Toleransi muslim ada batasnya
Kementerian Pendidikan telah mengeluarkan arahan pada 13 Januari 2020 kepada semua sekolah agar melarang pelajar Islam menyertai pesta Ponggal.
Ini kerana Pesta Ponggal telah diisytiharkan haram oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Mengikut sejarah dan latar belakangnya, Ponggal adalah upacara keagamaan Hindu sebagai menghormati Dewa Matahari iaitu Surya.
Panel Syariah JAKIM telah menyatakan bahawa penyertaan dalam memasak beras dan susu – upacara utama ketika sambutan Ponggal – diharamkan sama sekali untuk umat Islam.
Mufti Wilayah Persekutuan juga telah menegaskan tentang larangan untuk Muslim menyertai upacara Ponggal pada tahun lepas: https://www.indahnyaislam.my/…/orang-islam-dilarang-menyer…/
Dalam Islam, toleransi wujud dalam konsep tasamuh dan rahmah tetapi ada batasannya. Toleransi dalam Islam mengandungi hormat tetapi tidak meleburkan keyakinan dan kepercayaan kepada Allah, juga tidak mencampur-adukkan ritual ibadah agama lain.
Konsep toleransi dalam Islam juga sangat tegas. Umat Islam wajib berpegang pada prinsip “Lakum deenukum wa liya deen” (Surah Al-Kafirun: 6). “Bagimu agamamu dan bagiku agamaku”. Masing-masing berpegang dengan agama masing-masing dan menghormati tanpa sesekali mencairkan prinsip.
Menghormati orang yang berpegang teguh pada prinsip agamanya juga adalah satu bentuk toleransi. Cukup dengan itu kita boleh mencapai keharmonian, tanpa perlu untuk mengajak penganut suatu agama agar turut serta dalam ritual dan upacara agama lain.
Bagi seorang Muslim, sekiranya hingga sampai ke tahap menyambut, meraikan dan menyertai upacara keagamaan bagi agama lain, ia sebenarnya telah mengiktiraf ketuhanan selain Allah yang satu dan perbuatannya boleh termasuk dalam perbuatan mensyirikkan Allah.
Umat Islam tidak sama sekali akan berkompromi dalam isu yang melibatkan aqidah.
Sambutan silang agama dengan memukul rata semua agama juga adalah satu bentuk pluralisme iaitu satu fahaman yang menyatakan bahawa semua agama adalah sama dan ia bertentangan dengan Islam.
Kepada Ramasamy, serta pihak-pihak yang tidak menghormati institusi Islam seperti JAKIM yang telah mengeluarkan arahan untuk menjaga aqidah dan keimanan umat Islam di Malaysia agar tidak menyertai upacara seumpama Ponggal ini, andalah yang sebenarnya tidak mempunyai toleransi kerana memaksakan orang lain untuk mengikut agama anda.
Sebagai seorang rakyat Malaysia yang berpegang pada Rukun Negara “Keluhuran Perlembagaan”, hormatilah juga kedudukan agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan, sepertimana yang termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. Oleh kerana Islam ialah agama bagi Persekutuan, sebarang perkara yang tidak selari dengan agama bagi Persekutuan itu hendaklah dianggap tidak berperlembagaan dan melanggar perlembagaan itu sendiri.
Selama ini, penganut agama lain tidak pernah dipaksa untuk menyertai ibadah Muslim seperti upacara korban ketika Aidiladha, berpuasa di bulan Ramadan dan sebagainya.
Hakikatnya kita telah lama saling hormat-menghormati dalam amalan dan pegangan masing-masing. Oleh itu, kekalkanlah keharmonian ini dan janganlah cemarinya.
Ustazah Nur Fatin binti Halil
Naib Pengerusi 3
Majlis Ulama ISMA (MUIS)