Pedoman dari Kisah Ayyub AS dalam Menghadapi Ujian
Realiti dunia yang sedang berhadapan dengan serangan wabak Covid-19 telah memberi kesan kepada semua lapisan masyarakat. Ada yang diuji dari sudut kesihatan, kematian ahli keluarga, psikologi bahkan ramai yang terjejas sumber pendapatannya dengan keadaan ekonomi semasa. Keadaan ini semestinya memberikan tekanan kepada ramai orang, bahkan banyak usaha telah dibuat oleh kerajaan mahupun badan bukan kerajaan dalam usaha menyediakan masyarakat Malaysia khususnya untuk menghadapi suasana semasa.
Apabila berbicara tentang ujian dan mehnah kehidupan manusia, kita sebagai Muslim sangat beruntung kerana agama kita telah memberikan banyak panduan dan pedoman bagi kita dalam menghadapi situasi sukar kehidupan.
Sesungguhnya kita adalah milik Allah dan hanya kepada-Nya kita kembali. Rasulullah SAW bersabda:
أَشَدُّ النَّاسِ بَلاَءً الأَنْبِيَاءُ ، ثُمَّ الصَّالِحُونَ، ثُمَّ الأَمْثَلُ فَالأَمْثَلُ
Maksudnya: “Manusia yang paling berat ujiannya adalah para nabi, lalu orang-orang soleh dan seterusnya.” (Riwayat al-Nasa’ie (7440) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (9776))
Baginda juga bersabda:
يُبْتَلَى الرَّجُلُ عَلَى حَسَبِ دِينِهِ، فَإِنْ كَانَ فِي دِينِهِ صَلَابَةٌ زِيدَ فِي بَلَائِهِ
Maksudnya: “Seseorang diuji sesuai dengan kadar keagamaannya. Apabila agamanya sedang kuat, maka ujiannya akan ditambah.” (Riwayat Ahmad (1481))
Dalam kita berhadapan dengan kesukaran dan ujian hidup, marilah bersama kita telusuri kisah salah seorang Nabi Allah yang telah dirakamkan kisah ujiannya dalam Surah Al-Anbiya’ Ayat 83-84, iaitu Nabi Ayyub a.s.
Latar belakang Nabi Ayyub a.s:
Terdapat pelbagai khilaf mengenai susur galur Nabi Ayyub a.s. Antara yang rajih yang diriwayatkan oleh Ibnu Ishaq iaitu Nabi Ayyub AS bin ‘Amush bin Zarih bin al-Aish bin Ishaq bin Ibrahim. Dikatakan isterinya Rahmah sebagai wanita solehah daripada keturunan Nabi Allah Yusuf AS.
Para ulama tafsir dan sejarawan berkata: Nabi Ayyub a.s. adalah pemilik harta melimpah dibandingkan dengan orang-orang yang semisal dengannya. Kemudian kenikmatan-kenikmatan itu diambil daripadanya dan beliau diuji dengan pelbagai musibah. Nabi Ayyub a.s diuji dengan penyakit kulit yang sangat teruk selama 18 tahun sehingga dikatakan dagingnya luruh dan jatuh.
Tinggal isterinya sahaja disisi membantu beliau dan berusaha mencari pekerjaan bagi mendapatkan keperluan untuk mereka meneruskan kehidupan. Bahkan tidak ada satu bahagian pun anggota badannya yang sihat kecuali lisan dan hatinya. Beliau sentiasa berzikir kepada Allah swt dengan keduanya. Nabi Ayyub a.s terus bersabar mengharapkan pahala daripada Allah swt. Beliau sentiasa berdoa dan berzikir kepada Allah swt di waktu malam, siang, pagi dan petang hari.
Bahkan doanya telah dirakamkan dalam Al-Quran:
وَأَيُّوبَ إِذْ نَادَىٰ رَبَّهُ أَنِّي مَسَّنِيَ الضُّرُّ
وَأَنتَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ
Maksudnya: Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayyub, ketika ia
berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Sesungguhnya
aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada
segala (yang lain) yang mengasihani”.
Nabi Ayyub a.s mempunyai dua orang saudara. Suatu hari keduanya datang menziarahi Nabi Ayyub a.s. Namun mereka tidak sanggup untuk mendekatinya kerana bau busuk yang sangat menyengat. Mereka berdua berdiri dari jauh.
Salah seorang daripada mereka berkata kepada saudaranya: “Sekiranya Allah mengetahui kebaikan Nabi Ayyub a.s, nescaya Dia tidak akan mengujinya dengan ujian seperti ini.” Nabi Ayyub a.s lalu tersentak mendengar perkataan keduanya, dan inilah pertama kali Baginda tersentak seperti itu.
Baginda lalu berdoa: “Ya Allah, sekiranya Engkau mengetahui bahawa aku tidak pernah bermalam dalam keadaan kenyang. Aku sangat tahu tempat orang-orang yang kelaparan, maka benarkanlah ucapanku ini.”
Daripada rintihan dan doa ini lantas Allah menunjukkan jalan kesembuhan kepada Nabi Ayyub a.s sepertimana dalam firmanNya:
فَاسْتَجَبْنَا لَهُ فَكَشَفْنَا مَا بِهِ مِن ضُرٍّ وَآتَيْنَاهُ أَهْلَهُ وَمِثْلَهُم مَّعَهُمْ رَحْمَةً مِّنْ عِندِنَا وَذِكْرَى لِلْعَابِدِينَ
Maksudnya: Maka Kami perkenankan doa permohonannya, lalu Kami hapuskan penyakit yang menimpanya, serta Kami kurniakan kepadanya: keluarganya, dengan seganda lagi ramainya, sebagai satu rahmat dari Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang-orang yang taat kepada Kami (supaya bersabar dan mendapat balasan baik).
(Surah al-Anbiya’: 84)
Pengajaran Kisah Nabi Ayyub AS yang boleh diambil:
- Dari perspektif mereka yang sedang diuji:
- Menanam keyakinan bahawa setiap ujian yang berlaku adalah takdir Allah swt untuk menguji siapakah hambanya yang benar dan dusta dalam penyaksian keimanannya.
Firman Allah swt: Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta. (Surah Al-Ankabut 29:2-3)
- Memperbanyakkan sangka baik kepada Allah swt dengan mengubah sudut pandang bahawa tidaklah hadirnya ujian melainkan untuk meningkatkan darjat manusia di sisi Allah swt.
Hadis Nabi saw:
مَا يُصِيبُ الْمُؤْمِنَ مِنْ شَوْكَةٍ فَمَا فَوْقَهَا إِلَّا رَفَعَهُ اللَّهُ بِهَا دَرَجَةً ، أَوْ حَطَّ عَنْهُ بِهَا خَطِيئَةً
Tidaklah seorang mukmin terkena duri atau apa yang lebih dari itu melainkan Allah akan mengangkat darjat dengannya. Atau dihapuskan kesalahannya dengannya.” (HR. Bukhari, (5641) dan Muslim, (2573)).
عنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ الْأَنْصَارِيِّ رضي الله عنه قَالَ : سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَبْلَ مَوْتِهِ بِثَلَاثَةِ أَيَّامٍ يَقُولُ :
( لَا يَمُوتَنَّ أَحَدُكُمْ إِلَّا وَهُوَ يُحْسِنُ الظَّنَّ بِاللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ )
“Dari Jabir bin Abdullah Al-Anshori radhiallahu anhu berkata, saya mendengar Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam tiga hari sebelum meninggal dunia bersabda: “Jangan salah seorang diantara kamu meninggal dunia kecuali dia berprasangka baik kepada Allah Azza Wa jalla.” (HR. Muslim, 2877)
- Sentiasa berusaha melakukan amal soleh yang terbaik pada kadar kemampuan walaupun dalam keadaan diuji dan menjauhkan diri daripada maksiat serta perbuatan yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah swt. Pada masa yang sama kita boleh mencontohi uslub(kaedah) doa Nabi Ayyub AS.
Mari kita perhatikan bagaimanakah rintihan seorang yang dalam keadaan sangat terdesak tetapi pada masa yang sama masih menjaga adab bersama Allah swt.
Doa Nabi Ayyub AS: Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani”
Dia menceritakan kesusahannya dan menyebut nama dan Sifat Allah swt iaitu yang Maha Mengasihani tanpa terus meminta untuk dihilangkan penyakitnya. Kita mengetahui bahawa Allah swt Maha Mengetahui dan tidaklah membutuhkan pengetahuan apa yang kita perlukan bahkan apa yang terdetik di hati kita semua dalam pengetahuan Rabbul Izzati. Dengan kita menyebut Sifat-Sifat Allah yang Maha Agung dalam rintihan dan pengharapan kita insyaAllah doa dan pengharapan kita akan dimakbulkan. Tinggal sahaja Allah swt akan memberikan yang terbaik untuk diri kita pada masa dan ketikanya.
2) Dari perspektif ahli keluarga @ orang terdekat yang diuji
- Sabar dan mengharapkan keredhaan Allah swt serta tidak berputus asa dalam mencari penyelesaian bagi ujian yang dihadapi. Sabar adalah perkataan yang mudah disebut tetapi sukar untuk dilaksanakan. Sabar disebut sebanyak 90 kali di dalam Al-Quran antaranya dalam Surah Al Baqarah 2:153 yang bermaksud: ‘Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar’.
Yakinlah! Sekiranya kita atau ahli keluarga terdekat kita sedang diuji, maka Allah swt sedang menyediakan lubuk pahala untuk kita kaut dalam usaha membantu ahli keluarga kita.
3) Dari perspektif sebagai ahli masyarakat
a) Mewujudkan rasa kebersamaan dan persaudaraan sesama masyarakat.
Sentiasa berusaha untuk membantu dan memenuhi keperluan saudara yang lain adalah antara prinsip persaudaraan yang perlu sentiasa disemai.
مَثَلُ الْمُؤْمِنِيْنَ فِى تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ، إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ، تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهْرِ وَالْحُمَّى
Perumpamaan kaum mukminin satu dengan yang lainnya dalam hal saling mencintai, saling menyayangi dan saling berlemah-lembut di antara mereka adalah seperti satu tubuh. Apabila salah satu anggota badan sakit, maka semua anggota badannya juga merasa demam dan tidak boleh tidur. [HR. Bukhari dan Muslim]
- Tidak pesimis dan meletakkan persepsi kepada orang yang diuji
Biasa
kedengaran perbualan dalam masyarakat apabila melihat orang yang ditimpa ujian
bahawa ini adalah disebabkan dosa yang dibuat. Realiti masyarakat ini bukan
sahaja berlaku dewasa ini, bahkan sejak dahulu lagi sepertimana kisah saudara
Nabi Ayyub a.s. Mentaliti ini perlu diubah sekiranya ingin melahirkan
masyarakat yang kuat dan bersatu padu.
Moga pengajaran daripada Kisah Nabi Ayyub ini dapat memberi semangat dan dorongan buat mereka yang sedang diuji!
Rujukan:
- Al-Quran
- Laman Web Rasmi Mufti Wilayah Persekutuan https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2914-al-kafi-979-sakit-nabi-ayyub-as
- Fathul Bari Syarh Shahihil Bukhari, X/438, Kitab al-Adab, bab : 27, no. 6011. Dan Shahîh Muslim Syarh Nawawi, tahqîq: Khalîl Makmûn Syiha, XVI/356, Kitab al-Adab; al-Birr wash-Shilah wa al-Adâb, no. 6529.
- https://almanhaj.or.id/3434-pentingnya-ukhuwwah.html
- Islamqa.info
Ustazah Fadhlin Sakinah Binti Muhd Hussaini
Penyelidik
Majlis Ulama ISMA (MUIS)