Fiqh SemasaSoal JawabUtama

Hukum memelihara burung di dalam sangkar

Soalan: Assalamualaikum ust, apa hukum kita tangkap burung dan peliharanya dalam sangkar? adakah ianya dikira menyiksa burung itu?

Jawapan:
Salah satu di antara nikmat yang Allah berikan untuk manusia adalah binatang.

Firman Allah bermaksud :
“Dan Dia telah menciptakan binatang ternak untuk kamu ; padanya ada (bulu) yang menghangatkan dan berbagai-bagai manfaat, dan sebahagiannya kamu makan dan kamu memperoleh pandangan yang indah padanya, ketika kamu membawanya kembali ke kandang dan ketika kamu melepaskannya ke tempat penggembalaan dan ia memikul beban-bebanmu ke suatu negeri yang kamu tidak sanggup sampai kepadanya, melainkan dengan kesukaran-kesukaran (yang memayahkan) diri. Sesungguhnya Tuhanmu benar-benar Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, dan (dia telah menciptakan) kuda, baghal dan keledai, agar kamu menungganginya dan (menjadikannya) perhiasan dan Allah menciptakan apa yang kamu tidak mengetahuinya..
[Surah An-Nahl : 5 – 8]

Allah tegaskan dalam maksud ayat di atas, salah satu manfaat haiwan peliharaan adalah ‘Kamu memperolehi PANDANGAN YANG INDAH padanya’. Sekalipun haiwan ini tidak ditunggangi, dia boleh menjadi pemandangan menarik bagi pemiliknya. Dirawat hanya untuk dipandang dan dijadikan hiasan. Fungsi semacam ini, ada pada burung peliharaan.

Di samping ayat di atas, terdapat sebuah hadis yang secara tegas membolehkan kita memelihara burung. Hadis dari sahabat Anas bin Malik ra. Beliau memiliki adik laki-laki yang masih kanak-kanak, bernama Abu Umair. Si adik memiliki burung kecil paruhnya merah, bernama Nughair.

Anas menceritakan ; Nabi SAW adalah manusia yang paling baik akhlaknya. Saya memiliki seorang adik lelaki, namanya Abu Umair. Usianya mendekati usia baru disapih. Apabila Rasulullah SAW datang, beliau memanggil, ‘Wahai Abu Umair, ada apa dengan Nughair?’ Nughair adalah burung yang digunakan mainan Abu Umair. [HR. Bukhari 6203, Muslim 2150, dan yang lainnya]

Al-Hafiz Ibnu Hajar menyebutkan beberapa pelajaran yang disimpulkan dari ini, di antara yang beliau sebutkan,

جواز إمساك الطير في القفص ونحوه

“(Hadis ini dalil) bolehnya memelihara burung dalam sangkar atau seumpamanya.” (Fathul Bari, 10/584).

As-Syarwani (w. 1301 H) – Ulamak mazhab Syafiiyah – mengatakan ;

”al-Qaffal ditanya tentang hukum memelihara burung dalam sangkar, untuk didengarkan suaranya atau semacamnya. Beliau menjawab, itu dibolehkan selama pemiliknya prihatin keperluan burung itu, kerana hukumnya sama dengan binatang ternak yang diikat.” (Hasyiyah as-Syarwani, 9/210).

Pertanyaan mengenai hukum memelihara burung juga pernah disampaikan kepada Mufti Makkah. Jawab beliau ;

“Tiada masalah memelihara burung, selama tidak menzaliminya dan disikapi dengan baik dalam memberi makanan atau minuman. Baik burung kakatua, burung merpati, ayam atau binatang peliharaan lainnya, dengan syarat diperlakukan dengan baik dan tidak menzaliminya. Baik binatang itu dipelihara di dalam kolam, sangkar atau akuarium seperti ikan misalnya.” [Fatâwa Islamiyyah (4/596)]

Namun perlu ditegaskan ada beberapa ADAB yang perlu diperhatikan ketika memelihara burung :

1. Dilarang melakukan pemborosan.
Islam melarang manusia melakukan pemborosan dalam urusan apapun. Termasuk pemborosan dalam urusan hobi, hinggakan adakalanya lebih diutamakan daripada memenuhi keperluan rumahtangga.

2. Tidak lalai dan leka.
Jangan habiskan waktu hanya untuk burung. Seolah-olah manusia telah menjadi pelayan bagi burung itu, sampai melalaikannya dari aktiviti yang lain.

▪️Dulu Nabi Sulaiman as pernah memiliki kuda peliharaan yang sangat beliau cintai. Firman Allah bermaksud ;

“(Ingatlah) ketika dipertunjukkan kepadanya kuda-kuda yang tenang di waktu berhenti dan cepat waktu berlari pada waktu petang, Dia berkata: “Sesungguhnya aku menyukai kesenangan terhadap barang yang baik (kuda) sehingga aku lalai mengingat Tuhanku sampai kuda itu hilang dari pandangan”. “Bawalah kuda-kuda itu kembali kepadaku”. lalu ia potong kaki dan leher kuda itu. (QS. Shad: 30 – 33).

Kerana kuda itu telah melalaikan Sulaiman, beliaupun menyembelihnya.

Wallahua’lam

 

Ust Abdul Rahman Iskandar

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *