Tiga serangan musuh yang lukanya masih mengalir dalam jiwa umat Islam

Sepanjang sejarah umat Islam, terdapat pelbagai serangan yang dilakukan oleh musuh umat Islam sebagai tanda kebencian mereka terhadap agama wahyu ini. Namun disebalik kesemua serangan tersebut terdapat beberapa peperangan yang amat memberi kesan dan sepatutnya menjadi suatu pelajaran bagi umat Islam hari ini:

1. Siri Perang Salib yang bermula pada tahun 488 Hijrah telah mengakibatkan jutaan nyawa umat Islam dibunuh secara kejam. Catatan sejarah yang menceritakan betapa sadisnya peristiwa tentera Salib menyerang Kota Al-Quds, “Mereka telah memenggal kepala umat Islam, membunuhnya dengan anak-anak panah, menolak dari atas bangunan. Sebahagian umat Islam diseksa beberapa hari kemudian tubuhnya dibakar hidup-hidup. Lorong-lorong di Al-Quds dipenuhi dengan darah, kepala, tangan dan kaki umat Islam yang dibunuh.

2. Serangan Monggol atau dalam bahasa Arab disebut Tatar yang menghancurkan kota tamadun dunia Baghdad dan juga membunuh Khalifah ketika itu (656 hijrah) dalam satu siri pembunuhan yang berlangsung selama 40 hari tanpa henti. Jutaan jilid buku yang merupakan khazanah berusia 500 tahun dimusnahkan dan dicampak ke dalam Sungai Dajlah hingga menukar warna air menjadi hitam dari dakwat-dakwat.

3. Kejatuhan Kerajaan Islam Andalus yang telah memerintah dengan penuh kegemilangan selama 800 tahun di tangan musuh Islam. Umat Islam diburu dan dibunuh dengan kejam. Mereka dihalau keluar dari kota Granada dan dipaksa untuk murtad. Semua masjid ditutup dan laungan azan dilarang.

Pentingnya umat Islam mempelajari sejarah ini kerana beberapa faktor dan sebab:

1.Serangan yang berlaku terhadap umat Islam adalah berterusan tanpa henti yang dicatat untuk tempoh hampir ratusan tahun daripada sejarah Islam. Ini menunjukkan bahawa serangan ini bukanlah terjadi secara tiba-tiba bahkan ia adalah satu ideologi yang tetap dalam pemikiran musuh yang merancang secara terperinci untuk melenyapkan Islam dari muka bumi.

2. Persamaan yang terjadi dari peristiwa sejarah dengan realiti masa kini. Kita menyaksikan kerjasama dan kesatuan musuh dalam menyerang umat Islam, sikap lepas tangan sebahagian pemimpin umat Islam dan bersubahat dengan musuh, ideologi penjajahan yang masih beterusan hingga kini semuanya seolah-olah kita membelek helaian sejarah namun bezanya semua itu sedang berlaku di depan mata kita.

3. Kajian dan penelitian yang mendalam akan memberikan umat Islam “the upper hand” dalam mendepani cabaran mendatang. Justeru, umat Islam mampu mempersiapkan diri dengan segala kekuatan dari aspek keimanan, kesatuan dan juga teknologi.

Moga Allah terus memelihara dan memberi kekuatan kepada umat ini!

 

Ust Shuhaib Ar-Rumy bin Selamat

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *