KolumnisUtama

Pemuda perlu disediakan bagi memikul pejuangan umat

BARA semangat kenegaraan kembali panas dalam Bulan Kemerdekaan ini. Kemerdekaan negara yang bakal di sambut akhir bulan ini bakal mencecah umur 60 tahun. Satu tempoh yang sepatutnya telah menyelesaikan isu-isu besar hidup bernegara seperti isu perpaduan sesama warganegaranya, isu alat-alat perpaduan seperti bahasa kebangsaan, pendidikan aliran perdana, keadilan sosial dan pembahagian kek ekonomi yang lebih saksama. Isu-isu asas ini sangat penting untuk diselesaikan dengan tuntas supaya ia tidak merencatkan negara untuk terus dipacu kepada hala tuju yang lebih gemilang.

Namun, isu-isu asas ini masih berbaki masalahnya sehingga hari ini. Alasan-alasan ini mewajarkan khususnya generasi muda meneruskan perjuangan untuk agenda yang lebih besar bagi negara ini apabila mereka diserahkan amanah meneraju hala tuju negara ini apabila tiba waktunya.

Generasi muda negara ini mesti mengalir di dalam tubuh mereka darah perjuangan kerana mereka adalah generasi pewaris peneraju negara. Semangat perjuangan yang sentiasa membara sangat perlu untuk mempertahankan sebuah negara dari sebarang anasir yang akan merosakkannya sebagaimana semangat perjuangan sangat penting untuk mencapai matlamat yang dicita-citakan. Semangat perjuangan ini sangat perlu dipupuk untuk mengambil alih penguasaan hawa nafsu yang sering dikaitkan dengan generasi muda.

Agama Islam yang kita yakini kebenarannya, memiliki perhatian sangat besar terhadap pemuda, pemuda hari ini akan penjadi pemimpin-pemimpin di masa yang akan datang. Merekalah yang akan mewarisi tugas-tugas mulia dari para pendahulunya untuk memimpin umat ini.

Dalam kaedah bahasa al Quran , seorang pemuda atau yang disebut “asy-syabab” adalah mereka yang memiliki sifat dan sikap seperti yang tergambar dalam beberapa ayat dalam Al Qur’an. Pemuda mesti memiliki keimanan dan keyakinan yang kuat terhadap agamanya, tidak gentar dengan ancaman, gangguan, dan rintangan yang menghalangnya. Firman Allah : “Maka tidak ada yang beriman kepada Musa, melainkan pemuda-pemuda dari kaumnya (Musa) dalam keadaan takut bahwa Fir’aun dan pemuka-pemuka kaumnya akan menyiksa mereka. Sesungguhnya Fir’aun itu berbuat sewenang-wenang di muka bumi. Dan sesungguhnya dia termasuk orang-orang yang melampaui batas.”(QS Yunus : 83)

Seorang pemuda hendaknya memiliki konsistensi yang tinggi dalam memegang teguh prinsip-prinsip yang telah diyakininya sesuai dengan ajaran agamanya. Pemuda bukanlah seseorang yang dengan mudah teruja oleh indahnya godaan dunia yang hanya akan melunturkan aqidah dan keyakinannya terhadap ajaran agamanya. Ini digambarkan dalam firman Allah : “(Ingatlah) tatkala para pemuda itu mencari tempat berlindung ke dalam gua, lalu mereka berdo’a: “Wahai Tuhan kami, berikanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami (ini).”(QS al Kahfi :10)

Kita sangat menanti-nanti sosok pemuda seperti Nabi Ibrahim AS yang dengan keberaniannya menghancurkan tradisi penyembahan kepada berhala, yang dengan hidayah Allah dia mendahulukan kecintaan kepada Rabb-nya daripada kecintaannya kepada ayahandanya.

Sifat berani menghadapi rintangan dalam melawan kebatilan, tidak takut dengan ancaman dari penguasa. Meskipun banyak orang yang membencinya, jiran tetangga dan saudara sering mencacinya, akan tetapi demi sebuah keyakinan dan prinsip agamanya, ia rela melakukan tindakan yang mungkin dapat mengancam jiwanya. Firman Allah SWT : “Mereka berkata: “Kami dengar ada seorang pemuda yang mencela berhala-berhala ini yang bernama Ibrahim.“(QS al anbiya’ : 60)

Dalam konteks negara Malaysia, para pemuda perlu menghubungkan diri mereka dengan sejarah tanah air yang penuh dengan wira-wira hebat dan kisah-kisah perjuangan mereka membebaskan tanah air ini dari penjajahan barat dan mereka sering mengaitkan perjuangan ini dengan makna jihad.

Keadaan semasa negara ini memerlukan para pemuda yang sanggup berjuang mengekalkan identiti negara ini yang masih mengizinkan Islam dan umat Islam memulakan perjuangan mendaulatkan Islam ke tahap yang lebih sempurna.

Para pemuda mesti disibukkan dengan agenda-agenda perjuangan umat yang lebih besar dan serius supaya mereka tidak terus hanyut dalam kenikmatan yang mereka sangka itulah nikmat yang tertinggi disebabkan kebanyakkan mereka adalah generasi yang lahir di kelilingi kesenangan dan kemudahan.

Maka tidak hairanlah majoriti yang hanya bergembira dan berhibur tatkala menyambut hari kemerdekaan adalah majoritinya golongan pemuda dan remaja sedang di hadapan mereka dengan jarak yang tidak begitu jauh dari mereka segala macam elemen perkara yang melalaikan yang akan mengisi kekosongan jiwa dari roh perjuangan.

Sohibul Fadhilah Ustaz Zamri Hashim

Timbalan Mufti Negeri Perak

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *