Pembatalan Bentang RUU355 vs Cadangan Pembaharuan Akta 164: Siapa untung?

Bismillahirrahmanirrahim.

Saya amat pelik apabila kerajaan menukar daripada membentangkan RUU355 yang dilihat ke arah mendaulatkan Islam dan juga menghimpunkan kesatuan umat Islam kepada membentangkan pembaharuan akta 164 yang jelas bertentangan dengan fatwa muzakarah kebangsaan mengikut apa yang disebut oleh Sahibus Samahah Dato Harussani Zakaria dan akan memecahbelahkan lagi suara umat Islam di Malaysia.

Saya baru nak bersangka baik dengan BN ada perubahan dan kesedaran agama sedikit melalui Dato Dr Asyraf Wajdi dan Dato Seri Zahid yang menyokong RUU355 sebelum ini, ternyata sangkaan baik itu tak layak sama sekali diberikan kepada BN.

Saya tidak dapat analisa apakah desakan yang diterima oleh BN sehingga sanggup mengenepikan permohonan umat Islam untuk memartabatkan undang-undang Islam di Malaysia yang dilihat hanya akan terpalit kepada umat Islam sahaja.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran tentang sifat-sifat buruk yang perlu dihindari :

(أوكلما عاهدوا عهدا نبذه فريق منهم بل أكثرهم لا يؤمنون)

Maksudnya : adakah setiap kali mereka mengikat janji sebahagian dari mereka merungkainya? bahkan ramai dari kalangan mereka tidak sama sekali beriman. (Surah Al-Baqarah: 100)

Apa yang dilakukan oleh BN sekarang ini ialah suatu sikap yang tidak layak ditonjolkan oleh pemimpin negara iaitu meleraikan janji yang telah dimetrai bersama dalam usaha untuk mendaulatkan Islam.

Saya cenderung untuk tidak mengikat janji kedua atau ketiga (walau sudah banyak kali perjanjian) dengan mereka kecuali mereka bertaubat dan mengistiharkan taubat dan memperbaiki keadaan.

Firman Allah SWT :

(إلا الذين تابوا وأصلحوا وبينوا فاؤلئك أتوب عليهم)

Maksudnya  : kecuali mereka bertaubat, memperbaiki keadaan semula, dan menerangkan keadaan sebenar segala penyelewengan yang mereka lakukan, maka daripada mereka sahajalah aku menerima taubat. (Al-Baqarah :160)

saya menulis kali ini dengan perasaan marah bercampur sayu terhadap nasib umat Islam di Malaysia, terpaksa berhadapan dengan pelbagai ancaman, dan ancaman yang paling besar yang saya rasai ialah kejahilan umat Islam yang terlalu jauh daripada hakikat al-Quran dan as-Sunnah sehingga ada yang menyokong perbuatan-perbuatan yang jauh daripada ajaran al-Quran dan as-Sunnah.

Semoga Allah memperbaiki keadaan umat ini dengan menghantar mereka yang mengislahnya.

Ust Muhd Ikram Abu Hassan

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS) 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *