KolumnisUtama

Semangat Jihad Menuntut Ilmu

Beberapa hari lagi anak-anak kita akan memulakan sessi persekolahan yang baru untuk meneruskan perjalanan pendidikan mereka seterusnya. Sesebuah negara yang menitik beratkan soal masa depan sudah tentu sangat mengambil berat isu pendidikan generasi yang bakal mengganti generasi sedia ada. Anak-anak ini di samping berbekalkan pakaian yang baru, perlu ditiup semangat baru untuk memulakan sessi pembelajaran yang baru.

Kecemerlangan yang merupakan perkataan keramat bagi ibubapa, guru dan sekolah perlu diistilahkan semula agar kecemerlangan yang diburu tidak tersasar , ataupun termasuk di dalam jerat kecemerlangan versi musuh-musuh Islam. Terangkan kepada anak-anak kita bahawa kecemerlangan yang sebenar ialah cemerlang dunia dan akhirat. Ini disebabkan kehidupan yang kita akan tempuhi tidak terbatas di dunia ini.

Dunia ini adalah medan ujian bagi manusia manakala akhirat adalah medan kita di balas atas prestasi ujian kita. Sehubungan dengan itu di samping mengejar kecemerlangan yang ditandai dengan pencapaian cemerlang di dalam peperiksaan, anak-anak kita juga mesti diingatkan selalu agar juga cemerlang akhlaknya, cemerlang ibadatnya, cemerlang syahsiahnya. Boleh membaca, cekap mengira, mampu berfikir aras tinggi itu adalah sesuatu tanda kejayaan anak-anak kita, namun jika mereka tidak mampu membaca al Quran, gagal menghitung dosa dan pahala dalam tindak tanduk mereka, ini adalah symptom-simptom gagal memahami istilah kecmerlangan dengan betul.

Tanamkan dalam jiwa-jiwa mereka untuk mewakafkan kejayaan akademik mereka nanti untuk Islam dan ummatnya. Biasakan kepada mereka slogan “mumtaz(kecemerlangan) untuk ummah”. Kaitkan dan tunjukkan kepada mereka keadaan umat Islam hari ini dalam keadaan sangat lemah serba serbinya. Keadaan yang lemah ini bukan bertujuan mematahkan semangat mereka tetapi sebaliknya bertujuan untuk membakar semangat untuk mengubah keadaan sedia ada kepada yang lebih baik. Belajar sehingga menjadi pakar di dalam sesuatu bidang dan terus menyumbang untuk kemajuan sejagat serta mengulangi sejarah tokoh-tokoh ilmuan Islam silam.

Umat Islam hari ini sedang menunggu kejayaan mereka untuk merubah hala tuju yang lebih gemilang untuk Islam. Perkembangan mutakhir di dalam negara kita juga menuntut supaya perlu diulang-ulangkan selalu kewajipan menjaga adab antara murid dan guru. Di dalam Islam ada unsur keberkatan di dalam menuntut ilmu.

Oleh kerana itu, memang terbukti di hadapan kita, lahir dari sebuah sekolah, kualiti murid yang berbeza-beza walaupun mempunyai sukatan, buku teks , para guru dan fasiliti sekolah yang sama disebabkan unsur tahap pengetahuan yang berbeza-beza dan unsur keberkatan ilmu yang juga memainkan peranan di dalam perkara ini. Jangan sampai berlaku biadap kepada guru-guru. Jika ada perkara yang tidak memuaskan hati salurkanlah kepada pihak berkenaan melalui saluran yang betul.

Guru-guru adalah manusia-manusia mulia di atas muka bumi ini kerana menghidupkan hati-hati manusia dengan ilmu. Profesion yang sangat mulia ini mestilah dirasai dengan penuh kebanggaan dan dilaksanakan dengan penuh amanah dan kesungguhan. Para guru telah ditakdirkan oleh Allah SWT untuk berkhidmat di “lubuk” pahala yang menjanjikan ganjaran yang berkekalan. Ia adalah amal jariah yang akan dituai hasilnya secara berpanjangan walaupun seorang guru telah dijemput kematian.

Tunjukkanlah contoh keperibadian yang tinggi kepada anak didik. Tugas guru bukan sekadar memindahkan ilmu tetapi menitiskan adab dan akhlak kepada anak murid. Ibu bapa mestilah menjalinkan hubungan baik dengan para guru dan pihak pentadbiran sekolah anak-anak . Persatuan Ibubapa guru hendaklah menjadi jambatan penghubung antara anak-anak, guru-guru dan ibubapa. Akhir tahun 2017 dikusamkan dengan konflik yang berlaku antara guru dan ibubapa sehingga melibatkan mahkamah, polis dan sebagainya. Apa juga permasalahan hendaklah diselesaikan secara perundingan supaya salah sangka tidak berlaku.

Masyarakat sekeliling dengan segala institusinya seperti masjid dan sebagainya boleh turut sama menyumbang dalam proses kemenjadian generasi pewaris ini. Syeikh Fathi Yakan menegaskan bahawa tiga insitusi penting untuk menjamin kemenjadian anak-anak adalah sekolah , rumah dan masjid. Jika ketiga-tiga institusi ini bersama-sama mendidik, memantau dan menjaga anak-anak ini dengan baik maka generasi akan datang adalah generasi yang berkualiti tinggi.

Sohibus Samahah Ust Zamri Hashim
Timbalan Mufti Negeri Perak
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *