KolumnisUtama

Isu solat jemaah di sekolah: Jaga urusan Allah maka urusan dunia kita akan dipermudahkan

1. Ketika perang Uhud, Rasulullah menolak permohonan bbrp remaja Muslim yg ingin turut serta kerana usia mereka kurang dari 15 tahun. Mereka adalah Abdullah ibn Umar, Usamah bin Zaid, Zaid ibn Thabit, al-Barra’ ibn Azib, Usaid ibn Hudair dan Amru ibn Hazm.

2. Menurut al-Imam al-Bayhaqi, Rasulullah membenarkan Samurah ibn Jundub dan Rafi’ bin Khuadaij untuk menyertai perang Uhud kerana usia mereka sudah mencapai 15 tahun iaitu kalau hari ini mereka berada di Tingkatan 3. Persoalannya bagaimana Rasulullah membentuk dan mendidik jiwa remaja sebegini yang melihat dunia dengan ruh Islami?

3. Meneliti beberapa peribadi sahabat, dapat kita fahami bahawa Rasulullah sangat menitik beratkan soal pembangunan jatidiri, mendidik mereka melalui penghayatan iman dan penegasan perihal solat dalam kehidupan mereka.

4. Sebagai contoh bagaimana Rasulullah memuji Abdullah bin Umar sebagai seorang lelaki yang sangat baik. Namun ianya tidak terhenti di situ sahaja. Rasulullah berkata:
(نِعْمَ الرَّجُلُ عَبْدُ اللَّهِ لَوْ كَانَ يُصَلِّي مِنْ اللَّيْلِ)
Maksudnnya: Sebaik-baik lelaki adalah Abdullah sekiranya dia bangun solat malam. Lihatlah betapa Rasulullah sangat menegaskan perkara solat, bukan sahaja solat fardu malah solat malam (qiamullail). Ini jelas bertujuan bagi membangunkan jiwa remaja supaya dekat dengan Allah.

5. Al-Imam Abd Razzaq menukilkan satu kisah dari sahabat Nabi yang pernah menyertai perang Badar. Beliau merekodkan dialog sahabat ini bersama dengan anaknya iaitu:
قال لابنه: أدركت الصلاة معنا؟ قال : نعم ، قال: أدركت التكبيرة الأولى؟ قال: لا. قال: لما فاتك منها خير من مائة ناقة كلها سود العين. والله أعلم.
“Apakah engkau sempat solat berjemaah bersama kami? Anak muda itu menjawab: Ya. Ayahnya bertanya lagi: APakah engkau sempat mendapat ‘Takbir yang Pertama’? Anak mudanya menjawab: Tidak sempat. Ayahnya berkata: Sesungguhnya engkau telah terlepas satu kebaikan yang lebih baik dari serratus ekor unta!
Nah! Lihatlah bagaimana genarasi sahabat mendidik anak tentang solat berjemaah. Bukan sahaja solat berjemaah, malah sahabat ini menekankan akan pentingnya dapat bersama dengan Imam dalam takbir yang pertama.

6. Rasulullah juga pernah menunggang tunggangannya bersama Abdullah ibn Abbas. Ketika itu beliau berpesan kepada Abdullah ibn Abbas:
يَا غُلاَمُ، إِنِّي أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ احْفَظِ اللَّهَ يَحْفَظْكَ
Wahai anak muda! Sekiranya engkau menjaga Allah, Allah akan menjaga engkau! Di sini Rasulullah ingin memberikan kefahaman kepada anak muda ini bahawa sekirnya kita menjaga urusan Allah, Allah akan membantu memudahkan urusan kita.

7. Dewasa ini kita terlalu bimbang dengan urusan dunia sehingga terlupa bahawa, sekiranya urusan Allah kita pelihara, inshAllah urusan dunia kita akan dipermudahkan.

Dr Ahmad Sanusi Azmi
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply