Hamas: Dunia Arab hari ini sepatutnya bersatu menentang Israel, bukan berpecah
GAZA- Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) menyatakan apa yang sepatutnya dilakukan oleh dunia arab hari ini adalah penyatuan umat Islam menentang Israel bukan perpecahan dan pergelutan sesama sendiri yang akhirnya hanya akan memberi keuntungan terhadap zionis tersebut.
“Kami benar-benar berasa sedih terhadap suasana konflik dunia arab hari ini yang akhirnya memecah-belahkan kita semua dan mensia-siakan segala kekuatan yang kita ada” tegas Hamas dalam satu kenyataan di laman sesawang rasmi mereka baru-baru ini.
Dalam kenyataan tersebut, Hamas turut menyatakan bahawa mereka menolak tindakan Arab Saudi, Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain, menyenaraihitam 11 lagi individu dan dua entiti lain, termasuk Kesatuan Ulama Islam Sedunia (IUMS), dalam senarai yang dianggap ‘pengganas’ bagi negara rantau Teluk itu.
“Kalau kita lihat organisasi dan ulama yang dituduh sebagai ‘pengganas’ inilah sebenarnya yang selama ini menyeru dan mendidik umat ke arah kesatuan serta menolak sebarang usaha musuh termasuk projek-projek zionis yang merampas tanah Palestin”
Tambahnya hanya dengan kesatuan umat Islamlah kita dapat memelihara umat ini daripada sebarang bahaya atau segala bentuk ancaman yang bertujuan menghapuskan umat Islam keseluruhannya.
“Pada sudut inilah ulama sepatutnya berperanan dengan menyeru kearah kesatuan dan menolak segala bentuk perpecahan”