KolumnisUtama

Beza Ulama Islam dengan pendeta agama lain

Tiap agama mempunyai ahli-ahli agama masing-masing. Namun kita mesti memahami bahawa ciri ulama Islam berbeza besar dari ahli-ahli agama atau pendeta agama-agama lain.

Perbezaan ini berdasarkan hakikat bahawa hanya Islam sahaja mempunyai sandaran atau rujukan Wahyu berwibawa berupa Al-Quran dan Al-Hadis, sedang agama-agama lain tidak ada sandaran Wahyu yang sahih. Lawan kepada Wahyu, adalah Nafsu.

Dalam agama-agama lain, apabila seseorang telah mencapai tahap atas tertentu sebagai ahli agama, pendeta atau rijaluddin, tanpa rujukan berwibawa, mereka lah satu-satunya sumber hukum. Maka mereka boleh berfatwa tanpa rujukan. Kerana itu apabila berlalu zaman, akidah agama-agama lain lari jauh dari aqidah asal. Sebagai contoh, aqidah Trinity (Tuhan adalah 3 dalam 1) diwartakan dalam Nicene Creed pada tahun 325M oleh First Council of Nicaea sesuka hati mereka tanpa rujukan berwibawa.

Itu ajaran Kristian yang sekurang-kurang nya ada Al-Kitab, walaupun diselewengkan. Cubalah kita bayangkan agama-agama selain Islam yang tidak memiliki kitab rujukan berwibawa. Sudah tentu akan lari jauh dari aqidah asal dengan berlalunya masa.

Adapun dalam Islam, pandangan dan fatwa para ulama nya adalah terikat dan mesti berdasarkan Al-Quran dan Al-Hadis.

Para ulama hanya berperanan menggunakan kebolehan mereka memahami Al-Quran dan Al-Hadis untuk mengeluarkan sesuatu hukum. Menjadi “ulama” dalam Islam, bukan tiket untuk mengeluarkan sebarang hukum tanpa mempunyai sandaran nas dari Al-Quran, Al-Hadis, Al-Ijmak atau Al-Qias mengikut tertib.

Oleh itu, dalam Islam, apabila membaca fatwa atau pandangan ulama, budaya kita adalah melihat dalil-dalil yang dibawa oleh setiap orang dari ulamak tersebut dan menilai sedekat mana tiap seorang mereka mampu berhujah dengan dalil-dalil tersebut (istidlal) untuk mengeluarkan hukum.

Kesimpulan nya, dalam memahami dan merasa tenang atau yakin terhadap sesuatu hukum yang baru dikeluarkan :

(1) Pendeta bukan-Islam lebih melihat kepada taraf sesiapa sahaja pendeta yang mengeluarkan hukum tersebut. Kesimpulannya, lihat kepada orang yang mengeluarkan hukum.

(2) Ulama Islam lebih melihat dalil-dalil Al-Quran dan Al-Hadis yang dibawa dan menilai cara penghujahan dalil-dalil itu (istidlal) oleh sesiapa sahaja ulama yang mengeluarkan hukum. Kesimpulannya, lihat kepada dalil dan cara penghujahan orang yang mengeluarkan hukum.

Ust. Abdul Halim Abdullah

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *