Berbaktilah Kepada Ibubapa Walau Tidak Bersua
Hadirnya kita ke dunia yang fana ini adalah satu nikmat yang sangat besar dari Allah S.W.T. Hanya kita yang bertuah daripada ribuan yang berjuang bersama-sama dalam rahim ibu dan akhirnya dipilih Allah untuk lahir ke dunia ini. Kitalah penerus generasi, penerus warisan ibu bapa kita.
Lahirnya kita ke dunia ini sudah pastinya menggembirakan ibu bapa serta ahli keluarga yang ternanti-nanti kehadiran kita. Lahirnya kita ke dunia yang fana ini beserta tanggungjawab ke atas kedua ibu bapa kita. Seperti mana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A:
كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ
Maksudnya: “Tidaklah seorang bayi yang dilahirkan melainkan dalam keadaan fitrah. Maka, kedua orang tuanyalah yang mencorakkannya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.”
Ibu bapa kita mendidik kita dengan penuh tanggungjawab, kasih sayang dan segala usaha dilakukan bagi memastikan kita membesar dengan sempurna dan sihat. Ibu bapa yang baik akan memastikan asas-asas keimanan dipupuk dalam diri setiap anak-anak sedari kecik lagi, memberikan pelajaran dan kehidupan yang terbaik disamping menunjukkan akhlak yang mahmudah kepada anak-anak. Anak-anak adalah cerminan ibu bapanya.
Seiring masa yang berlalu, anak-anak akan meningkat dewasa. Bermula daripada hanya seorang bayi yang hanya tahu menangis, kemudian kita mula belajar merangkak, berjalan, sehingga mampu berlari. Semuanya memerlukan komitmen masa, tenaga dan wang ringgit dari sosok tubuh insan yang digelar “ibu” dan “bapa”.
Daripada tadika, kemudian kita melangkah ke alam sekolah rendah, pergi pula ke sekolah menengah dan berpeluang menyambung pelajaran ke universiti, sudah pastinya bukan sedikit wang ringgit yang ibu bapa habiskan untuk kita. Segala perit jerih mereka terbalas apabila kita berjaya menggenggam segulung ijazah. Tiada apa yang diperlukan daripada ibu bapa, melainkan hanya ucapan syukur kepada yang Maha Esa.
Namun, sedarkah kita, sebagai anak, kita mempunyai tanggungjawab dan amanah yang Allah telah berikan kepada kita. Melalui firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNYA semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar ) sekalipun perkataan “ah” dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)” (Surah al-Isra’: 23)
Jelaslah di sini bahawa tanggungjawab kita sebagai anak sangat besar dan berat. Anak yang baik pasti akan mampu melaksanakan amanah yang telah Allah berikan sejak lebih 1400 tahun dahulu. Sudah pastinya, sebagai ibu bapa, mereka tidak perlukan wang ringgit kita. Mereka hanya mahukan sedikit perhatian dan masa kita untuk diberikan khusus untuk mereka.
Namun, penularan pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia kini termasuk Malaysia, sedikit sebanyak menyukarkan kita untuk bergerak ke mana-mana. Ditambah pula dengan perintah kawalan pergerakan (PKP) di negara kita yang belangsung bermula pertengahan Mac 2020 sehingga kini, lebih menyukarkan kita semua untuk bersilaturrahim dan terhalang untuk merentas negeri dan menziarahi ibu ayah yang berada di kampung.
Ramai juga barangkali di antara kita yang tidak dapat bertemu mata bersama ibu ayah tercinta di kampung. Mungkin sudah hampir tiga bulan atau pun ada yang lebih lama lagi. Perasaan sedih pasti ada, ditambah pula dengan Ramadan dan Syawal yang baru berlalu dan sambutan yang sangat berbeza pada tahun ini. Kerana kebiasaannya, tahun-tahun sudah kita pasti meraikan Ramadan dan Syawal bersama ibu ayah tercinta dan keluarga. Namun, sebagai insan yang beragama Islam, yakinlah dengan firman-Nya:
فَإِنَّ مَعَ ٱلۡعُسۡرِ يُسۡرًا
“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan” (Surah Al-Sharh: 5)
Yakinlah, di setiap masalah dan kesukaran, pasti dan pasti Allah sudah sediakan jalan penyelesaiannya. Tinggal lagi, sebagai hamba-Nya, kita haruslah berikhtiar, berusaha, berdoa dan bertawakal hanya pada-Nya.
Bagi anak-anak yang sudah lama tidak bertemu ibu bapa, beberapa cadangan berikut mungkin boleh mengubat sedikit sebanyak kerinduan kita pada ibu ayah tercinta yang berjauhan di kampung halaman. Juga tanda ingatan, santunan dan kebaktian pada mereka:
- Memanfaatkan teknologi yang ada untuk berhubung melalui video call sekerap mungkin. Bertanya khabar melalui aplikasi seperti WhatsApp, Zoom, Google Meet dan seumpamanya. Jika tiada kemudahan ini, usahakanlah untuk menggunakan talian telefon selular. Mendengar suara ibu ayah tercinta juga boleh mengubat kerinduan walau tidak dapat menatap wajah.
- Mengirimkan duit bulanan atau wang perbelanjaan kepada ibu ayah tercinta. Mungkin ada di antara mereka yang terjejas pendapatannya disebabkan PKP ini. Sebagai anak-anak, kitalah yang paling utama menghulurkan bantuan dan sokongan.
- Mengirimkan hadiah, keperluan dapur dan lain – lain menggunakan khidmat pos atau “runner”. Dengan pelbagai kemudahan yang ada pada masa kini, kita boleh menggembirakan hati mereka
- Meminta bantuan jiran tetangga atau jika ada ahli keluarga lain yang lebih dekat dengan rumah ibu dan ayah untuk melihat keadaan mereka dan mengambil tahu keperluan mereka.
- Sentiasa mendoakan keselamatan dan kesejahteraan buat ibu dan ayah setiap masa. Semoga Allah melindungi mereka daripada virus, penyakit dan apa sahaja mara bahaya.
InsyaAllah, virus dan pandemik ini pasti akan lenyap dari muka bumi ini sedikit masa lagi. Sama-samalah kita berganding bahu memutuskan rangkaian COVID-19 ini agar kita boleh kembali menjalani rutin harian seperti biasa. Jaga jarak dan patuhi segala SOP yang telah disediakan kerana kita sudah hampir menang melawan virus ini. Dan insya-Allah pastinya apabila segalanya selesai, kita akan dapat bertemu semula dengan ibu dan ayah tercinta yang sudah lama tidak bersua.
Ustazah Nuraini Nabilah Binti Adrizal
Penyelidik
Majlis Ulama ISMA (MUIS)