Berlaku jujurlah !
Sejak kita dilanda COVID-19, kita dapati terlalu banyak isu penipuan berlaku dikalangan masyarakat. Menyebarkan berita palsu, pesakit yang tidak jujur dalam memberi maklumat kepada doktor, menaikkan harga barang terlalu tinggi, memberi alasan yang tidak benar kepada anggota polis apabila keluar dari rumah semasa perintah kawalan pergerakan dikuatkuasa dan lain-lain lagi. Fenomena seperti ini bukanlah daripada akhlak umat Islam yang sebenar. Sifat tidak jujur seperti ini memberi kesan yang buruk kepada manusia bahkan negara amnya.
Islam amat menitik beratkan sifat jujur dan amanah kepada umatnya, ia melambangkan kesucian diri seorang muslim dan kuatnya rasa pengawasan (ihsan) Allah dalam diri mereka.
Allah menyeru kita untuk menjadi orang yang benar, Firman Allah dalam surah At-Taubah ayat 119:
يأيها الذين
ءامنوا اتقوا الله وكونوا مع الصادقين
“Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu bersama orang-orang yang benar.”
FirmanNya lagi dalam surah Al-Ahzab ayat 70:
ياَيُّهَا الَّذِيْنَ امَنُوا اتَّقُوا اللهَ وَ قُوْلُوْا قَوْلاً سَدِيْدًا.
“Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar.”
Sesungguhnya Allah telah menyediakan syurga sebagai ganjaran terbaik bagi mereka yang meninggalkan kata-kata dusta:
عَنْ اَبِى اُمَامَةَ رض اَنَّ النَّبِيَّ ص قَالَ: اَنَا زَعِيْمٌ بِبَيْتٍ فِى وَسَطِ اْلجَنَّةِ لِمَنْ تَرَكَ اْلكَذِبَ وَ اِنْ كَانَ مَازِحًا.
Dari Abu Umamah RA sesungguhnya Nabi SAW bersabda, “Saya menjamin dengan rumah di tengah surga bagi orang yang meninggalkan dusta meskipun dalam bergurau”. [HR. Baihaqi]
Bahkan Rasulullah SAW wajar menjadi contoh utama dalam hal ini, baginda digelar Al-Amin kerana terkenal dengan sifat jujurnya.
Rasulullah SAW menyatakan bawaha berkata dusta merupakan salah satu ciri orang munafiq:
عَنْ اَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رض قَالَ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ ص يَقُوْلُ: ثَلاَثٌ مَنْ كُنَّ فِيْهِ فَهُوَ مُنَافِقٌ وَ اِنْ صَامَ وَ صَلَّى وَ حَجَّ وَ اعْتَمَرَ، وَ قَالَ اِنّى مُسْلِمٌ. اِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَ اِذَا وَعَدَ اَخْلَفَ وَ اِذَا ائْتُمِنَ خَانَ
Dari Anas bin Malik RA ia berkata : Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Ada tiga perkara yang apabila tiga perkara itu ada padanya maka ia adalah orang munafiq, meskipun ia puasa, shalat, hajji, umrah dan mengatakan, “Sesungguhnya saya orang Islam”, yaitu : 1. Apabila berbicara ia berdusta, 2. Apabila berjanji menyelisihi dan 3. Apabila diberi amanat ia khianat”. [HR. Abu Ya’la]
Berkata dusta bukan sahaja memberi kesan buruk kepada seseorang di dunia, bahkan di akhirat.
عَنِ عَبْدِ اللهِ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ ص: عَلَيْكُمْ بِالصّدْقِ فَاِنَّ الصّدْقَ يَهْدِى اِلىَ اْلبِرّ وَ اِنَّ اْلبِرَّ يَهْدِى اِلىَ اْلجَنَّةِ. وَ مَا يَزَالُ الرَّجُلُ يَصْدُقُ وَ يَتَحَرَّى الصّدْقَ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللهِ صِدّيْقًا. وَ اِيَّاكُمْ وَ اْلكَذِبَ فَاِنَّ اْلكَذِبَ يَهْدِى اِلىَ اْلفُجُوْرِ وَ اِنَّ اْلفُجُوْرَ يَهْدِى اِلىَ النَّارِ. وَ مَا يَزَالُ الرَّجُلُ يَكْذِبُ وَ يَتَحَرَّى اْلكَذِبَ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللهِ كَذَّابًا
Dari ‘Abdullah (bin Mas’ud), ia berkata : Rasulullah SAW bersabda, “Wajib atasmu berlaku jujur, karena sesungguhnya jujur itu membawa kepada kebaikan dan sesungguhnya kebaikan itu membawa ke surga. Dan terus-menerus seseorang berlaku jujur dan memilih kejujuran sehingga dicatat di sisi Allah sebagai orang yang jujur. Dan jauhkanlah dirimu dari dusta, karena sesungguhnya dusta itu membawa kepada kedurhakaan, dan sesungguhnya durhaka itu membawa ke neraka. Dan terus menerus seseorang berdusta dan memilih yang dusta sehingga dicatat di sisi Allah sebagai pendusta”. [HR. Muslim]
Kesimpulan:
Hentikanlah menyebar berita palsu dan menipu orang lain untuk kepentingan diri sendiri, kerana ia mendatangkan keburukan yang lebih banyak. Sesungguhnya kebaikan akan mengiringi setiap perilaku dan akhlak yang baik. Amanah dan jujur lah dalam setiap kata-kata dan tindakan. Semoga dengan sifat jujur kita akan mendatangkan keredha Allah pada kita, dan menghindari kita segala mudharat dan wabak penyakit, insyallah.
Ustazah Zainab Husna binti Hussein
Penyelidik
Majlis Ulama ISMA (MUIS)