Kita ketandusan pemimpin berjiwa Ummah
Bagi kita yang mengkaji sejarah Islam pastilah telah memiliki pandangan positif tentang betapa sempurnanya ajaran agama ini hingga mampu menampilkan sejumlah pemimpin yang hebat. Di antara para sahabat besar seperti Abu Bakar As Siddiq, Umar bin Khatthab, Uthman bin Affan, dan Ali bin Abu Thalib ditambah lagi dengan para tabi’in yang pernah menjadi pemimpin di kalangan umat Islam.
Bila mengenang kembali corak kepimpinan mereka , maka ia menumbuhkan kerinduan agar kembali hadir tokoh-tokoh kepemimpinan seperti mereka. Kepemimpinan mereka sepatutnya menjadi contoh kepimpinan masa hadapan dan menjadi senarai semak dalam pemilihan pemimpin.
Abu Bakar Pemimpin Yang Waraa’
Dalam satu ucapan, dengan lantangnya beliau mengungkapkan “Orang yang kalian nilai kuat, sebenarnya ku anggap lemah. Adapun yang kalian pandang lemah adalah orang yang kuat dalam pandanganku.”
Inilah ucapan yang menggambarkan keberanian dan keadilan beliau sebagai pemimpin. Tidak membuka peluang untuk berkongsi dengan orang yang ada kekuatan. Akan tetapi, lebih memilih untuk menjadi penguat bagi mereka yang lemah. Kekuasaan tidak digunakan untuk menguntungkan orang-orang dekat sebaliknya rakyat kecil dibela.
Bahkan beliau tegas mengangkat pedang untuk memerangi mereka yang telah murtad, mereka enggan menjalankan perintah Allah dengan menyebarkan kesesatan, dan yang tidak mahu mengeluarkan zakat. Penyimpangan iman pasca wafatnya Rasulullah ini telah menggerakkan Abu Bakar untuk membentuk 11 unit pasukan perang untuk memerangi para pelakunya. Apa yang pernah dikatakan dan dilakukan Abu Bakar sebagai pemimpin adalah sebuah komitmen imaniyah antara Allah, dirinya dan umat yang dipimpinnya ketika sudah diangkat sebagai khalifah. Segala janji dalam ucapan sulung beliau dikotakan walaupun singkat zaman pemerintahan beliau.
“Dan penuhilah janji, sesungguhnya janji itu pasti dimintai pertanggungjawabannya.” (Qs. al-Isra`: 34)
Umar al Khatthab, Khalifah Berani yang gemar turun padang
Keberanian dan ketegasan Umar al Khattab menyebabkan syaitan menjauhi dari jalan yang akan dilaluinya tidak menghalang Baginda begitu mudah menitiskan air mata jika ada rakyatnya yang kelaparan. Dia tidak akan nyenyak tidur hingga memastikan perut-perut rakyatnya telah terisi makanan. Suatu ketika, Khalifah Umar bertemu seorang ibu yang memasak batu hanya untuk menghibur anak-anaknya yang menangis kelaparan karena tidak lagi memiliki makanan. Pada saat itu juga, Umar sendirilah yang memikul sekarung gandum yang diambil dari gudang Negara. Baginda sangat merahsiakan kerja amalnya ini. Setidak-tidaknya pemimpin akan datang , janganlah sampai menunggu kilauan cahaya kamera wartawan untuk memulakan pemberian bantuan.
Amat jarang kita menemui pemimpin di kalangan Islam yang memiliki gaya kepimpinan hebat seperti Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang mematikan lilin istana ketika berbincang dengan anaknya karena tidak patut bagi seorang Khalifah menikmati cahaya lilin yang dibeli dari wang rakyat untuk menyelesaikan masalah keluarganya. Ketika baginda berkuasa tidak lagi ditemui penerima zakat. Penurunan statistik kemiskinan yang cukup drastik menjadi indikator berjayanya baginda mengurus ekonomi negara.
Said bin Amir al-Jumahi seorang Gabenor Syam atau Hims di zaman khalifah Umar bin Khatthab juga patut diteladani. Ketika Khalifah melantiknya sebagai gabenor, Said mempunyai persepsi tersendiri terhadap jawatan ini. Bukan ungkapan kegirangan atau ucapan terima kasih. Namun seperti orang yang tertimpa musibah dia menolak amanah itu dan berkata, “Demi Allah, jangan tuan timpakan fitnah kepadaku dan jangan kau kalungkan amanah ini di leherku, jangan wahai Umar!”
Khalifah Umar kemudian menjawab, “Kamu semua pindahkan seluruh urusan ke bahuku. Apakah kamu semua akan biarkan aku sendirian menanggung beban ini?” Lantaran jawaban Umar itulah akhirnya dengan terpaksa Said pergi ke Hims untuk menjadi Gabenor, namun namanyalah juga yang tertera sebagai salah satu penduduk termiskin di negeri yang dipimpinnya sendiri.
Tokoh seterusnya yang patut untuk dikenang adalah panglima kaum muslimin, Salahuddin al-Ayyubi. Separuh hidupnya diwakafkan untuk membebaskan negeri-negeri muslim dari cengkaman penindas. Beliau pantang menyerah tatkala berada di medan jihad hingga begitu disegani oleh pemimpin-pemimpin dunia pada saat itu. Baginya, tiada sejengkalpun tanah kaum muslimin layak dihinakan oleh siapapun.
Allah menghadirkan begitu banyak kisah-kisah kepemimpinan baik untuk menjadi peta bagi arah berperilaku bagi pemimpin di era kini dan di masa mendatang. Allah ceritakan kisah Fir’aun dan Namrudz di dalam al-Quran tidak untuk diikuti, tapi untuk diambil pelajarannya. Sejarah menghadirkan kisah kepemimpinan hebat yang memenangkan agama Allah agar para pemimpin memiliki banyak pilihan sebagai ikon bagi arah dan perilaku kepemimpinan mereka, juga bagi rakyat memilih pemimpin mereka.
Sohibus Samahah Ust Zamri Hashim
Timbalan Mufti Negeri Perak
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)