Isu abu mayat Chin Peng adalah isu pengkhianatan kepada negara
1. Mudah cerita, bagi saya isu abu mayat Chin Peng yang dibawa balik adalah satu simptom dan petanda bahawa wujudnya konspirasi pihak-pihak tertentu dalam mengkhianati kedaulatan negara kita yang tercinta, Malaysia.
2. Dalam fiqh, ia boleh dikategorikan sebagai konspirasi melakukan ‘al-baghy’, iaitu suatu usaha dalam menggulingkan kepimpinan negara, tetapi dalam konteks ini, ia bukan sekadar itu, tetapi ia adalah usaha untuk menggulingkan ‘konsep kenegaraan’ Malaysia kepada satu bentuk yang lain.
3. Mana-mana yang bersekongkol dengan mereka, mempunyai salah satu daripada sifat ‘bughah’.
4. Dalam fiqh, syarat bagi sesebuah kelompok layak digelar ‘bughah’ adalah :
1. Memiliki syaukah dan kekuatan (termasuk padanya persenjataan dan kelompok yang ramai)
2. Mempunyai satu pandangan (pemikiran) yang bertentangan dengan pemerintah (ta’wil yang dibenarkan)
3. Mempunyai pemimpin yang ditaati
4. Keluar daripada ketaatan pemimpin
5. Sekiranya ada syarat-syarat yang tidak lengkap, ia boleh dikategorikan dalam al-hirabah, yakni suatu jenayah yang dikategorikan sebagai pengkhianatan kepada negara dan mempunyai undang-undang khusus, tertakluk kepada pemerintah semasa untuk menentukannya.
6. Siapa-siapa yang terlibat dengannya, sama ada menyokong atau bersekongkol sekali untuk menaikkan mereka, maka dikhuatiri akan terpalit padanya jenayah al-hirabah dan al-baghy tersebut. Jika pun mungkin terlepas di dunia, namun di akhirat Allah janjikan azab yang pedih.
7. Bagi mereka-mereka yang terlibat, mungkin hukuman selayaknya pada hari ini paling kurang adalah dibuang negara dan kerakyatannya, kerana mereka tidak memberikan taat setia kepada identiti kebangsaan dan tidak menghormati jatidiri tanah air yang berpaksikan Islam dan Melayu sebagai tonggak kenegaraan.
8. Kalau mahu jadi komunis, pergilah ke negara komunis. Ini negara Malaysia.
Wallahua’lam.
Ahmad Syamil bin Mohd Esa
Penolong Setiausaha
Majlis Ulama’ ISMA (MUIS)