Covid-19 : Peringatan Allah dari surah Al-Alaq
Sekarang ini, seluruh negara sedang menghadapi krisis yang sangat besar disebabkan oleh virus Korona atau dikenali sebagai Corona Virus Disease 19 (COVID-19). Virus ini telah melumpuhkan pelbagai aspek seperti ekonomi dan kesihatan, tidak kiralah negara itu maju, membangun ataupun negara berpendapatan rendah.
Dengan kes yang semakin meningkat hari demi hari, tidak terkecuali Malaysia, manusia terutama para pemerintah dan pengamal perubatan sibuk mencari solusi yang terbaik untuk menyelesaikan masalah ini.
Dahulu, para saintis sangat yakin dengan ilmunya yang mampu merawat setiap penyakit yang menyerang seperti malaria, influenza, kanser dan sebagainya apabila mereka menemui ubat atau serum yang sesuai. Mereka bangga dengan penyelidikan mereka yang akhirnya membuahkan kejayaan seperti kajian tentang anti-penuaan. Mereka juga bangga mencipta robot seakan-akan manusia dengan memasukkan cip ke dalamnya.
Kejayaan mereka telah melekakan mereka dan menyebabkan mereka sombong. Mereka sangka bahawa mereka boleh menguasai segalanya sehinggakan mereka lupa ada yang berkuasa. Kejayaan demi kejayaan yang mereka tempa telah melumpuhkan iman mereka dan menyebabkan mereka tidak mempercayai Tuhan yang menciptakan mereka.
Bukan sekadar para saintis, pakar ekonomi dan para ahli politik juga bangga dengan usaha mereka yang berhasil. Tetapi, kemunculan virus Korona ini telah menyebabkan mereka semua menemui jalan buntu. Kejayaan mereka selama ini seolah-olah tiada makna.
Tiada ubat buat masa ini yang dapat melawan Korona daripada terus menyerang. Ekonomi dunia semakin menjunam jatuh dan politik negara tidak stabil. Industri minyak yang dulunya menjadi rebutan negara-negara, akhirnya jatuh nilai. Masyarakat yang bebas melakukan aktiviti harian, akhirnya disekat dan dikurung seperti yang berlaku di Itali.
Semuanya berpunca daripada makhluk halus Korona. Kita tidak dapat melihat secara mata kasar, tetapi kesannya mengharu-birukan dunia. Kemudian, mulalah kita semua bermuhasabah dengan apa yang kita lakukan.
Kemajuan teknologi menyebabkan kita semua lemas dengan kenikmatan dunia. Kita lupa ada yang memerhati. Kita lupa ada Allah yang maha berkuasa menentukan segalanya. Jadi, apabila ditimpa musibah, barulah kita tersedar daripada lena yang lama.
Sebenarnya Allah telah ingatkan kita perkara ini dalam ayat 6 dan 7 dalam Surah al-Alaq,
كَلّا إِنَّ الإِنسانَ لَيَطغىٰ
Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas”
أَن رَآهُ استَغنىٰ
“kerana dia melihat dirinya serba cukup”
Ayat 6 dan 7 membetulkan fikrah yang banyak silap yang tertanam di dalam jiwa-jiwa manusia. Hal ini kerana manusia sekarang lebih beriman kepada pemikiran bersandarkan nafsu bukannya pemikiran yang bersandarkan wahyu.
Antara contoh pemikiran menyimpang tersebut ialah :
1. Hidup ini biar diatur sendiri tanpa perlu mengikut agama. Berdasarkan akal fikiran semata dan tidak memerlukan wahyu Allah SWT. Apatah hari ini ada yang berasa kolot apabila mengikut agama.
2. Mereka merasa cukup sekadar berada dalam kehidupan – cukup makan dan pakai, selamat dari bahaya. Bina kehidupan dunia, tanpa teringat untuk bersedia terhadap kehidupan yang kekal abadi (akhirat).
Semoga Allah SWT jauhkan kita dari 2 jenis sangkaan ini.
Soalan: Kita tidak dapat bayangkan bagaimanakah kaum Aad dan kaum-kaum seumpama yang dikatakan melampaui batas itu. Hidup zaman sekarang ini lagi banyak perkara-perkara yang telah melampaui batas cuma, adakah Allah SWT tangguhkan pembalasan sehingga hari akhirat?
Jawapan: Melampaui batas sebab tidak mahu ikut perintah Allah SWT dan Rasul SAW. Lalu Allah SWT hukum kesombongan dan keegoan mereka. Allah tangguh hingga hari akhirat kerana sifat pemurah Allah SWT. Namun, jika Allah SWT berkehendak, tidak mustahil Allah SWT beri kedua-dua balasan di dunia dan akhirat..
Ternyata inilah apa yang kita sedang lalui hari ini.
Ustazah Hayati Mohd Zari
Penyelidik
Majlis Ulama ISMA (MUIS)