Hari Malaysia perlu disyukuri dengan neraca Al-Quran

Sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini sepatutnya diraikan dalam kerangka menyelarikan garis kenegaraan ini dengan garis panduan Al-Quran.

Inilah sepatutnya cara kita bersyukur dengan kurniaan Allah SWT, dan janji Allah itu adalah apabila kita bersyukur maka Dia akan tambahkan lagi kurniaan-Nya.

“Sekiranya kamu bersyukur akan Aku tambahkan lagi (kurniaan-Ku), dan sekiranya kamu kufur, maka sesungguhnya azab-Ku amatlah pedih” – Surah Ibrahim, ayat 7

Petanda kesyukuran kita terhadap keamanan dan kestabilan negara ini boleh digambarkan dalam ayat surah Al-Hajj : ayat 41 ;

“Yaitu orang yang apabila Kami kukuhkan kedudukannya di atas muka bumi ini, mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh kepada makruf dan mencegah kemungkaran”

Ada sebahagian ulama mentafsirkan mendirikan solat itu sebagai menegakkan syiar agama, bukan semata-mata dalam ibadah solat. Manakala menyuruh kepada makruf dan mencegah kemungkaran pula bukanlah semata-mata pada perbuatan secara satu per satu, tetapi ia adalah sebuah penegakan institusi yang menjaga negara ini daripada sebarang kerosakan dan kefasadan yang berlaku.

Kita harus melihat isu yang berlaku dalam negara hari ini dalam kerangka yang telah Al-Quran berikan iaitu membina sebuah negara yang berpaksikan ketundukan kepada Allah SWT dalam segala perkara.

Segala saranan dalam Al-Quran hakikatnya adalah terjemahan kepada paksi itu dalam sudut-sudut kehidupan yang tertentu, secara keseluruhannya.

Dalam membina negara yang berpaksikan Al-Quran, umat harus dididik agar kitab Allah ini dijadikan pedoman dalam segenap bidang, dan bukan semata-mata dari sudut tilawah dan hafazan, tetapi juga dari sudut panduan utama yang perlu dicerna dan diterjemah dalam setiap juzuk kehidupan kita.

Isu alkohol, kelab-kelab malam dan pusat perjudian, ancaman terhadap identiti negara seperti agama Islam sebagai agama persekutuan, penggunaan tulisan jawi, pengukuhan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kebobrokan pemimpin politik yang tidak sedar-sedar diri, dan seumpamanya, semuanya itu perlu diberikan kata dua dan ketegasan, bagi memberikan pemahaman bahawa negara ini tidak akan maju ke hadapan sekiranya perkara-perkara ini masih berleluasa di dalam negara kita.

Keterasingan kita daripada mengikut garis panduan Al-Quran ini akan menjadikan kita semakin jauh daripada ajaran Al-Quran, seterusnya menghilangkan jaminan Rasulullah SAW ke atas kita, apabila kita mula untuk tidak berpegang teguh dengan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.

“Aku tinggalkan pada kamu dua perkara, sekiranya kamu berpegang kepadanya kamu tidak akan sesat selepas kematianku, kitab Allah dan sunnahku” – Hadis Sahih Riwayat Imam Malik

Wallahua’lam bissawaab.

Ustaz Ahmad Syamil bin Mohd Esa
Penolong Setiausaha
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 244 access attempts in the last 7 days.