Sangkaan baik pada Tuhan perlu selari dengan amalan

Jika mereka benar bersangka baik dalam sangkaannya terhadap Tuhan, mereka pasti akan memperbaiki amal

Itulah jawapan Hasan Al-Basri RHM apabila ditanyakan mengenai perihal ‘manusia yang berbuat maksiat dan mengatakan kami bersangka baik kepada Tuhan, pasti dia akan ampunkan dosa kami’.

Sangkaan yang baik akan datang sekali dan secara semulajadi dengan amalan yang baik.

Kupasan Ibnu Qayyim cukup jelas apabila mengatakan seorang hamba yang bersangka baik kepada Tuhan, pasti akan meyakini bahawa Tuhan akan memberi ganjaran yang baik ke atas amalan yang baik, dan memberi balasan atas amalan yang buruk.

Jadi si hamba akan berusaha terus menerus mencari keredhaan Tuhan dalam sangkaan baiknya atas kerahmatan Tuhannya. Mustahil hamba yang menyangkan bahawa Tuhannya akan memberi balasan yang buruk atas amalan buruk itu akan berterusan dengan amalan buruknya.

Saya cuba membawa persoalan ini kepada maksud apakah itu sangkaan yang baik kepada Tuhan ? Apa maknanya dan kefahamannya ?

Sangkaan yang baik kepada Tuhan saya cuba bayangkan ibarat kita meletakkan Tuhan itu pada posisinya yang mutlak. Kita menanggapi isu ketuhanan sebagai isu tanpa-soal, tanpa-pertikai, tanpa-perlu-diketahui-sebab, tanpa-syarat, berkuasa atas segala yang dikehendaki oleh-Nya dan segala yang berlaku adalah atas ketentuan-Nya.

Sangkaan demikian membawa kita kepada mengerti hakikat diri manusia, tidak-sempurna, penuh dosa, tiada sebarang daya upaya melainkan apa yang diizinkan Tuhannya, tidak pula mempunyai kudrat mutlak, dan tidak pula memiliki hak mutlak untuk menentukan apa yang terbaik untuknya.

Jadi dengan sangkaan yang baik pada Tuhan, kita akan memahami bahawa hubungan manusia dengan Tuhan adalah hubungan Tuhan dan makhluk. Hubungan tuan dengan hamba. Hubungan yang langsung tidak seimbang dan tidak sekali-kali samarata.

Apabila begitu, manusia yang bersangka baik akan berada dalam posisi yang rendah, mengalah, dan bukan pula menduga, mengagak, dan cuba pula tawar menawar dengan Tuhan seolah-olah Tuhan itu setaraf dengan kekerdilannya.

Apabila diri kita mula mengatakan kepada Tuhan apa yang tidak pula diperkatakan kepada diri-Nya, seperti “Tuhan pasti ampunkan dosaku sekiranya aku berbuat jahat”, “alah buat dosa hari ini esok bertaubatlah, Allah kan Maha Pengampun”, “hari ini buat jahat, esok ganti dengan kebaikan”, atau “puasa hari Asyura sehari boleh menghapuskan dosa aku setahun lepas, jadi buatlah segala dosa kecil dan alan terhapuslah dosa dengan ganjaran puasa sehari” dan yang sewaktu dengannya.

Inilah secara jelas monolog manusia yang tidak mempunyai sangkaan yang baik kepada Tuhan. Dia telah pun secara tidak sedar ‘menggantikan Tuhan’ dalam menentukan dosa dan pahala, ganjaran dan balasan, dan menganggap Tuhan adalah ‘rakan’nya yang boleh dibuat ‘deal’ terhadap syurga dan neraka.

Atas sebab itah mungkin Ibnu Qayyim menyebut dalam manzilah Taubat dalam kitabnya Madarij bahawa sesiapa yang memperkecilkan dosa, itu boleh menjadikan dosa itu besar.

Ya, titik noktahnya pada iktikad kita, di mana kita meletakkan posisi Tuhan, dan di mana pula posisi kita sebagai hamba, dan seorang manusia.

“Dan barangsiapa yang mengharapkan pertemuan Tuhannya, maka hendaklaj dia beramal soleh, dan tidak pula mensyirikkan Tuhannya dengan sesuatu apapun” – Al-Kahfi

Wallahua’lam

Ust Ahmad Syamil Esa

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *