Antara Tadabbur dan Tafsir Al-Quran
Baru-baru ini heboh di ruang maya mengenai kritikan terhadap budaya tadabbur Al-Quran di kalangan anak-anak harakah.
Ia berbentuk sebuah halaqah yang mana dipilih surah-surah tertentu untuk dibaca, dan masing-masing
kemudiannya menyebutkan pandangannya terhadap isi kandungan apa yang telah dibaca, atau menyatakan perasaannya, ataupun apa-apa yang terlintas dalam pemikirannya.
Adakah ia salah ? Adakah mereka sedang menafsirkan Al-Quran sedangkan mereka hanyalah pelajar jurusan bidang kejuruteraan atau kedoktoran atau apa-apa bidang yang tiada kaitan langsung dengan Bahasa Arab atau Ulum Quran ?
Pertama sekali sebelum kita pergi kepada menghukum perbuatan ini, kita perlu kepada pendefinisian apakah jenis perbuatan halaqah ini ?
Adakah itu penafsiran terhadap Al-Quran ?
Atau ia hanyalah salah satu bentuk tadabbur Al-Quran yang ingin membawa kepada penghayatan dan menghidupkan makna-makna Al-Quran dalam kehidupan seharian ?
Atas sebab itu, kita perlu bezakan kedua-dua perkara ini.
Tafsir Al-Quran bererti memberikan makna dan penerangan satu per satu terhadap ayat-ayat Allah yang termaktub dalam Al-Quran. Penafsiran ini memerlukan seseorang yang cukup ilmu alatnya berupa ilmu bahasa Arab, ilmu tafsir, ilmu Usul Fiqh, nasikh-mansukh, dan pelbagai ilmu lain yang membawa kepada apa yang dikehendaki iaitu menjelaskan maksud dan makna ayat-ayat Allah SWT dalam Al-Quran.
Adapun tadabbur, ia adalah salah satu bentuk ‘mengambil pengajaran’ dan ‘menghayati’ ayat-ayat Allah SWT (setelah difahami dengan wajah yang betul secara umum) dan mengkiaskan pengajaran tersebut terhadap kehidupan secara peribadi atau organisasi atau kemasyarakatan. Khatirah (lintasan hati) yang kata jamaknya adalah ‘khawatir’ juga adalah termasuk dalam definisi ini.
Tafsir hanya dikhususkan untuk para ulama kerana ia adalah satu bidang ilmu yang tinggi. Adapun tadabbur adalah tuntutan kepada semua umat Islam (bahkan manusia secara keseluruhannya) kerana ia adalah sumber hidayah, petunjuk, dan jalan yang lurus bagi semua umat Islam dan bahkan manusia secara keseluruhan.
Atas sebab itu Allah SWT menyebut dalam surah Al-Qamar : “Dan sesungguhnya telah Kami permudahkan Al-Quran itu untuk peringatan, maka tiadakah orang yang mahu mengambil peringatan?” – Al-Qamar, ayat 17.
Bagi saya apa yang dilakukan tidak lebih daripada tadabbur Al-Quran, yang mana kefahamannya berdasarkan kepada Al-Quran terjemahan yang diambil daripada tafsir-tafsir muktabar.
Al-Quran terjemahan yang tersebar di Malaysia sekarang ini, hanyalah nama sahaja terjemahan, hakikatnya ia adalah terjemahan kepada tafsir-tafsir Al-Quran yang muktabar kemudian diterjemahkan ke dalam bahasa tempatan. Ini kerana penterjemahan Al-Quran secara harfi (literal sahaja) adalah salah dan haram hukumnya kerana bahasa Arab adalah bahasa yang istimewa dan takkan boleh diterjemah secara literal.
Namun bagi mengambil langkah berhati-hati agar tidak terjebak dalam ‘dosa memandai-mandai jadi mufassir jadian’ saya cadangkan beberapa perkara dalam halaqah tadabbur Al-Quran ini :
1. Sebutkan pada awal majlis bahawa ini bukanlah majlis mentafsir Al-Quran, sebaliknya adalah halaqah tadabbur untuk sama-sama bermuhasabah dan mengambil seberapa banyak mungkin pengajaran dan iktibar daripada apa yang dibaca dalam halaqah.
2. Elakkan dari menyebut kefahaman tadabbur anda secara ‘jazam’ yakni secara pasti bahawa itulah pengajarannya dan tujuannya. Tapi seeloknya gunakanlah perkataan ‘seolah-olah’ atau ‘kemungkinan ianya adalah kerana begini-begini’ kerana ia lebih beradab.
3. Pastikan kefahaman terhadap ayat Al-Quran mesti tepat dahulu (berdasarkan terjemahan atau bahasa Arab yang fasahah) sebelum mengeluarkan pandangan atau khawatir yang hadir dalam hati anda.
4. Jangan memandai-mandai keluarkan hukum daripada ayat-ayat Al-Quran tanpa merujuk kitab tafsir muktabar. Mungkin ada kalangan kita yang ada sedikit ilmu Usul Fiqh, lalu menyatakan semua fi’il amar (perbuatan suruhan) itu membawa kepada wajib, lalu dengan mudah mengatakan kewajipan menulis hutang, makan minum, berkahwin dan sebagainya. Ini kerana dalam menganalisa dalil, ia perlukan ilmu yang mendalam untuk mengistinbat hukum.
5. Akhiri segala taujihat atau tadabbur kita dengan kalimah ‘Wallahua’lam bissawaab’ yang bermaksud ‘Allah lebih mengetahui apa yang lebih tepat’. Ini bagi menghilangkan segala tohmah bahawa kita telah pun mendakwa kebenaran dan meletakkan segala kebenaran itu di sisi Allah SWT.
Ini hanyalah cadangan yang saya fikir perlu amalkan dalam halaqah-halaqah tadabbur sebegini. Ia bagi memakmurkan lagi perbincangan dan memurnikan lagi usaha-usaha mulia yang seharusnya disambut dengan hati yang terbuka dan ruang yang luas dalam memahami Al-Quran.
Saya kira usaha-usaha menghidupkan Al-Quran dalam jiwa umat Islam sangat perlukan inisiatif dan sokongan semua, kerana hakikatnya umat kita hari ini sangat memerlukan ajaran dan pedoman Al-Quran.
“Adakah mereka itu tidak mentadabbur Al-Quran ? Ataupun hati mereka itu telah terkunci ?” – Surah Muhammad
Ust Ahmad Syamil Esa
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)