Peranan Wanita dalam Membangun Peradaban
Banggalah kalian menjadi Ibu !
Menjadi ibu adalah kerjaya terbaik seorang wanita. Hal ini dapat dilihat dengan jelas berdasarkan pemilihan kata ummat yang diambil dari kata ‘Umm’ yang membawa maksud tidak ada ummat tanpa peranan seorang ibu. Sebagaimana hanya perempuan yang boleh melahirkan keturunan, maka secara maknawi, dari rahim wanita pula boleh melahirkan peradaban.
Jika wanita di suatu negeri atau negara berkualiti,maka berkualiti pula generasi ke depan yang akan dihasilkan, jadi secara automatik akan semakin tinggi nilai peradabannya. Bagi muslimah, tugas ini bertambah di bahunya, kerana tugas muslimah bukan sahaja menghadirkan generasi penerus yang bersedia untuk memakmurkan bumi, tetapi juga menyediakan generasi yang mempunyai visi akhirat.
Oleh yang demikian, wajar apabila mereka yang tidak suka dan membenci Islam, mereka ingin menghancurkan Islam, maka mereka akan merosakkan generasi muda. Mereka akan membiarkan generasi muslim dalam keadaan ketakutan, dibiarkan rasa pengecut menguasai diri malah menyuntik rasa tidak peduli pada ummat. Lebih spesifik mereka akan merosakkan wanita muslimah yang muda.
Apabila seorang muslimah itu rosak, maka akan rosaklah dirinya, suaminya dan anak-anak yang lahir darinya. Dengan kata lain, dengan hancurnya anak-anak, maka akan hancurnya sebuah peradaban. Di zaman media sosial yang menjadi gaya moden dalam meluaskan bulatan pengaruh, para wanita tidak terkecuali dalam mempengaruhi pemikiran para pengguna media sosial.
Jadi apabila terjadi kerosakan kepada seorang muslimah yang berpengaruh, maka setiap yang mendengar, melihat, meniru dan menjadikannya sebagai model gaya hidup,maka kerosakan itu akkan berlipat-lipat ganda.
Perjuangan yang melampaui fitrah akan merosakkan !
Sebagaimana yang diketahui umum mengenai ideologi feminis yang menyimpang dari perjuangan asalnya yang ingin mengeluarkan wanita dari penindasan di barat, namun realitinya sekarang gerakan ini dilihat semakin rancak memperjuangkan kesamarataan antara lelaki dan wanita.
Bahkan ingin menjadi ‘superior’ dari lelaki dalam semua aspek termasuk pendidikan, politik, pandangan sosial, aktiviti sosial malah sehingga kepada hukum menjadi Imam solat. Bukan itu sahaja, gerakan ini membina propaganda dan label negatif terhadap wanita yang hanya mengurus rumah tangga berbanding wanita yang bekerjaya di pejabat.
Konotasi ini ditanam dengan lebih ekstrem apabila mengagungkan wanita yang dapat berdikari tanpa perlu kepada pembinaan sebuah institusi keluarga yang dilihat kononnya dengan berkeluarga hanya mengongkong aktiviti wanita dari bebas dan bertindak sesuka hati.Bahkan mereka mengatakan wanita lebih hebat tanpa kehadiran lelaki.
Walaubagaimanapun,setiap manusia mempunyai kecenderungan untuk melestarikan keturunan atau pewaris. Namun, fitrah untuk melestarikan keturunan ini tidak akan terjadi sekiranya lelaki dan wanita tidak memahami peranan dan fitrah masing-masing mengenai tujuan diciptakan.
Justeru, tugas seorang ibu atau wanita itu merupakan tugas peradaban. Hal ini kerana musuh Islam tidak pernah berputus asa dalam mencipta pelbagai strategi demi menghancurkan Islam. Dan teknik yang halus adalah dengan menghancurkan ibunya.
Seorang wanita yang serius tentang visi risalah ini tidak akan menyibukkan diri dengan perkara remeh bersifat keanak-anakan dan melalaikan seperti menghabiskan hari-harinya dengan berlumba menghabiskan siri-siri drama atau bermain aplikasi tik tok dengan menayangkan tubuh tanpa perasaan malu dan pelbagai lagi kelalaian yang disia-siakan tanpa mempersiapkan diri untuk membangun generasi.
Persiapkan dirimu wahai wanita !
Seorang wanita muslimah yang memahami visi membangun peradaban ini tidak akan terpengaruh dan terjerat dengan gaya hidup yang melalaikan. Janganlah kita leka dalam menyambut posisi mulia yang telah Allah anugerahkan kepada sekalian wanita yang beriman. Janganlah kita menyesali sesuatu setelah terlambat. Kita akan sukar memperbaiki atau meminimakan kesilapan , apabila anak-anak kita mula mencari dan merujuk orang-orang yang salah akibat berpunca dari kesilapan kita dalam membuat persediaan yang tidak rapi.
Marilah kita sama-sama merenungi hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Jika seseorang manusia (Islam) meninggal dunia maka terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara, iaitu sedekah yang berterusan, ilmu pengetahuan yang dapat memberi faedah (kepada dirinya atau kepada orang lain) dan anak yang soleh/solehah yang beramal baik dan sentiasa mendoakan kepadanya”.
Menurut perbincangan sebahagian ulama’, anak soleh yag disebutkan di dalam hadis tidak terhad kepada anak hasil hubungan biologi bahkan anak soleh tersebut membawa maksud anak-anak atau generasi yang telah dibentuk melalui ideologi atau pemikiran.
Oleh kerana itu, Allah telah menjawab tohmahan kafir quraisy bahawa nasab rasulullah terputus itu adalah tidak benar seperti di dalam surah Al-Kauthar. Buktinya, sehingga ke hari ini baginda Nabi Muhammad s.a.w mempunyai anak-anak generasi pewaris dakwah yang sangat ramai.
Oleh itu,persoalan penting yang harus diselesaikan adalah bagaimana membangun generasi atau membina pelapis-pelapis kader dakwah yang mampu menyambut dan meneruskan perjuangan Islam ini. Hal ini kerana, Islam membincangkan satu visi yang besar yang kita gelar sebagai ‘will of fire’ atau sebuah garis temu yang tidak pernah berubah dari zaman Nabi Adam sehinggalah kepada rasul yang terakhir iaitu Nabi Muhammad s.a.w.
Tugas ini adalah menyeru manusia kepada mentauhidkan Allah. Visi ini disambung dari satu generasi ke generasi yang seterusnya malahan yang lebih penting lagi, visi ini bukanlah visi dan misi yang bersifat individualistik. Jadi, apabila kita membincangkan isu membawa dakwah kepada seluruh masyarakat dunia, ia adalah urusan keseluruhan kaum muslimin.
Timbul persoalan, bagaimana kita menyebar luaskan dakwah kepada ummat manusia yang sudah mencecah angka berbillion orang? Cara yang lebih efektif adalah kita membangun sebuah keluarga yang baik berlandaskan nilai-nilai Islam. Sebagai wanita, seharusnya kita menyambut misi ini dengan menjadi ibu yang baik, membuat persediaan yang cukup rapi kerana ini adalah tugas yang mulia, berat, hebat dan hanya mampu ditanggung oleh para wanita.
Bukti jelas apabila Allah mengurniakan Rahim kepada para wanita disamping mempunyai naluri kasih sayang dan bentuk kepedulian yang tinggi.
Dapat kita bayangkan, bagaimana apabila muslimah itu dapat menjalankan fitrahnya sebagai seorang ibu yang istimewa bagi anak-anaknya,pengurus rumah, sekaligus isteri yang hebat malahan ikon yang dapat menginspirasikan ramai umat untuk menuju kebaikan.
Bukankah itu tugas yang terlihat jelas mulia di dunia dan akhirat?
Kepentingan tarbiah seorang wanita dalam membangun generasi !
Anak lahirnya seperti sehelai kanvas putih dan ibu bapalah yang mencorak kanvas itu dengan pelbagai warna. Sesungguhnya, peranan ibu bapa dalam membentuk peribadi anak-anak sangat besar dan penting. Jika dicorakkan dengan baik maka baik dan cantiklah kanvas itu, jika dicorakkan secara sambil lewa dan buruk maka begitulah coraknya. Kepentingan ibu bapa dalam penerapan nilai-nilai yang baik sangatlah menjadi keutamaan sehinggakan Rasulullah s.a.w. bersabda, “Tidak dilahirkan anak-anak itu melainkan dalam keadaan fitrah, maka ibu bapanyalah yang mencorak anak itu sama ada menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi”.
Sejarah kita mencatat contoh ibu-ibu yang istimewa.Ibu-ibu yang melahirkan tokoh-tokoh besar ulama Islam. Mereka inilah yang terdepan untuk dijadikan teladan. Antaranya kisah Imam Abdul Qadir Al-Jailani.
Kisah yang sangat masyhur apabila seorang lelaki termakan sebiji epal milik seorang pemilik kebun. Lelaki yang jujur ini mencari dan memohon maaf kepada pemilik kebun berkenaan. Namun, sebagai syarat lelaki tersebut harus bersetuju untuk berkahwin dengan anak perempuannya yang dikatakan seorang tuli, buta dan bisu.
Lelaki tersebut akur dengan syarat yang dikenakan oleh pemilik kebun berkenaan. Namun, apa yang berlaku adalah sesuatu yang mengejutkan apabila wanita yang telah menjadi isterinya itu tidaklah buta, tuli dan bisu.
Apabila dijelaskan oleh ayah kepada wanita tersebut bahawa bisu itu bermaksud anaknya bisu dari menyebut hal-hal yang tidak baik. Tuli pula bermaksud anaknya tuli dari mendengar perkara-perkara yang diharamkan Allah dan buta pula bermaksud buta dari melihat perkara-perkara yang Allah haramkan. Maka, hasil daripada perkahwinan itu lahirnya seorang Imam Abd Qadir Al-Jailani yang cukup terkenal dengan kewarakannya dalam dunia Ilmu dan tasawwuf.
Ia berkait rapat dengan tarbiah atau persediaan seorang wanita dalam membangun generasi. Dapat kita analogikan seperti tanaman. Untuk menanam sesuatu benih yang baik, maka kita memerlukan tanah yang baik,barulah kita akan mendapatkan hasil pohon yang segar dan rimbun.
Jika benihnya baik namun tanahnya beracun atau berpasir,maka tanamannya akan tetap tumbuh namun lama-kelamaan ia akan mati atau pertumbuhannya akan rosak. Ibu itu diibaratkan sebagai tanah. Oleh itu,anak-anak yang baik dilahirkan dari rahim seorang wanita yang baik.
Islam mempunyai impian yang besar dan mempunyai konsep untuk mewujudkan idea yang ingin direalisasikan. Hal inilah yang membezakan Islam dengan ideologi lain yang dicipta oleh manusia. Moga Allah memberi kita kelapangan,taufiq dan hidayah dalam mempersiapkan diri dalam membangun sebuah peradaban.
Wallahu’alam.
Ustazah Abiidah binti Fadzlan Shahidi
Penyelidik
Majlis Ulama ISMA (MUIS)