Izzah dalam dakwah, berkenaan isu Perayaan Ponggal
Isu Perayaan Ponggal masih belum tamat riwayatnya. Walaupun perayaan ponggal dah berlalu. Dah jadi macam raya puasa sebulan. Mungkin juga kerana tabiat cerita india yang sentiasa ada babak-babak menarik di dalamnya sehingga ke penghujung menyebabkan ramai peminat.
Namun bagi pandangan saya, sebabnya adalah kerana ada orang Islam yang sanggup gadai agama sendiri untuk mencari keredhaan bukan Islam atas nama dakwah. Ataupun ada yang tersalah manhaj dalam berdakwah, mencari selain manhaj Islam.
Istilah sailang budaya tidak pernah ada dalam Islam bahkan tiada rujukannya dalam Quran Sunnah. Istilah itu diwujudkan demi mencari habuan dunia. Yang peliknya diwujudkan oleh umat Islam sendiri.! Yang tidak pun terjun dalam medan dakwah bukan Islam. Pendakwah-pendakwah Islam yang terlibat tidak pula mengajak kepada sailang menyailang.
Ketahuilah wahai saudara yang budiman, Rasulullah SAW yang merupakan rahmat bagi sekian alam, tidak pernah mendekati bukan Islam dengan cara sailang budaya. Sebaliknya Izzah terhadap agama Islam itulah yang membuatkan orang bukan Islam bahkan raja-raja empayar dunia Parsi dan Rom mengagumi baginda SAW dan sahabat-sahabat RA. Islam agama yang terang dan keterangan yang ada dalam agama Islam itu sudah memadai untuk orang bukan Islam mendekati Islam sebagai agama fitrah.
Pernah dengarkah saudara, bahawasanya Baginda SAW pernah mengizinkan kepada sahabat Attufail bin Amru Addausi RA untuk balik ke kampung halamannya untuk membakar berhala yang bernama zilkaffain ذي الكفين. Padahal masa itu kaumnya masih menyembah berhala tersebut. Tetapi dengan terbakarnya Zilkaffain semua kaumnya masuk Islam. Kerana terbukti berhala yang mereka sanjung tidak mampu memepertahankan diri sekalipun.
Saya bukanlah menyeru untuk membakar mana-mana berhala ataupun tokong. Keizinan Rasulullah ketika itu kepada Attufail kerana dia ketua kabilahnya dan tugas Baginda SAW menghapus kesyirikan. Berhala itu juga penghalang dan penentang kaum Attufail memeluk Islam. Keizinan Rasulullah itu juga selepas Fathu Makkah di mana berhala-berhala di keliling ka’abah diruntuhkan. apa yang dapat kita pelajari ialah , Mana-mana ajaran atau fahaman yang mementang Islam dan menghalang masyarakatnya memeluk Islam mesti dihapuskan. Dan lambang-lambang kesyirikan yang jelas nyata perlu ditumbangkan.
Namun saya menyeru, berpeganglah kepada ajaran Islam jika ingin berdakwah kepada bukan Islam. Mereka menantikan sinar hidayah Allah yang akan datang dengan para pendakwah dan umat Islam berpegang dengan Islam. Hidayah Allah tidak sama sekali bersama dengan orang yang melanggar arahan Allah.
Ayuh, Kembalilah kepada ajaran Islam nescaya kita jadi orang yang mulia.
Allah SWT berfirman:
وَلِلَّهِ الْعِزَّةُ وَلِرَسُولِهِ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَلَٰكِنَّ الْمُنَافِقِينَ لَا يَعْلَمُونَ
Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi RasulNya serta bagi orang-orang yang beriman; akan tetapi golongan yang munafik itu tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
Akhirnya saya menyeru umat Islam bersatu padu dalam isu ini iaitu kita menolak penyertaan umat Islam bahkan anak-anak di sekolah dalam apa jua perayaan agama bukan Islam selari dengan fatwa JAKIM yang bertentangan dengan kefahaman sebahagian ahli politik.
Wallahuallam.
Ustaz Muhammad Ikram bin Abu Hassan
Penyelidik
Majlis Ulama ISMA (MUIS)