Mufti Pahang: LGBT perlu dicegah dengan penguatkuasaan undang-undang
KUANTAN – Tiada perbincangan mahupun kompromi seharusnya diberikan kepada golongan lesbian, gay, bisexual, transgender (LGBT) di negara ini kerana ia jelas menentang hukum Allah dan fitrah manusia.
Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata LGBT adalah perlakuan yang menyalahi hukum syarak dan sebagai sebuah negara Islam, ia wajar dicegah serta dibendung daripada terus menjadi wabak dalam masyarakat.
“Kita perlu menentangnya…tetapi secara bijaksana. Jika kita ada kuasa untuk mencegah (menteri, kerajaan) ia lagi mudah dilakukan melalui penguatkuasaan undang-undang…bukan berusaha memahami mereka pula,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan pertemuan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa bersama aktivis transgender beberapa hari lepas.
Abdul Rahman berkata pertemuan dan perbincangan itu tidak harus dilakukan kerana ia akan menggalakkan golongan LGBT untuk mendapatkan pengiktirafan di negara ini.
“Perbincangan hanya boleh dilakukan jika golongan tersebut mahu pulang ke pangkal jalan…bukan bincang apa (hak) yang mereka mahu tuntut sedangkan mereka langsung tidak berhak menuntut apa-apa.
“Perbuatan mereka juga akan memesongkan akidah seluruh masyarakat Islam kerana mahu perbuatan mereka diterima, malah diberi ruang untuk menjalani kehidupan ‘sama’ sedangkan jelas mereka menentang Allah SWT,” katanya. – Bernama