Kita perlukan Nabi untuk masuk syurga

Kita semua ingin masuk syurga. Tetapi ketahuilah bahawa pintu syurga itu tidak akan terbuka melainkan setelah Nabi tiba terlebih dahulu dan membukakannya.

Rasulullah SAW bersabda: “Aku berjalan sampai ke depan pintu syurga pada Hari Kiamat, kemudian aku mengetuk pintu itu. Lalu dibuka pintu syurga, penjaganya bertanya, “Siapa kamu?”. Rasulullah menjawab, “Aku Muhammad.” Penjaga syurga berkata, “Kerana kamulah aku diarahkan supaya tidak ada seorang pun yang boleh membuka pintu syurga ini sebelum datangnya kamu.” Rasulullah menyebut lagi, “Aku adalah Nabi yang paling ramai pengikut pada Hari Kiamat dan akulah orang pertama sekali akan mengetuk pintu syurga.” (HR Bukhari)

Lihatlah betapa kita sangat memerlukan Nabi untuk masuk syurga. Ini kerana manusia pertama membuka pintu syurga ialah Nabi Muhammad SAW, selepas seluruh manusia dibangkitkan di Padang Mahsyar. Nabi dan umatnya akan menjadi kumpulan pertama yang memasuki syurga dengan mendahului umat nabi-nabi yang terdahulu.

Betapa bertuahnya menjadi umat Nabi Muhammad. Namun, jika Nabi tidak mengenal diri kita sebagai umatnya, mana mungkin kita mendapat syafaat dan pertolongan untuk masuk syurga. Angan-angan masuk syurga hanya tinggal harapan yang tak kesampaian jika kita tidak pernah mengingati Nabi dan tidak mencintai baginda ketika di dunia ini.

Kerana itu, jangan berharap akan syurga jika tidak pernah ada kasih dan cinta serta ingatan kepada baginda SAW. Apatah lagi ingin berada di sisi baginda di dalam syurga selamanya.

Justeru, mari kita menghidupkan rasa cinta dan sayang kepada Nabi kita Muhammad SAW. Cinta ini perlu dibaja dan digembur setiap saat dan ketika. Namun, bagaimanakah caranya?

***

TIGA cara ini pastinya dapat menyuburkan cinta kepada Nabi dan menjadi bukti akan ingatan kita kepada baginda:

PERTAMA: Memperbanyakkan selawat ke atas baginda SAW

Basahkan lidah kita dengan selawat tanda kita mengingati baginda setiap masa. Pada hari Jumaat, gandakanlah lagi selawat kita kerana Nabi bersabda:

أَكْثِرُوا عَلَيَّ مِنَ الصَّلَاةِ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ؛ فَإِنَّ صَلَاةَ أُمَّتِي تُعْرَضُ عَلَيَّ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ، فَمَنْ كَانَ أَكْثَرَهُمْ عَلَيَّ صَلَاةً كَانَ أَقْرَبَهُمْ مِنِّي مَنْزِلَةً

Maksudnya: “Perbanyakkanlah berselawat ke atasku pada setiap hari Jumaat. Sesungguhnya selawat yang dibaca oleh umatku akan dibentangkan kepadaku pada setiap hari Jumaat. Barangsiapa yang paling banyak berselawat ke atasku, maka dia akan berada paling hampir denganku (di dalam Syurga).” (HR al-Baihaqi)

Lafaz selawat yang utama untuk diamalkan antaranya adalah lafaz selawat Ibrahimiyyah yang dibaca ketika tasyahhud akhir. Lafaznya seperti berikut:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ .إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

 اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ .إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

Maksudnya:

“Ya Allah, berilah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad seperti selawat-Mu kepada Ibrahim dan berilah keberkatan kepada Muhammad dan keluarga Muhammad seperti keberkatan-Mu kepada keluarga Ibrahim, di seluruh alam, sesungguhnya Engkaulah Maha Terpuji lagi Maha Mulia.”

KEDUA: Mempelajari sirah atau sejarah hidup baginda

Tak kenal maka tak cinta.

Kerana itu, untuk mencintai baginda, kita perlu mengenali peribadinya dan kisah kehidupannnya. Bacalah kitab-kitab sirah Nabi dan luanagkan sedikit masa dalam jadual kita untuk menghayati sirah baginda. Ajaklah ahli keluarga untuk turut sama membaca kisah hidup baginda. Kini terdapat banyak buku-buku kontemporari yang ditulis oleh sejarawan Islam mahupun dalam bentuk terjemahan.

Sebagai contoh kitab sirah yang boleh dibaca bersama keluarga adalah tulisan Safiur Rahman al-Mubarakfuri yang bertajuk “Ar-Raheeq Al-Makhtum’ atau terjemahannya dalam Bahasa Inggeris “The Sealed Nectar”. Ia juga telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa yang lain di seluruh dunia. Kitab sirah ini telah memenangi hadiah pertama dalam pertandingan menulis biografi Rasulullah yang dianjurkan oleh Liga Muslim Sedunia di Madinah pada tahun 1979. Ia merupakan antara tulisan dan sumbangan yang penting mengenai sejarah hidup Rasulullah.

KETIGA: Mengikuti Sunnah baginda

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya pada (diri) Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula banyak menyebut dan mengingati Allah.” (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Sunnah bermaksud  setiap yang disandarkan kepada Nabi SAW daripada perkataan, perbuatan, taqrir (pengakuan), sifat khuluqiyyah (akhlak), sifat khalqiyyah (penciptaan) dan kehidupan baginda SAW sama ada sebelum perutusan Baginda SAW menjadi rasul”.

Setiap yang yang datang dari Rasulullah adalah Sunnah baginda merangkumi apa yang ada pada Nabi dari segi kecantikan akhlak, perilaku harian, percakapan dan sebagainya. Namun, ramai yang melupakan bahawa Sunnah terbesar nabi adalah memperjuangkan Islam dan menyampaikan dakwah.

Ini kerana sepanjang kehidupan Nabi dipenuhi dengan perjuangan menegakkan agama Islam. Berkembangnya agama Islam ke seluruh Tanah Arab dan ke serata dunia juga adalah kerana para sahabat, tabi’in dan generasi selepasnya amat memahami hakikat sunnah terbesar ini. Dan akhirnya nikmat Islam sampai kepada kita di tanah air ini kerana jasa-jasa mereka.

Justeru, menyebarkan dakwah, melakukan amar ma’ruf nahi mungkar, melawan musuh Islam, serta menegakkan agama dan undang-undang Islam adalah tugas-tugas dalam memperjuangkan agama dan merupakan Sunnah Nabi yang perlu diteruskan.

Maka sebagai bukti cinta pada Rasulullah SAW, marilah kita bersama-sama berazam dan berusaha untuk menjadi pejuang agama yang mulia ini.

Salam Maulidur Rasul 1442 H!  

Ustazah Nur Fatin binti Halil
Timbalan Pengerusi
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply