Ulama tidak sepatutnya taat pemerintah dalam perkara kebatilan

MAGHRIBI, 5 Julai- Ketaatan seseorang ulama atau sesebuah institusi ulama kepada pemerintah bukanlah bermaksud sentiasa tunduk kepada arahannya walaupun dalam perkara kebatilan.

“Islam telah jelas mengajar kepada kita bahawa tiada ketaatan kepada makhluk dalam perkara maksiat.”

Syiekh Dr Ahmad Raisuni, tokoh ulama maqasid daripada Maghribi berkata demikian dalam satu temubual Al-Jazeera sebagai respon terhadap tindakan Al-Azhar yang menyatakan sokongan terhadap kezaliman yang dikenakan ke atas Qatar.

Tambah beliau lagi seorang ulama hendaklah amanah terhadap tanggungjawab mereka iaitu dengan tegas dalam menyatakan kebenaran, tidak senyap terhadap kebatilan apatah lagi menyatakan secara terbuka menyokong kebatilan yang sedang berlaku.

“Tindakan Al-Azhar yang menyokong pemulauan Qatar ini kononnya atas hujah kemaslahatan umat jelas menunjukkan institusi ini telah diculik kebebasannya lalu digunakan untuk kepentingan politik”

Beliau yang juga Naib Presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia bahawa ulama pada hari ini terbahagi kepada dua iaitu ulama rasmi iaitu menjadi jurucakap terhadap segala tindakan baik atau salah pemerintah serta ulama bebas iaitu yang tidak terikat dengan mana-mana kepentingan lalu bercakap atas dasar kebenaran.

“Ulama seperti ini bercakap atas dasar kepentingan politik dan bukanlah keilmuan”

Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir dan Bahrain memutuskan hubungan diplomatik dengan Doha sejak 5 Jun lalu dengan mendakwa Qatar menyokong dan membantu ekstremis dan rapat dengan Iran. Tuduhan itu bagaimanapun, dinafikan.

Tindakan ini mendapat kecaman daripada beberapa institusi ulama seperti Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia serta Rabitah Ulama Ahlussunnah namun terdapat sebahagian lain institusi ulama yang menyokong kezaliman ini seperti Al-Azhar dan Rabitah Ulama Muslimin.

“Pemulauan terhadap negara Qatar adalah satu kezaliman yang sangat jelas kebatilannya serta tiada langsung asas kebenaran padanya” tegas beliau.

 

rujukan asal disini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *