KolumnisUtama

Wan Ji tidak jujur dalam mengambil pandangan Ibnu Abdul al-Bar

MENGIKUTI dengan dekat pendapat Ustaz Wan Ji berkenaan hukum membela anjing baru-baru ini, saya sebagai pelajar ilmu Agama, melihat beliau mengeluarkan pandangannya tidak selari dengan disiplin ilmu Agama yang baik.

Mengelirukan Orang Awam

Ustaz Wan Ji membalas kenyataan JAKIM yang meminta agar wanita yang memelihara anjing itu bertaubat menyebut dalam pos 6 Julai di facebook beliau

Tiada satu Nas dari Quran dan hadis menyatakan haram pegang anjing. Tiada satu pandangan ulama muktabar pun yang mengatakan haram pegang anjing. Yang ada adalah, mazhab Syafie menyatakan perlu basuh apabila menyentuh atau tersentuh anjing dengan tujuh kali basuh, salah satunya dengan air tanah. Saya kira, mendesak agar bertaubat itu tidak tepat, kerana ia tidak melibatkan kepada dosa langsung. Dosa ditentukan oleh wahyu, bukan JAKIM.

Perhatikan Ustaz Wan Ji sebut “tiada satu Nas dari Quran dan hadis menyatakan haram pegang anjing. Tiada satu pandangan ulama muktabar pun yang mengatakan haram pegang anjing” dan sambungannya “Saya kira, mendesak agar bertaubat itu tidak tepat, kerana ia tidak melibatkan kepada dosa langsung. Dosa ditentukan oleh wahyu, bukan JAKIM“.

Ustaz Wan Ji menggabungkan perbincangan pegang anjing dan memelihara anjing dalam satu bakul.

Tan Sri Othman Mustapha sangat jelas dalam kenyataannya “Jakim amat menyesali perbuatan memegang anjing secara sengaja begini tanpa sebarang sebab yang dibenarkan dalam Islam…[Tindakan] ini menimbulkan keresahan di kalangan umat Islam kerana ia bercanggah dengan pegangan mazhab dan ‘uruf [kebiasaan], adat di Malaysia... umat Islam dilarang sengaja menyentuh anjing kerana menajiskan diri tanpa tujuan munasabah… dalam mazhab Syafie, umat Islam tidak dibenarkan untuk menjadikan haiwan tersebut sebagai binatang peliharaan,

Terang di situ menyebut “mazhab Syafiee” dan “binatang peliharaan”. Dan “tidak dibenarkan” di situ tidak dinisbahkan kepada menyentuh tapi “peliharaan”.

  • Mengapa Ustaz Wan Ji mencampuradukkan hukum menyentuh dan memelihara di situ? Bukankah masyarakat akan keliru dan bersangka buruk dengan JAKIM?
  • Adakah JAKIM tidak berhukum dengan wahyu? Ustaz Wan Ji 2011 dahulu kata pelihara anjing haram pakai apa?
  • Mengikut qaul qadim Ustaz Wan Ji 2011 haram maka menyakibatkan berdosa, adakah JAKIM kata perlu bertaubat tidak tepat?

Menegakkan Benang Yang Basah

Dalam pos facebook yang seterusnya Ustaz Wan Ji secara tiba-tiba bawa pula

Mazhab Maliki : Anjing Bukan Najis“.

(Ustaz Wan Ji mungkin mengambil bulat-bulat dari apa yang ditulisnya di blog pada tahun 2014, tapi menaikkannya semula ketika isu sedang panas berlegar dan juga Ustaz Wan Ji telah merespon dan meremehkan JAKIM pada awal isu adalah sesuatu yang boleh diambil kira)

Ustaz Wan Ji menulis “Anjing bukan najis” untuk tatapan orang awam tanpa menerangkan perbezaan antara najis dan haram, sentuh dan pelihara, boleh beri kefahaman dan persepsi yang salah kepada masyarakat dikala isu perselisihannya (محل النزاع) ialah memelihara anjing.

Maka mengambil latar belakang kebingungan masyarakat saat itu dalam soal pelihara dan bukan sentuh Ustaz Wan Ji sepatutnya menulis: “Mazhab Maliki : Memelihara Anjing Haram”.

  • Mengapa Ustaz Wan Ji tidak tulis seperti itu?

Dalam pos seterusnya Ustaz Wan Ji masih mahu menegakkan benang yang kuyup menulis

Bela Anjing Selain Berburu dan Penjagaan Adalah Makruh – Ibn Abd al-Bar

  • Apakah tujuan Ustaz Wan Ji menyebut ke tengah masyarakat Melayu yang sepenuhnya bermazhab Syafiee tentang pendapat Ibnu Abdul al-Bar yang bermazhab Maliki?

Jika pun Ibn Abdul al-Bar yang bermazhab Maliki kata makruh memelihara anjing, pandangan muktamad dalam mazhab Maliki berkata memelihara anjing tanpa tujuan berburu dan tujuan keselamatan adalah haram sama sekali.

  • Keterdesakan apa yang menyebabkan Ustaz Wan Ji mengambil pandangan yang tidak muktamad di dalam mazhab Maliki?
  • Kalau pun mahu menyebut pandangan yang tidak muktamad sebagai pengetahuan bagi orang awam, apakah Ustaz Wan Ji tenang hati tidak menyebut sekali bahawa mazhab Syafiee, Hanbali, Hanafi dan muktamad dalam Maliki mengharamkan bela anjing?

Memilih Dalam Memetik Petikan

Lebih menarik apabila Ustaz Wan Ji dalam pos yang sama membawa perbincangan Ibnu Hajar dalam Syarah Sahih Bukhari:

Sebilangan ulama menyatakan, larangan itu mencegah malaikat masuk dalam rumah, sebilangan lain menyatakan bahawa ia boleh mengganggu jiran tetangga, sebilangan yang lain menyatakan bahawa sebilangan anjing itu adalah syaitan, setengah yang lain menyatakan bahawa kebiasaan anjing di dalam rumah akan memungkinkan jilatan anjing itu terkena pada bekas makanan [Ahmad bin Ali bin Hajar Abu Fadl al-Asqalani al-Syafie (meninggal 852 hijrah), Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, jld 5, hlmn 8, cetakan Dar al-Ma’rifah, Beirut : tarikh : 1379]

Di atas adalah pos Ustaz Wan Ji di facebook yang memetik dari buku Fath al-Bari.

Menarik sekali, berikut adalah perbincangan yang tidak diambil Ustaz Wan Ji dari muka surat yang sama dengan potongan petikan yang telah diambil olehnya di atas.

Ibnu Hajar membincangkan pandangan Ibnu Abdul al-Bar:

Ibnu Hajar menukilkan “Telah berkata Ibnu Abdul al-Bar ; dalam hadis ini ada keharusan mengambil anjing-anjing untuk memburu, berjalan dan begitu juga dalam bercucuk tanam untuk menambah penjagaan، dan tegahan mengambilnya untuk selain dari itu. Adapun selain dari masuk dalam makna buru atau selainnya yang telah disebutkan pengambilannya demi untuk peroleh manfaat dan mengelak mudarat, maka tidak lain dan tidak bukan makruh mengambilnya tanpa keperluan kerana ia menakutkan manusia dan mengelak dari malaikat masuk ke rumah yang mereka (anjing-anjing) itu berada. Katanya, dan bentuk hadis itu pada saya, sesungguhnya erti pengabdian tentang anjing-anjing dengan membasuh bekas-bekas sebanyak tujuh kali tetap perlu dilakukan oleh seorang mukallaf dan tidak berhati-hati dengan itu (basuh tujuh kali) memungkinkan masuknya dia ke dalam masalah hilangnya ganjarannya

Ibnu Abdul al-Bar sambung “Dan di dalam sabda Nabi S.A.W. {berkurang amalannya} iaitu dari ganjarannya menunjukkan pengambilannya (anjing) adalah tidak haram. Kerana sekiranya mengambil anjing itu haram maka dalam segala bentuknya haram baik mengurangkan ganjaran atau pun tidak. Maka ia menunjukkan bahawa mengambilnya makruh dan bukan haram

Lalu Ibnu Hajar membalas pandangan Ibnu Abdul al-Bar “…dan ia boleh dikira mengambil (anjing itu) haram. Dan yang dimaksudkan dengan {berkurang} ialah dosa akibat mengambilnya (anjing) bersamaan dengan kadar satu qirat (sebesar bukit Uhud) atau dua qirat..”<Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, jilid 5, halaman 6 dan 7, cetakan al-Maktabah as-Salafiah>

Pokok pangkalnya, buku Ibnu Hajar as-Syafiee jelas menyebut mengambil anjing untuk selain berburu dan pengawasan adalah haram.

  • Mengapa Ustaz Wan Ji menutup sebelah mata dari memetiknya?

Daripada petikan yang diambilnya dari Ibnu Hajar, Ustaz Wan Ji lanjutkan lagi projek menegakkan benang makruhnya yang saya ringkaskan kepada empat logik (i)membawa qias anjing dan gambar di dalam rumah makruh (ii)isu li dzatih dan li ghairih anjing yang mengganggu jiran (iii)anjing syaitan menghalang masuk malaikat, dan (iv)sad al-Zaraie anjing yang menjilat bekas-bekas.

Empat pendalilan di atas ialah penjelasan oleh Ustaz Wan Ji sendiri dari petikan yang diambilnya dari Ibnu Hajar tetapi Ustaz Aan Ji kaitkan dengan pandangan makruh Ibnu Abdul al-Bar di akhir pos 7 Julainya :

dari penjelasan ini, tidak hairan fatwa Ibn Abd al-Bar tidak meletakkan ia sebagai haram, sebaliknya sekadar makruh sahaja

Jika dibaca dengan cermat petikan (petikan “sebahagian ulama menyatakan..” du beberapa perenggan di atas) yang  cuba dijelaskan oleh Ustaz Wan Ji ia dicuri dari kata Ibnu Hajar. “(قيل) dikatakan” menunjukkan selepasnya adalah pandangan yang tidak muktabar sehingga tidak diketahui atau tidak disebutkan punca pandangan itu. Ia bukan petikan dari Ibnu Abdul al-Bar tetapi Ustaz Wan Ji ambil untuk menjustifikasi pendapat Ibnu Abdul al-Bar.

(bagi saya terjemahan <قيل> kepada “dikatakan” lebih tepat dari “sebilangan ulama menyatakan”. Jika cetakan al-Maktabah al-Ma’rifah sama dengan cetakan al-Maktabah as-Salafiah yang saya rujuki)

Pengabdian Sepenuhnya Sebagai Hamba

Ibnu Abdul al-Bar bila menyatakan hukum makruh bela anjing dia tidak berhujah dengan empat pendalilan yang dibawa oleh Ustaz Wan Ji. Ibnu Abdul al-Bar berhujah dari kefahaman langsung tentang hadis Nabi S.A.W. tentang isu kurangnya pahala :

Dan di dalam sabda Nabi S.A.W. {berkurang amalannya} iaitu dari ganjarannya menunjukkan pengambilannya (anjing) adalah tidak haram. Kerana sekiranya mengambil anjing itu haram maka dalam segala bentuknya haram baik mengurangkan ganjaran atau pun tidak. Maka ia menunjukkan bahawa mengambilnya makruh dan bukan haram

Di hujung perbincangan Ibnu Hajar mengeluarkan (محل النزاع) titik perselisihan Ibnu Abdul al-Bar berbanding pandangan muktabar selainnya.

Dan Ibnu Abdul al-Bar menerima kurangnya ganjaran dia (manusia itu) berharap pada qirat…” <Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, jilid 5, halaman 7, cetakan al-Maktabah as-Salafiah>

Ustaz Wan Ji perlu petik penuh dan mengutamakan justifikasi dari kitab turath berbanding logik akalnya sendiri. Bahaya jika ini diaplikasi dalam cara fikir Maqasid.

Hal ini kerana hukum bela anjing sama ada haram atau makruh ia adalah kerana pengabdian atau akur kita sebagai hamba untuk taat sepnuhnya pada arahan Allah tanpa perlu sibuk mencari sebab yang zahir mahupun batin.

Sepertimana dalam isu menyapu khuf pada bahagian atas kaki, bilangan rakaat solat, kadar nasab zakat dan kewajipan menegakkan Syariat Allah S.W.T. secara keseluruhannya dalam sebuah negara tanpa bertolak ansur semuanya adalah isu pengabdian dan taat hamba pada Tuhan Yang Maha Esa.

Seperti kata Ibnu Taimiyyah : asal dalam ibadah adalah akur (التوقيف).

Ulama bincang jika anjing (dan khinzir) itu dibasuh dengan seluruh air laut di atas muka bumi pun tidak akan menghilangkan kenajisannya (bagi mazhab yang kata najis) atau tidak menghalalkan anjing dibela juga mengikut muktamad mazhab Maliki.

Termasuk juga jika anjing dikacukkan dengan arnab dan menghasilkan anak yang (i)rupa arnab yang comel tanpa rupa anjing dan tidak menyalak maka tidak mengganggu pelintas jalan/jiran, (ii)tidak minat menjilat-jilat bekas-bekas di rumah kerana arnab banyak bau dan kurang jilat, dan (iii)dengan takdir Allah si anak kacukan anjing-arnab itu pandai berzikir sepertimana burung Kakak Tua boleh berzikir maka ia berkemungkinan bukan dalam kalangan sebahagian anjing yang syaitan.. muktamad mazhab Syafiee tetap kata furu’ anjing itu najis.

Perkara ini bukan untuk ditaati selepas logik akal terhad manusia menerimanya.

Disiplin Berfatwa

Awal-awal pengalamam saya ke kelas mazhab Maliki saya sering bertanya soalan-soalan hukum kepada syeikh dan selalu dibalas dengan soalan “kamu mazhab Syafiee kan?” Lalu dalam kebanyakkan keadaan syeikh jawab dia tidak tahu. Sampai ke satu tahap syeikh minta saya bertukar mazhab agar saya tidak pening di dalam kelas-kelasnya. Beliau yang juga pernah menjadi mufti di Dar Iftaa’ tidak berfatwa dengan mazhab Maliki kepada saya yang bermazhab Syafiee.

Perkara yang sama bila saya hadir ke kelas-kelas Dr. Mahmoud Abdul Rahman, yang juga ketua di departmen Usul al-Feqh di al-Azhar yang bermazhab Maliki. Beliau akan bertanyakan mazhab pelajar yang bertanya soalan kepadanya jika ia menyentuh soal feqah atau Usul, tentu sekali pelajar beliau terdiri dari keempat-empat mazhab. Jika hukum yang disebutnya adalah dari mana-mana mazhab secara khusus maka beliau akan menyebutnya dengan jelas.

Pengetahui siapa yang menerima fatwa adalah antara disiplin berfatwa. Menghormati mazhabnya antaranya.

Dalam video tahun 2011 bila menjawab tentang “hukum solat berimamkan budak 10 tahun yang tidak baligh dan ‘aqil” Ustaz Wan Ji langsung jawab ia sah (hanya dalam Syafiee sah). Dalam soal membela anjing Ustaz Wan Ji langsung kata ia haram.

Ustaz Wan Ji pada tahun 2011 tahu pendengarnya bermazhab Syafiee maka beliau tidak perlu memberatkan kepala orang awam dengan perbezaan pandangan mazhab. Jika perlu maka dengan penjelasan yang menyeluruh.

  • Kenapa Ustaz Wan Ji tidak mengetengahkan fatwa muktamad mazhab Syafiee dalam isu pelihara anjing baru-baru ini seperti tahun 2011?
  • Sebagai mengikut disiplin berfatwa agar melihat siapa sabjek (orang atau masyarakat) yang berhajat kepada fatwa seperti yang dilakukan oleh guru-guru saya dan ulama’ muktabar. Mengapa Ustaz Wan Ji mahu mengetengahkan pandangan lemah dari mazhab Maliki di tengah-tengah sabjek yang bermazhab Syafiee? Apatah lagi secara umum.

Tidak cukup, Ustaz Wan Ji mempermainkan pula Ketua Pengarah JAKIM mencukur janggut dengan pandangan haram yang tidak muktamad dalam mazhab Syafiee.

Apakah tujuan kelakuan itu dilakukan kepada umum dari segi Maqasidnya?

Sensitiviti Terhadap Anjing

Dalam pos 2014 Ustaz Wan Ji di blognya ada menyebut di akhir pos setelah mana beliau mengedepan pandangan Ibnu Abdul al-Bar (saya penggunaan perkataan “mengedepankan” kerana ulama mazhab Maliki sendiri hampir semuanya menolak pandangan Ibnu Abdul al-Bar tetapi Ustaz Wan Ji mengedepankannyan secara luar biasa) Ustaz Wan Ji menutup dengan

Dari penjelasan ini, kelihatan bahawa perkara yang berkaitan dengan anjing adalah perkara yang tidak sewajarnya disensitivekan oleh masyarakat melayu. Namun, kekurangan dalam penghayatan fiqh yang bersifat luas ini, menjadikan kejumudan itu pula dilihat seperti kebaikan, sedangkan keluasan itu seperti kejahatan, sedangkan sifat Islam itu sendiri melebihi keluasan dari pandangan yang dapat melihat keluasan alam ini.”

Saya lihat kesimpulan itu tidak tepat sama sekali. Pandangan lemah perlu diletakkan pada tempatnya iaitu digunakan dalam isu-isu terpencil yang memaksa dan diketengahkan mengikut kes dan tempat, atau dalam perbincangan ilmiah sesama pelajar Agama. Pandangan lemah dalam mazhab tidak diperkenalkan kepada masyarakat bagi mengelak mereka bermudah-mudahan dalam beribadat tanpa bimbingan rapat dari ulama’. Ini dibincang panjang dalam buku-buku feqah.

Maksud feqh yang bersifat luas itu difahami dalam kerangka (إذا ضاق الأمر اتسع) dan ia diaplikasi dengan cermat. Iaitu mengikut kes dan melibatkan orang yang terbabit.

Apabila realiti Malaysia 99.9% bermazhab Syafiee, sensitiviti masyarakat yang tinggi dalam isu anjing itu satu yang terpuji dan satu kualiti yang patut dibanggakan kerana masyarakat kita mampu mengikut kemas mazhab mereka. Permasalah yang timbul perlu ditangani dengan bijak dan berhikmah.

Ditangani dengan berhikmah dan bersungguh itu contohnya jila masalah hanya melibatkan orang perseorangan atau kes-kes terpencil maka tugas ulama itu mengangkat punggungnya dari kerusi dan mejanya lalu pergi berjumpa dan didik orang perseorangan itu sesuai dengan skala masalahnya.

Berfatwa dari jauh atau mengumumkan yang khusus mampu membawa kepada rentetan masalah lain.

Mencabut amalan mazhab yang tertanam dan sahih dari jiwa masyarakat bakal membawa mudharat lebih besar dari manfaat. Apatah lagi berniat menanam mazhab yang baharu ianya mustahil.

Mustahil juga untuk mencabut amalan mazhab Syafiee di Malaysia keseluruhannya dan menyuruh masyarakat untuk bertalfiq mazahib (lompat-lompat mazhab). Talfiq mazhab sama sekali tidak digalakkan kepada khalayak. Ia terhad kepada mereka yang belajar Ulum Syarak (bagi mazhab yang membenarkan talfiq mazahib). Maka apabila mustahil untuk mengajar Usul Feqh kepada masyarakat keseluruhannya, tiada galakkan di mustawa am agar bertalfiq.

Yang mustahak ialah bantu masyarakat dengan mendidik lebih ramai faqih agar disetiap surau itu ada faqih mazhab Syafiee dan faqih itu pandai mengintai-intai mazhab lain bagi menyelesaikan masalah orang kampungnya secara khusus.

Ulama memudahkan diri dihubungi melalui pelbagai medium juga adalah antara penyelesaiannya.

Bukanlah sebenarnya masyarakat Malaysia ini jumud dan sensitif yang berlebihan.

Milik Allah bagi segala yang hak.

Ust Hasan Abdul Halim

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS) Mesir

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *