Mufti Perlis, cegah kemungkaran bukan setakat status media sosial
Mencegah kemungkaran adalah satu kewajipan bagi seorang muslim saat dia melihatnya. Walaupun ianya adalah fardhu kifayah yang bermaksud akan gugur kewajipan apabila sebahagian yang lain telah mencegahnya namun kita perlu faham selagi mana kemungkaran itu tidak dicegah sepenuhnya maka kewajipan itu masih terletak diatas bahu setiap daripada kita.
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللّهِ
Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman) (Surah Ali Imran: 110)
Benci apabila melihat kemungkaran serta suka mengajak kepada kebaikan (makruf) juga sebenarnya adalah sifat asas yang menjadi keistimewaan kepada umat ini. Ini kerana umat ini bukan sekadar soleh pada peribadinya sahaja tetapi ianya turut mahukan susasana yang ada disekelilingnya turut berada dalam kesolehan dan ketaatan. Hilangnya sifat ini akan menyebabkan hilangnya identiti umat ini.
Atas dasar besarnya tanggungjawab ini, maka Islam telah memberi ruang (rahmat) kepada kita berkenaan cara atau bentuk mencegah kemungkaran tersebut melihat kepada kemampuan seorang muslim itu serta suasana yang dia berada padanya. Tidaklah semua daripada kita diwajibkan menggunakan cara yang satu dalam mencegah kemungkaran.
Daripada Abu Sa’id al-Khudri ( r.a ), beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: “ Barangsiapa di kalangan kamu melihat kemungkaran hendaklah mengubah dengan tangannya, jika tidak mampu, maka dengan lidahnya dan jika tidak mampu, maka dengan hatinya dan demikian itu adalah selemah-lemah iman.” ( Diriwayatkan oleh Musim: al-Iman, hadis no. 40 )
Namun perlu kita faham, bahawa hadis ini tidaklah membawa maksud seseorang itu boleh memilih mana-mana cara mencegah kemungkaran yang dia suka, tetapi perubahan daripada satu peringkat kepada peringkat yang lain adalah melihat kepada “kemampuannya”. Maka jika dia mampu mencegah sesuatu kemungkaran itu menggunakan kuasa (tangan) adalah salah baginya sekadar menggunakan kata-kata (lisan), dia hanya boleh menggunakan kata-kata saat dia tidak mampu mencegah dengan kuasa dan begitulah juga dengan hati.
Sebab itulah Imam Haramain al-Juwaini dalam Ghiyatsul Umam apabila berbicara tentang tanggungjawab pemerintah atau orang yang dilantik pemerintah untuk memelihara agama Islam menyebutnya pada perspektif tindakan iaitu menyekat, menghalang golongan bidaah serta hawa nafsu dan bukan sekadar kepada kenyataan atau memberitahu kepada orang ramai. Ini kerana orang yang mempunyai kuasa perlu bertindak dengan kuasa yang dia ada.
Baru-baru ini tular di media sosial satu status yang dimuat naik oleh Mufti Perlis berkenaan bantahan beliau terhadap penyebaran fahaman yang jelas bertentangan dengan kefahaman asas Islam khususnya dalam hal kefahaman Al-Quran dalam satu majlis anjuran Islamic Renaissance Front (IRF). Secara asasnya saya setuju terhadap nahi mungkar tersebut yang dinyatakan secara umum untuk memberi kesedaran kepada masyarakat.
Namun melihat kedudukan beliau sebagai seorang Mufti iaitu orang yang diberi kuasa oleh pemerintah antaranya untuk memelihara agama Islam daripada sebarang penyelewengan sepatutnya buat lebih daripada itu. Ianya tidak sepatutnya sekadar terhenti pada “lisan” iaitu kenyataan di media sosial tetapi beliau perlu menggunakan “tangan” yang ada padanya bagi mencegah kemungkaran tersebut kerana beliau mempunyai “kemampuan”.
Fahaman Islam Liberal yang dibawa oleh IRF bukanlah perkara baru, bahkan masyarakat umum sendiri telah maklum bagaimana kelompok seperti ini sudah sekian lama secara berterusan membawa fahaman serta orang daripada luar untuk merosakkan kefahaman asas masyarakat muslim di Malaysia. Jadi mencegah kelompok ini tidak cukup sekadar dengan kenyataan, ianya perlu lebih daripada itu seperti diharamkan serta disekat secara terus supaya kefahaman ini tidak tersebar ke dalam masyarakat.
Tindakan Mufti Negeri Selangor yang telah mengeluarkan fatwa akan keharaman fahaman Islam Liberal dan gerakan SIS beberapa tahun yang lalu adalah satu bentuk mencegah kemungkaran secara “tangan” yang sepatutnya dicontohi negeri-negeri lain. Hakikatnya fitnah yang dibawa oleh kelompok ini jauh lebih besar berbanding fitnah berbentuk perbuatan seperti merokok dsb kerana fitnah ini memberi mudharat jauh lebih besar iaitu kesan terhadap tasawwur Islam dikalangan masyarakat kita yang apabila rosaknya kefahaman ini maka akan runtuhlah Islam di tanah air ini.
Kalaulah kita boleh mengeluarkan fatwa dalam isu-isu perbuatan seperti merokok mengapa kita tidak mengeluarkan fatwa untuk perkara lebih besar iaitu memelihara kesucian tasawwur agama ini?
Ust Muhammad Firdaus bin Zalani
Pegawai Majlis Ulama ISMA (MUIS)