“Ya Allah, sampaikanlah kami kepada Ramadhan”
Dalam kesibukan umat manusia seluruh dunia menghadapi krisis wabak Covid-19 yang mencemaskan ini, sedar tidak sedar bulan Ramadhan yang mulia bakal menjelma tidak lama lagi , iaitu 16 hari sahaja lagi.
Tanpa diduga, ramai manusia yang telah diambil nyawanya akibat terkena wabak ini tanpa sempat bertemu dengan Ramadhan akan datang. Padahal sebelum ini mereka sihat sahaja. Mungkin mereka sendiri tidak menduga akan mati tiba-tiba begini. Terfikir sejenak, sempat kah kita bertemu dengan Ramadhan tahun ini?
Apakah keistimewaan bulan Ramadhan berbanding bulan-bulan lain sehingga kita perlu berasa ternanti-nanti akan ketibaannya dan mengharapkan kita sempat untuk bertemu dengannya?
Apabila tibanya bulan Ramadhan, Rasulullah SAW akan bersabda: “Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan, bulan yang penuh barakah, Allah telah memfardhukan ke atas kamu puasanya, telah dibukakan pintu syurga, dan ditutupkan pintu neraka, dan syaitan-syaitan dibelenggu.
Padanya ada satu bulan yang lebih baik dari seribu bulan, barangsiapa yang terhalang mendapatkankebaikannya, maka sungguh dia terhalang (mendapatkan kebaikan yang banyak).”
(HR. Nasa’I, no. 2106, Ahmad, no. 8769. Dishahihkan oleh Al-Albany dalam Shahih At-Targhib, no. 999)
Rasulullah SAW akan mengungkapkan hadis ini kepada sahabat-sahabatnya sebagai berita gembira dan ucapan tahniah atas kesempatan bertemunya dengan bulan yang mulia ini.
Bagaimana sahabat-sahabat tidak bergembira, apabila mengetahui bahawa pada bulan Ramadhan akan terbukanya pintu syurga seluas luasnya. Orang yang berdosa juga akan bergembira apabila mengetahui bahawa pintu neraka ditutup serapat-rapatnya. Orang mukmin juga akan bergembira apabila mengetahui bahawah syaitan-syaitan yang kuat menggoda manusia akan dibelenggu pada bulan ini.
Rasulullah dan para sahabat bukan hanya mengharap untuk bertemu dengan bulan Ramadhan berikutnya, tetapi ada persediaan yang dilakukan untuk melalui bulan Ramadhan Al-Mubarak ini. Rasulullah SAW telah membuat persediaan dari sudut amali dan rohani untuk menyambut tetamu Agung yang mulia ini.
Persediaan amali:
1. Memperbanyakkan puasa sunat.
Untuk persediaan amali, Rasulullah saw banyak melakukan puasa sunat terutama dalam bulan Sya’ban iaitu sebulan sebelum masuknya bulan Ramadhan. Sehinggakan Aisyah RA meriwayatkan bahawa:
“Nabi SAW tidak pernah berpuasa pada suatu bulan yang lebih banyak dari bulan Sya’ban. Beliau berpuasa pada bulan Sya’ban seluruhnya”.
(Riwayat al-Bukhari (1834))
Usamah bin Zaid, sahabat Rasulullah saw berkata kepada Rasulullah: “Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat engkau banyak berpuasa dalam sebulan melainkan pada bulan Sya’ban”. Rasulullah Saw menjawab : “Bulan Sya’ban adalah bulan yang selalu manusia melalaikannya antara bulan Rejab dan Ramadhan. Dan bulan Sya’ban adalah bulan yang mana kitab amalan diangkat kepada tuhan semesta alam. Maka aku suka jika kitab amalanku diangkat ketika aku sedang berpuasa”.
(Riwayat An-Nasai, 1/322 dalam kitab Al-Amali. Hadith Hasan)
Antara faedah banyak berpuasa sebelum bulan Ramadhan adalah ianya merupakan latihan amali untuk tubuh kita biasa berpuasa agar tidaklah perut dan badan kita terkejut apabila tiba-tiba berpuasa pada bulan Ramadhan nanti.
2. Memperbanyakkan membaca Al-Quran.
Anas bin Malik sahabat Rasulullah saw telah berkata: “Keadaan orang-orang muslim apabila masuknya bulan Sya’ban, mereka akan bersungguh-sungguh membaca Al-Quran dan menekuninya, mereka mengeluarkan zakat harta mereka bagi membantu orang yang susah dan miskin untuk berpuasa pada bulan Ramadhan.
Orang yang biasa membaca Al-Quran dan memperbanyakkan tilawahnya sebelum Ramadhan, nescaya pada bulan Ramadhan dia boleh membacanya dengan lebih banyak dan lancar. Maka tidak mustahil baginya untuk mengkhatamkan 30 juzuk Al-Quran dalam bulan Ramadhan.
Persediaan rohani:
1. Doa
Doa merupakan persediaan rohani dan hati untuk menghadapi bulan Ramadhan. Apabila masuknya bulan Rejab, Rasulullah saw akan berdoa:
“اللهم بارك لنا في رجب وشعبان و بارك لنا في رمضان”
Maksudnya:
“Ya Allah, berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban, dan berkatilah kami di bulan Ramadhan”
(Riwayat Imam Ahmad di dalam Musnadnya)
Ma’la Bin Fadhal berkata: “Dahulu Sahabat Rasulullah berdoa kepada Allah enam bulan sebelum masuk bulan Ramadhan agar Allah sampaikan umur mereka ke bulan yang penuh berkah itu. Kemudian selama enam bulan setelah Ramadhan berlalu, mereka berdoa agar Allah menerima semua amalan ibadah mereka di bulan itu. Di antara doa mereka ialah : Ya Allah, sampaikan aku ke Ramadhan dalam keadaan selamat. Ya Allah, selamatkan aku semasa Ramadhan dan selamatkan amal ibadahku di dalamnya sehingga menjadi amalan yang diterima.”
(HR. at Thabrani: 2/1226).
Di sini kita dapat melihat bahawa Rasulullah dan para sahabat selalu mengharapkan kesempatan untuk bertemu dengan Ramadhan seterusnya. Bagaimana mereka merasakan keistimewaan bulan Ramadhan dan berasa sedih dan rugi jika tidak diberi kesempatan melaluinya lagi.
2. Membaca fadhilat-fadhilat dan kelebihan bulan Ramadhan Al-mubarak.
Rasulullah saw akan sentiasa melafazkan hadis-hadis yang menceritakan keistimewaan bulan Ramadhan kepada para sahabat bermula masuknya bulan Rejab, dan berterusan menceritakannya sehingga masuknya bulan Ramadhan.
Perkara ini memberi keseronokan dan semangat kepada para sahabat dan menjadikan mereka tertunggu-tunggu akan ketibaan bulan Ramadhan yang penuh berkat dan penuh keistimewaan itu.
Bagaimana pula dengan kita? Adakah kita sudah bersedia dan ternanti-nanti kedatangan Tetamu Agung ini?
Atau ada yang masih lalai menikmati tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini dengan pengisian melalaikan? Menghabiskan masa dengan mononton movie-movie yang tidak sempat ditonton sebelum ini? Tidur dan makan yang berlebihan akibat tidak dapat keluar daripada rumah? Banyak menghabiskan masa dengan memegang handphone melayari Facebook, twitter, Instagram, Tik tok, bermain game berjam-jam, lebih lama dari memegang mushaf Al-Quran?
Mudah-mudahan kita semua tidak termasuk di dalam golongan di atas.
Marilah sama-sama kita mengisi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini dengan melakukan aktiviti-aktiviti sebagai persediaan menyambut Ramadhan Al-Mubarakah.
Hidupkan rumah kita dengan ruh keimanan. Antara cadangan aktiviti yang boleh dilakukan sepanjang mengisi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini adalah seperti:
- Mengemas rumah dan menghiasnya untuk menjemput tetamu Agung Ramadhan Al-Mubarak
- Memperbanyakkan tilawah Al-quran
- Menunaikan solat berjemaah bersama
- Membaca dan mendengar bahan bacaan berkenaan kelebihan bulan puasa / kisah sirah di bulan ramadhan dan berkongsikannya kepada ahli rumah.
- Meletakkan target yang nak dicapat pada bulan Ramadhan nanti.
Semoga dengan persediaan yang kita lakukan ini, Allah memberikan lagi kesempatan dan rezeki kepada kita untuk melalui bulan Ramadhan Al-Mubarak dan memperoleh kebaikan daripadanya. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.
Allahumma ballighna Ramadhan.
Ustazah Hasanah binti Khairuddin
Penolong Ketua Wanita
Majlis Ulama ISMA (MUIS)