Transformasi Nasional 2050 : Moga ada perancangan untuk Islam
Seseorang muslim perlu benar-benar faham cara Islam berperanan dalam kehidupan manusia agar dia faham bagaimana sepatutnya dia berperanan di dalam kehidupan ini agar dia tidak hanya berpeluk tubuh dan hanya mengharapkan pertolongan Allah SWT secara ajaib sentiasa menyebelahi umat Islam.
Kita perlu menginsafi bahawa Islam berperanan di dalam kehidupan manusia dengan mengambil kira sejauh mana kesungguhan penganut agama yang benar ini memperjuangkannya dan berusaha sedaya upaya meletakkan Islam berperanan di dalam kehidupan ini. Hukum sebab dan musabab turut diambil kira oleh Allah SWT walaupun akhirnya keputusan terakhir dan muktamad akan ditentukan sendiri oleh Allah SWT. Ini adalah antara intipati pegangan kita sebagai Ahli Sunnah wa al Jamaah.
Kita diberi peluang bahkan diperintahkan oleh Allah SWT untuk berusaha menentukan masa depan kita dengan kita melengkapkan diri kita, menggariskan strategi kita, memperbaiki kelemahan-kelemahan kita dan berusaha sehabis daya kita dan akhirnya kita berserah kepada Allah . Sebagai hambaNya, kita wajib akur dengan ketentuan Allah di akhir segala usaha kita kerana Yang Maha memberi perkenan adalah hak mutlak Allah SWT.
Al Quran memberi pertunjuk kepada kita bahawa kita wajib berusaha merancang agar Islam lebih gemilang di dunia ini pada masa akan datang sehingga digeruni oleh musuh-musuh Islam bukan sekadar kuat bala tenteranya tetapi juga merangkumi segala aspek kehidupan. Firman Allah SWT di dalam ayat 60 surah al Anfaal :
“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.”
Jika kehidupan di dunia ini Allah SWT memerintahkan kita untuk merancang agar kehidupan kita lebih gemilang, apatah lagi untuk kehidupan di akhirat yang lebih kekal. Allah SWT memerintahkan agar kita merancang untuk menghadapi kehidupan selanjutnya selepas kita meninggalkan dunia ini. Firman Allah SWT dalam surah al Hasyr ayat 18 :
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.”
Namun kita selalu lupa untuk merancang masa depan Islam seperti mana seriusnya kita merancang masa depan kehidupan kita di dunia ini. Kita sering mengkesampingkan usaha merancang Islam yang lebih gemilang kerana ada yang menganggap apabila Islam itu hanya satu-satunya agama yang benar, maka Allah pasti akan menyediakan kegemilangan untuknya.
Ada juga yang tersalah anggap bahawa Islam telah mencapai kegemilangannya dengan terzahir syiar-syiar Islam sedangkan ukuran berkenaan adalah tidak benar. Islam dianggap gemilang apabila ia benar-benar menjadi sistem kehiduapan kita di dunia ini, bukan sekadar syiar yang ditegakkan bahkan syariat dapat dijalankan.
Umat Islam di Malaysia juga diharap tidak ketinggalan dan ditinggalkan untuk meletakkan peranan Islam di dalam setiap dasar yang digubal samada ia dalam skala jangka panjang mahupun jangka pendek. Ini wajar kerana Islam adalah agama persekutuan , bahkan Yang Dipertuan Agung telah bersumpah untuk menjaga Islam pada setiap masa dan umat Islam adalah majoriti penduduk negara ini.
Dasar baru Transformasi Nasional 2050 (TN50) diharap dapat memberi ruang dan peluang untuk umat Islam mengukuhkan lagi kedudukan Islam di negara ini dengan mengambil kira pandangan majoriti umat Islam negara ini dan input para ulama hendaklah diambil perhatian di dalam menentukan susuk tubuh Malaysia yang dicintai ini pada tahun 2050.
Sohibus Fadhilah Ust Zamri Hashim
Timbalan Mufti Negeri Perak
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)