Status Hadis Sahih antara Ahli Hadis, Para Fuqaha dan Usuliyyin

Di sini saya lampirkan terjemahan saya terhadap nota guru saya DrMahmoud AbdelRahman dalam wall facebook beliau berkenaan permasalahan antara status dan definisi hadis Sahih di sisi ahli hadis dan fuqaha’. Moga ia memberikan pencerahan kepada golongan yang menganggap dirinya ‘salafi’ lalu mempertikai amalan para ulama sebelum ini dengan sedikit pengetahuan mereka, serta memberikan manfaat bagi semua penuntut ilmu dalam memahami istilah para ulama.

————————————————————————-

((Ulasan ringkas dalam permasalahan ‘status Sahih’ di sisi para fuqaha’ dan ahli hadis))

Kayu ukur ‘sahih’ di sisi usul para fuqaha’ dan ahli usul fiqh tertakluk kepada ‘adil’nya perawi, iaitu ‘adil’ yang dijadikan syarat dalam menerima persaksian seperti yang disebut dalam masalah fiqh. Oleh itu mana-mana ulama yang tidak menerima hadis Mursal, mereka mensyaratkan pula hendaklah hadis itu bersambung sanadnya.

Adapun para ahli hadis menambah pula iaitu hendaklah hadis itu tidak pula shaz (ganjil) atau mua’llal (bermasalah). Tetapi dalam kedua-dua syarat yang diletakkan ini boleh dipersoalkan dalam konteks mazhab para fuqaha’, ini kerana kebanyakan ‘illah (masalah) yang disebutkan oleh para ahli hadis dalam hadis-hadis tertentu, ia tidak selari dengan usul para fuqaha’. Ini kerana di sisi ahli hadis, definisi hadis Sahih adalah : Hadis yang bersambung sanadnya, dengan periwayatan perawi yang adil, dhabit (berdisiplin), daripada perawi yang adil dan dhabit, hinggalah ke penghujungnya (kepada Nabi SAW), dan hadis itu hendaklah tidak shaz dan mu’allal.

Pertama : Ibnu Daqiq Al-Eid menyebut : Sekiranya dikatakan bahawa hadis Sahih yang diijmakkan kesahihannya adalah sekian-sekian, hinggalah ke akhirnya, itu adalah lebih baik, kerana sesiapa yang tidak mensyaratkan syarat-syarat demikian tidak menyatakan pula hadis Sahih hanya yang ada padanya syarat-syarat itu sahaja. Dan di antara syarat dalam takrif hendaklah ia jami’ dan mani’. (lihat Iqtirah fi Bayan Al-Istilah 5/1, At-Taqrib wa At-Taysir li Ma’rifati Sunan Al-Basyir An-Nadzir fi Usul Al-Hadis oleh Imam Muhyi-Al-Din An-Nawawi m/s 25, Al-Muqni’ fi Ulum Al-Hadis oleh Ibnu Al-Mulaqqan (1/41), Al-Mukhtasar fi Ilmi Al-Atsar oleh Imam Muhammad bin Sulaiman Al-Kafiji m/s 158.

Kedua : Boleh jadi sesebuah hadis itu sahih sanadnya, tetapi tidak sahih matannya, seperti yang disebutkan oleh para fuqaha’ dan ahli usul, atau boleh jadi padanya ada ‘illah yang tersembunyi walaupun secara zahirnya ia selamat, seperti yang disebutkan oleh para muhaqqiq (pakar) dalam ahli hadis. Ia juga boleh jadi hadis itu sahih, tetapi ia dimansukhkan, atau bercanggah dengan hadis (atau dalil) yang lebih kuat daripadanya, atau ia bertentangan pula dengan kaedah umum dalam syariah atau khusus dalam bab yang tertentu di sisi sesiapa yang menolaknya (hadis tersebut), atau boleh jadi hadis itu adalah bersifat waqi’atu ‘ain (yakni hadis yang berkaitan dengan peribadi tertentu dan tidak terkena hukumnya pada orang lain).

Boleh jadi hadis itu adalah dha’if tetapi maknanya sahih, sama ada kerana maknanya wujud dalam hadis-hadis sahih yang lain, atau disokong maknanya itu dengan selarinya ia dengan kaedah syarak, atau disokong pula dengan deria, atau akal atau perkara-perkara lain. Tetapi mereka (para fuqaha’ dan ahli usul) menjadikannya sebagai dalil mereka kerana ia lebih jelas maknanya, atau mereka berpegang kepada ‘tawatur maknawi’ (yakni hadis itu mutawatir dari sudut makna, bukan dari sudut lafaz) yang diperoleh daripada istiqra’ (proses induktif terhadap sebahagian hukum syarak).

Ketiga : Tidak layak dikatakan bahawa para ahli usul dan fuqaha’ beramal dengan hadis Dha’if, kerana hadis Sahih yang di sisi mereka mempunyai makna tersendiri, dan berbeza pula dengan definisi hadis Sahih di sisi para ahli hadis yang datang terkemudian. Demikian itu hendaklah kita sentiasa letakkan dalam pemerhatian bahawa semua mazhab fiqh telah terbina dan sempurna dalil-dalilnya sebelum bermulanya penulisan ilmu kitab-kitab hadis seperti yang tersebar sekarang, seperti Sahih Bukhari, Muslim dan selain mereka.

Kebanyakan dalil-dalil yang digunakan dalam mazhab-mazhab ini telah diamalkan oleh umat sebelumnya. Walaupun ia mungkin dinilai Dha’if di sisi ahli hadis yang datang terkemudian, tetapi ia tidak dikira Dha’if di sisi keseluruhan fuqaha umat ini. Oleh itu dalil-dalil yang seperti itu, tidak boleh diukur dengan dhawabit (prinsip dan disiplin) yang datang terkemudian, kerana prinsip dan kayu ukur yang dicipta oleh ahli hadis terkemudian itu dijadikan kayu ukur untuk hadis-hadis yang tidak diketahui perihal dan statusnya, dan tidak tahu pula di mana kedudukannya dalam hadis Nabi SAW.

Dengan hanya tidak memahami perbezaan ini, ia akan menjadikan ramai orang lantang dalam mengkritik para fuqaha’ dan ahli usul, lalu menuduh mereka beramal dengan hadis Dha’if, atau hadis Maudhu’. Oleh yang demikian, kita mestilah menjelaskan perkara ini dengan menjelaskan definisi hadis Sahih di sisi ahli hadis dan definisinya di sisi para fuqaha’ dan ahli usul. Hadis Sahih dengan makna yang lebih khusus di sisi kelompok ahli hadis yang terkemudian bermula lebih kurang pada zaman Al-Bukhari dan Muslim iaitu : Apa yang diriwayatkan oleh perawi yang ‘adil, hafiz, daripada orang sepertinya, tanpa sebarang shaz dan ‘illah.

Adapun dengan makna yang lebih umum di sisi para ahli hadis yang terdahulu dan para fuqaha’ dan ahli usul, adalah : Apa yang diamalkan dengannya. Apabila seorang ahli hadis mutakhir mengatakan hadis ini tidak Sahih, ia menafikan maknanya yang khusus (iaitu definisi mereka), tetapi tidak pula menafikan makna yang lebih umum (definisi ahli hadis terdahulu, para fuqaha’ dan ahli usul). Maka apabila begitu, boleh jadi hadis itu adalah Hasan, atau Dha’if, atau tidak pula boleh beramal dengannya. Maka dengan demikian, hendaklah dikaji hadis itu, sekiranya ia adalah Hasan atau Dha’if yang diamalkan dengannya, maka ia boleh diterima, tetapi sekiranya ia Dha’if dan tidak pula diamalkan dengannya, maka ia tertolak.

Adapun kita tidak boleh menolak apa-apa hadis Rasulullah SAW dengan semata-mata sebuah dakwaan yang mempunyai berbagai kemungkinan. Perkara ini dinaqalkan oleh Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah, daripada Syeikh Soleh bin Mahdi Al-Muqbiliy Al-Yamani, dalam lampiran kitab “Al-Ajwibah Al-Fadhilah Li Al-As’ilah Al-Asyrah Al-Kamilah oleh Al-Laknawi m/s 233.

Adapun Imam Asy-Syafie menyebut dalam kitabnya Al-Umm (4/10666) : Kemudian aku tidak pula mengetahui bahawa ahli ilmu berkhilaf dalam masalah bahawa hutang itu mestilah didahulukan dalam perihal wasiat dan harta pusaka. Maka hukum hutang itu seperti yang aku sebutkan, ia adalah tersendiri dan didahulukan, dan di dalam Al-Quran Allah Azza wa Jalla menyebut : “harta pusaka itu dibahagi-bahagikan selepas wasiat ataupun hutang”. Kemudian para muslimin berijmak bahawa tidak ada wasiat atau mirath (harta pusaka) melainkan selepas langsainya hutang si mati, itu adalah dalil bahawa semua jenis hutang sama ada ketika sihat atau ketika sakit, sama ada sabit secara pengakuan atau bukti, atau apa jua bentuk sekalipun, sama sahaja perihalnya (bahawa ia mesti didahulukan). Ini kerana Allah Azza wa Jalla tidak mengkhususkan sesuatu hutang dengan hutang yang lain.

Adapun telah diriwayatkan dalam perihal memulakan dengan melangsaikan hutang ini sebelum dibahagikan dalam wasiat, satu hadis daripada Nabi SAW yang tidak pula disabitkan kesahihannya oleh ahli Hadis, ‘Sufyan mengkhabarkan kepada kami daripada Abu Ishaq daripada Al-Harits daripada Ali RA bahawa : sesungguhnya Nabi SAW telah menetapkan bahawa hutang (mestilah dilangsaikan dahulu) sebelum wasiat.

Beliau menyebut dalam Ar-Risalah (m/s 13999) : Adapun sebahagian ahli Syam meriwayatkan satu hadis yang tidak juga disabitkan oleh ahli Hadis, yang di dalamnya ada rijal hadis yang majhul (tidak diketahui), lalu kami (As-Syafie) meriwayatkannya daripada Nabi SAW secara terputus. Adapun kami menerimanya kerana apa yang telah aku sebutkan bahawa ia adalah naqalan ahli tarikh dan ijmak keseluruhan umat ini dalam beramal dengannya, walaupun kami meriwayatkan hadis di dalamnya, dan kami berpegang hadis naqalan ahli tarikh secara umumnya dan ijmak umat ke atasnya. Sufyan mengkhabarkan kepada kami daripada Sulaiman Al-Ahwal, daripada Mujahid, bahawa Rasulullah SAW menyebut : “Tidak ada wasiat bagi ahli waris”.

Maka dengan itu kami mengambilnya sebagai dalil, seperti yang aku sebut, daripada naqalan ahli tarikh daripada Nabi SAW bahawa “tidak ada wasiat bagi ahli waris”, sebagai penasakhan (pembatalan) ayat mirath terhadap wasiat kepada ibubapa dan isteri, dengan dalil hadis yang terputus sanadnya daripada Nabi SAW, dan ijmak umat ke atas amalan daripada hadis itu.

Di antara hadis yang diterima secara ijmak umat dan diamalkan, walaupun ia Dha’if pada definisi sesetengah mereka, adalah hadis : “Sesiapa yang tidak sengaja termuntah (ketika berpuasa), maka dia tidak perlu mengqadha’ puasanya (tidak batal puasanya), tetapi siapa yang muntah secara sengaja, maka dia hendaklah mengqadha’nya (batallah puasanya). Ia diriwayatkan oleh At-Tarmizi lalu beliau menyebut : “Hadis ini telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW, tetapi sanadnya tidak sahih”. Tetapi di sisi ahli ilmu, ia diamalkan, dan ia juga disebutkan oleh Sufyan Ats-Tsauri, As-Syafie, Ahmad dan Ishaq dengan sedikit pengubahsuaian.

Para ulama telah menyebutkan dengan jelas bahawa ‘syuhrah’ (masyhurnya sesuatu hadis) dan amalan umat ke atasnya, sudah mencukupkan hadis itu daripada jaluran sanad (yakni tidak memerlukan jaluran sanad bagi menyatakan kesahihan dalam beramal dengannya), bagi hadis-hadis yang selalu dipertikaikan.

Ibnu Al-Qayyim menyebut dalam I’lam Al-Muwaqqi’en (1/16222) di dalam apa yang warid (diriwayatkan) daripada sahabat RA mengenai perihal hukuman bagi meminum arak, dalam kes Khalid menyebat dengan 80 kali, Umar pula 80 kali, beliau menyebut : Adapun Umar, apabila dihadapkan kepadanya seorang lelaki yang kuat, dan berlebihan dalam meminum arak, beliau akan menyebatnya 80 kali sebatan, tetapi sekiranya dihadapkan padanya seorang yang hanya meminumnya secara sedikit dan bukan pula berlebihan, beliau akan menyebatnya 40 kali sebatan, dan Uthman pula menjadikannya sebagai contoh dan mengikutinya. Kesemuanya ini adalah daripada hadis-hadis mursal, dan ia juga bersambung sanadnya pada banyak sudut, sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lainnya, dan kemasyhurannya mencukupkannya daripada sanadnya.

Al-Khatib Al-Baghdadi menyebut mengenai hadis Muadz yang masyhur apabila diutuskan oleh Rasulullah SAW ke Yaman : Sesungguhnya ahli ilmu telah menaqalkannya dan berhujjah dengannya, maka cukuplah bagi kami itu sebagai dalil ia sahih di sisi mereka, seperti mana kami menyatakan sahihnya kata-kata Nabi SAW : “Tidak ada wasiat bagi ahli waris”, dan kata-kata baginda SAW mengenai perihal air laut : “Airnya adalah suci, bangkainya adalah halal”, serta “Apabila berselisih si penjual dan pembeli dalam isu harga, dalam masa yang sama barang masih ada, hendaklah mereka bersepakat atau meninggalkan jual beli”, serta “Diyat ke atas ‘aqilah”, walaupun hadis-hadis ini tidak sabit dari sudut sanadnya, tetapi ia telah diterimapakai oleh sekalian umat Islam daripada golongan sebelum mereka, maka itu sudah pun cukup dikira sahih dan diterimapakai tanpa perlu diminta sanad (dipertikai sanadnya). Demikian jugalah hadis Muadz apabila mereka (umat Islam secara keseluruhannya) telah menjadikannya sebagai hujjah, ia sudah cukup diiktibarkan sebagai sahih, tanpa perlu merujuk kepada sanadnya (Al-Faqih wa Al-Mutafaqqih oleh Al-Khatib Al-Baghdadi 1/473)

Syeikh Abu Ghuddah pula menaqalkan daripada Syeikh Muhammad Nur Shah Al-Kashmiri – selepas ia menyifatkan beliau sebagai imam pada zamannya – daripada kitabnya : Faidh Al-Bari ala Sahih Al-Bukhari (3/409) ketika beliau menyatakan riwayat Al-Bukhari dalam bab “Tidak ada wasiat bagi ahli waris” (Sahih Bukhari 4/4), beliau menyebut : “Hadis ini Dha’if secara ittifaq dalam masa yang sama hukumnya sabit secara ijmak, oleh itu musannif (Al-Bukhari) meriwayatkannya dalam perihal ini, kerana ia tidak meriwayatkan dalam perihal ini hadis seperti itu. Adapun Ibnu Al-Qattan menghurai dalam bab ini dan menyebut : Sesungguhnya hadis Dha’if apabila berlaku ijmak ke atas amalan ke atasnya, adakah ia akan bertukar menjadi Sahih atau tidak ?

Adapun yang popular pada hari ini di sisi ahli hadis, ia kekal dalam statusnya (Dha’if), kerana kayu ukur mereka dalam bab ini adalah perihal sanadnya sahaja, maka mereka tidak menghukum sesuatu hadis itu dengan Sahih sekiranya terdapat dalam rantaian sanadnya seorang perawi yang lemah. Adapun sebahagian mereka pula berpandangan bahawa apabila sesuatu hadis disokong dengan amal (sudah diamalkan oleh umat Islam sebelum ini), ia akan meningkat martabatnya menjadi martabat diterima, dan pandangan ini lebih kuat pada pandangan aku, walaupun ia mungkin dikira kesalahan besar di sisi orang-orang yang terlalu obses dengan status sanad. Ini kerana aku telah pun menguji/melihat perihal mereka dalam keterlaluan dan kekerasan mereka dalam bab ini. Bagi aku mengira situasi semasa adalah lebih layak daripada mengikut kaedah-kaedah yang diperkenalkan oleh ahli hadis, dan bahkan kaedah-kaedah itu adalah untuk menjadi kayu ukur bagi hadis-hadis yang tidak diketahui statusnya dan terkeluar daripada sudut ini. Maka mengikut situasi semasa itu lebih baik, dan berpegang dengan perkara pandangan ini lebih selamat.

Syeikh Yusuf Al-Bannuri yang merupakan anak murid Syeikh Muhammad Anwar telah menjelaskan kata-kata gurunya dan menyebut : “Sesungguhnya Syeikh Anwar pernah menyebut, “Isnad itu bertujuan untuk tidak memasukkan perkara yang bukan dalam agama, ke dalam agama. Bukan untuk mengeluarkan apa yang sabit dalam agama, daripada agama, itulah dia amal (tugasan) para ahli sanad”. (Lihat : Lampiran yang bertajuk : Wajibnya beramal dengan hadis Dha’if apabila umat secara keseluruhannya menerimapakai hadis itu – oleh Syeikh Abu Ghuddah, dalam kitabnya “Al-Ajwibah Al-Fadhilah karangan Syeikh Muhammad Abdul Hayy Al-Laknawi (m/s 237 – 238), secara ringkas dan sedikit ubahsuai.

Aku suka sekali lagi menekankan bahawa hilangnya kefahaman yang mendalam ini akan menjerumuskan para penuntut ilmu ke dalam kehairanan yang besar, dan akan menjadikan para golongan yang keras dan bodoh itu akan mencela para ulama yang agung, serta menuduh mereka dengan kejahilan terhadap ilmu hadis, serta membina kaedah dan hukum di dalam kitab-kitab Usul dan kaedah fiqh serta kitab-kitab fiqh yang lain di atas hadis-hadis yang Dha’if dan lemah.

Ditulis oleh :
Prof. Dr Mahmud Abdul Rahman
Ketua Jabatan Usul Fiqh
Universiti Al-Azhar, Kaherah.

Diterjemah oleh :
Ahmad Syamil Mohd Esa
Pelajar,
Universiti Al-Azhar, Kaherah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *