Fiqh SemasaIlmiahKolumnisSyariah

Dalil syarak tentang perintah kawalan pergerakan

Saya ingin mengupas tentang التأصيل الشرعي pendalilan Syarak tentang kawalan pergerakan bermula daripada semalam untuk membendung penularan wabak covid19.

Perbahasan ulama dalam Ilmu Usul Fiqh, selain dalil-dalil dari Nas Quran dan Sunnah, Ijmak dan Qias terdapat di sana dalil-dalil lain yang dikategorikan sebagai dalil yang tidak disepakati.

Antaranya ialah سد الذرائع sadd Zarai’ iaitu menutup pintu yang membawa kepada kemudharatan dan kerosakan. Contoh Sadd Zarai’ ialah hukum menjual anggur kepada orang yang menjual arak adalah dilarang yakni haram, dan hukum menyewakan rumah kepada orang yang terkenal dengan perniagaan judi adalah haram juga dan seumpamanya.

Walaupun hukum asalnya adalah harus seperti menjual anggur, sewa rumah, namun dengan sangkaan kuat kemungkinan berlaku kemudharatan disebalik perbuatan tersebut maka hukum harus tersebut menjadi haram.

Inilah secara mudahnya memahami Sad Zarai’. Hujah dalil Sadd Zaraie’ ini digunapakai ialah apabila Syarak telah mengharamkan sesuatu mafsadah daripada berlaku tentunya juga Syarak mengharamkan jalan yang menyampaikan kepada mafsadah tersebut. Walaupun dengan hanya sangkaan kuat. Contoh sebegini ini terdapat dalam Nas-nas Quran dan Hadis sendiri.

Misalnya syarak mengharamkan meminum arak walaupun hanya sedikit yang tidak boleh memabukkan dalam kaedah ما أسكر كثيره فقليله حرام. Haramnya ialah kerana ianya boleh membawa kepada memabukkan ketika minum banyak.

Dalam situasi Covid19 ini setelah mendapat nasihat daripada pakar tentang kemudharatan yang sangkaan kuatnya boleh berlaku dengan pergaulan sesama manusia di ketika musim tersebarnya wabak ini, maka ulama boleh menggunakan dalil Sad Zarai’ untuk menutup pintu yang membawa kepada kemudharatan ini. Iaitu kematian yang makin bertambah di sebalik wabak ini yang menjadi salah satu daripada Maqasid Syariah iaitu menjaga nyawa.

Walaupun ianya hanya sangakaan bukan kepastian apabila seseorang itu pergi menunaikan solat boleh terkena penyakit, tetapi dengan sangkaan kuat inilah hukum boleh dikeluarkan. Dan hukumnya sama seperti hukum di atas iaitu haram. Namun dipelihara juga Syiar Islam itu dengan laungan azan dan 2, 3 orang pegawai masjid menunaikannya dengan waktu yang terhad.

Selain itu juga, Perbahasan ulama dalam ilmu Usul Fiqh meletakkan hukum taklifi hanya ada 5. Wajib, Sunat, Harus, Makruh, Dan haram. Dan dalam perbahasan Wajib pula terdapat suatu bab berkaitan dengan مقدمة الواجب Muqaddimah al-Wajib iaitu jalan menyampaikan kepada wajib. Ada juga yang letaknya di bawah perbasahasan الأمر yakni perintah.

Kesimpulan perbahasan ini ialah muqaddimah kepada semua perbuatan jika menyampaikan kepada sesuatu yang haram misalnya, maka muqaddimahnya atau jalannya yang menyampaikan kepada itu itu juga adalah haram.

Dalam bab Muqaddimah al-Wajib pula Ada beberapa pecahan. Ada yang luar dari kekuasaan mukallaf seperti mencukupkan nisab untuk mengeluarkan zakat. Ada yang dalam kekuasaan mukallaf seperti berjalan kaki untuk menunaikan Solat Jumaat. Yang dalam kekuasaan mukallaf inilah termasuk dalam ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب. Perkara yang hanya dengannya tertunai wajib maka, perkara tersebut turut menjadi wajib.

Dalam situasi negara yang getir setakat ini, wajib bagi kerajaan yang ada untuk menjaga nyawa rakyat. Apabila punca masalah datang daripada wabak yang tersebar dengan cara interaksi sesama manusia boleh yang akhirnya boleh menyebabkan kematian, maka hukumnya ialah larangan atau menghadkan interaksi dengan cara mengarahkan semua rakyat untuk berada di dalam rumah masing-masing kecuali ada keperluan untuk keluar seperti membeli makanan misalnya.

Larangan di sini menjadi suatu kewajipan untuk diikuti oleh rakyat. Penguatkuasaan perlu dengan polis untuk memastikan perkara ini terlaksana.

Tetapi ingat, jika anda melanggar, anda meningalkan suatu yang wajib dan hukumnya adalah berdosa. Sebaliknya dapat pahala bila melaksanakannya. Ayuhlah sama-sama kita menjaga nyawa kita.

Wallahuallam. Semoga bermanfaat.

Dr Muhammad Ikram bin Abu Hassan
Penyelidik
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *