IbadahSoal JawabUtama

Bolehkah puasa enam Syawal sebelum puasa qadha’?

Soalan: Assalamualaikum ust, bolehkah seseorang itu puasa sunat enam syawal sedangkan dia masih lagi ada puasa Ramadan yang perlu dia qadha’ dengan sebab keuzuran?

Jawapan: Wassalam wbt,  ulama telah berselisih pandangan dalam isu ini iaitu berkenaan melakukah puasa sunat seperti puasa enam dalam keadaan mempunyai puasa qadha’ iaitu puasa yang wajib ditunaikan.

Jumhur ulama iaitu Syafie, Maliki dan Hanafi berpandangan adalah diharuskan melakukan puasa sunat tersebut namun ianya berbeza samada harus dalam bentuk mutlak atau harus dalam keadaan makruh. Mazhab Hanafi berpandangan ianya harus secara mutlak tetapi mazhab Syafie dan Maliki berpandangan ianya harus dalam keadaan makruh.

Mazhab Hanbali pula berpandangan adalah haram menunaikan puasa sunat sebelum menyempurnakan puasa Ramadan yang perlu diqadha’. Mereka berhujahkan bahawa puasa Ramadan adalah satu bentuk hutang kepada Allah swt maka sudah tentu hutang tersebut hendaklah didahulukan sebelum melakukan ibadah yang lain. Mereka juga berhujahkan dengan satu hadis namun hadis tersebut dikatakan daif oleh sebahagian besar ulama seperti Ibnu Abi Hatim.

Hujah pandangan pertama pula ialah puasa qadha’ bukanlah bersifat perlu disegerakan. Ianya bersifat wajib muassa’ (mempunyai ruang waktu yang luas untuk dilakukan). Bermaksud seseorang itu boleh menggantikan puasa tersebut pada bila-bila masa selagi mana tidak masuk ke Ramadan yang akan datang. Ini disebut dalam firman Allah swt:

وَمَن ڪَانَ مَرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٍ۬ فَعِدَّةٌ۬ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَ‌ۗ

Dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (al-Baqarah: 185)

Jelas di dalam ayat ini Allah swt meletakkan penggantian puasa tersebut pada “hari lain” tanpa ditentukan pada hari tertentu atau perlu disegerakan. Bahkan dalam satu hadis pernah diceritakan bahawa Saidatina Aisyah ra melakukan puasa gantinya pada bulan Sya’ban

عن عائشة رضي الله عنها أنها قالت: ” كان يكون علي الصوم من رمضان فما أستطيع أن أقضيه إلا في شعبان”

Daripada Aisyah ra berkata: pernah satu masa aku perlu menggantikan puasa Ramadan namun aku tidak dapat menghabiskan puasa ganti tersebut melainkan pada bulan Syaaban (riwayat Bukhari dan Muslim)

Berkenaan hadis Nabi yang menyebut bahawa pahala puasa setahun ini hanyalah dengan puasa Ramadan secara sempurna kemudian diikuti puasa enam hari Syawal, ulama menyatakan orang yang berbuka puasa kerana keuzuran (haid, nifas, musafir dll) secara hakikatnya dia telah menyempurnakan puasa Ramadan kerana kebolehan berbuka itu atas pemberiaan Allah swt dan bukanlah kehendak peribadinya.

Berbeza pula apabila seseorang itu berbuka dengan sengaja tanpa sebarang keuzuran, maka baginya tiada pahala puasa setahun walaupun dia berpuasa enam hari Syawal melainkan dia telah menyempurnakan qadha’ puasa yang telah ditinggalkan.

Berdasarkan kepada hujah diatas, pandangan Jumhur dilihat lebih kuat serta berdiri diatas hujah yang jelas. Pandangan ini juga lebih praktikal contohnya dalam keadaan seorang wanita yang tidak dapat berpuasa sepanjang 30 hari Ramadan akibat darah nifas maka sudah tentu dia tidak dapat puasa enam hari Syawal kerana sebulan Syawal itu akan dihabiskan untuk qadha’ puasa Ramadan yang ditinggalkan.

Maka pandangan pertama ini lebih rahmah untuk kita semua. Puasa qadha’ Ramadan bersifat luas sepanjang tahun sedangkan puasa sunat seperti enam hari Syawal hanya khusus pada 30 hari sepanjang Syawal.

 

Ust Muhammad Firdaus bin Zalani

Pengawai Majlis Ulama ISMA (MUIS)

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *