RUU Akta 164 : Masa depan anak Umat Islam dipertaruhkan
Apabila pada satu masa pemimpin negara ini berusaha keras menyatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam, mereka perlu sedar kenyataan tersebut bukan sekadar kenyataan kosong tetapi lahir padanya sebuah tanggungjawab yang hendaklah disempurnakan oleh pemerintah.
Antara tanggungjawab utama bagi sebuah negara Islam adalah memastikan rakyat secara umumnya serta umat Islam secara khusus terpelihara akan kepentingan dan maslahat mereka. Ia jelas seperti yang disebut oleh Allah swt dalam Al-Quran:
ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمۡ فِى ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّڪَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَـٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ
Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. (Al-Hajj: 41)
Mengurus sebuah negara pada perspektif Islam bukan sekadar urus berdasarkan apa yang rakyat mahukan atau apa yang pemerintah merasakan ianya adalah betul. Tetapi ianya turut termasuk memastikan segala polisi dan pendirian yang dibuat selari dengan al-Haq (kebenaran) dan tidak bertentangan dengan ruh syariat itu sendiri.
Jadi baru-baru ini kerajaan ada mengemukakan usul berkenaan pindaan Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 atau Akta 164 yang turut disebut berkait dengan agama anak di bawah umur 18 tahun apabila salah seorang ibu atau bapa mereka memeluk Islam. Disebut bahawa kanak-kanak tersebut akan kekal berdasarkan agama ketika perkahwinan itu dilakukan.
Perkara ini secara jelas akan menzalimi orang yang memeluk agama Islam itu tadi, mana mungkin kita menyatakan bahawa kita memelihara kepentingan orang Islam apabila kita membiarkan anak-anak saudara se islam kita dipertaruhkan akan agama dan masa depan mereka. Lalu menjadi satu tanda tanya adakah benar kerajaan secara bersungguh ingin menjaga kepentingan umat Islam?
Jumhur ulama silam termasuklah dikalangan Mazhab Syafie, Hanbali serta Hanafi sendiri telah menetapkan secara jelas akan isu ini bahawa anak tersebut akan mengikut agama ibu atau bapa mereka apabila salah seorang daripada mereka memeluk agama Islam. Ianya adalah satu pandangan hasil menifestasi aqidah yang benar bahawa kedudukan Islam itu adalah yang tertinggi berbanding lain.
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : ” الإِسْلامُ يَعْلُو وَلا يُعْلَى
“Islam adalah agama yang tertinggi dan tidak ada yang tinggi selain Islam” (riwayat al-Bukhari)
Hinggakan ulama terdahulu telah menyimpulkan isu ini dalam satu kaedah fiqh yang jelas:
الولد يتبع خير الأبوين دينا
“anak akan mengikut agama yang terbaik dikalangan ibu bapa mereka”
Apabila suami isteri itu penyembah berhala kemudian salah seorang memeluk agama Kristian maka anak tersebut akan mengikut agamanya kerana agama samawi adalah lebih baik berbanding menyembah berhala. Begitu juga apabila salah seorang memeluk agama Islam, sudah tentu anak tersebut akan turut memeluk agama Islam kerana Islam adalah sebaik-baik agama dan satu-satunya agama yang diredhai oleh Allah swt:
إِنَّ ٱلدِّينَ عِندَ ٱللَّهِ ٱلۡإِسۡلَـٰمُۗ
“Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam” (Ali-Imran: 19)
Bahkan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 2009 sendiri telah mengeluarkan kenyataan bahawa agama anak adalah Islam apabila salah seorang ibu bapa menganut Islam. Kenyataan tersebut menyebut:
“Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa di dalam Islam, Jumhur Ulama telah bersepakat bahawa apabila salah seorang ibu atau bapa memeluk Islam, agama anak di bawah umur juga adalah Islam dan penjagaan anak hendaklah diletakkan di bawah ibu atau bapa yang beragama Islam.”
Lalu persoalannya adakah kerajaan benar-benar melihat ulama dan mufti yang ada sebagai penasihat mereka? atau sekadar mengambil pandangan serta pendirian syarak apabila berkait dengan kepentingan kerajaan semata-mata?
Kerajaan dan kita semua perlu sedar, isu ini bukan sekadar isu fiqh semata-mata, bahkan ianya berkait dengan maslahat umat keseluruhannya serta sejauh mana pemerintah sebuah negara Islam bersungguh dalam memastikan setiap peribadi orang Islam dalam negara ini tidak dizalimi serta dipelihara maslahat mereka.
Negara Islam bukan sekadar terletak pada nama dan slogan, tetapi ianya juga berkait dengan intipati serta bagaimana segala polisi yang dibuat oleh pemerintah benar-benar menjaga kepentingan umat Islam dan rakyat secara amnya.
Ust Muhd Firdaus bin Zalani
Pegawai Majlis Ulama ISMA (MUIS)