Selesai ibadah Haji hanyalah permulaan kepada sebuah perjuangan

tawaf-kaabah

Apabila seseorang pergi menunaikan ibadah Haji, dia sebenarnya sedang menyempurnakan satu ibadah yang merupakan rukun Islam yang kelima atau yang terakhir setelah rukun-rukun Islam yang lain telah disempurnakan sebelumnya. Dalam adat tradisi masyarakat Islam di Malaysia dan Indonesia, mereka yang telah selamat meyempurnakan ibadah Haji akan dipakaikan gelaran Haji kepada mereka sebagai satu penghormatan kerana direzkikan oleh Allah s.w.t untuk mengerjakan rukun Islam yang kelima itu. Adat sebegini lahir daripada sikap masyarakat kita yang begitu menjunjung tinggi rukun Islam yang kelima itu.

Akan tetapi, daripada budaya yang baik ini, timbul satu sikap negatif di mana ada sebahagian yang beranggapan bahawa dengan menunaikan Haji, maka telah sempurnalah keislaman mereka sekalipun ada tanggungjawab-tanggungjawab Islam yang lain yang tidak dilaksanakan. Mereka merasakan yang kehidupan beragama ini bersifat indivdualistik dan agama Islam ini hanyalah agama akhirat semata-mata.

Sikap negatif ini bukanlah sesuatu yang pelik jika kita melihat kepada siri-siri serangan yang dilakukan oleh musuh Islam kepada umat Islam. Mereka bukan sahaja menyerang tanah-tanah umat Islam dan merompak hasil bumi mereka, tetapi menyerang dan merosakkan kefahaman dan keyakinan umat Islam terhadap agamanya. Islam memerintahkan umatnya supaya menjadi pemimpin kepada semua manusia, tetapi kebanyakan dari kita pada hari ini hanya berpuas hati dengan ibadah-ibadah khusus yang bersifat peribadi. Islam memerintahkan umatnya supaya berkorban dan berjuang tanpa henti sehingga tertegaknya kalimah Allah di bumi ini, tetapi rata-rata kita pada hari ini memilih kehidupan yang selesa dan hanya sanggup bersusah payah jika perkara itu memberikan habuan dunia kepada diri sendiri. Fenomena seperti ini berpunca daripada salah faham umat Islam terhadap agama mereka sendiri kesan daripada usaha terancang musuh Islam dan sikap malas umat Islam untuk memahami agama mereka.

Oleh yang demikian, usaha untuk mengembalikan umat Islam kepada kefahaman Islam yang asal seperti mana yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w dan difahami oleh para sahabat adalah satu usaha yang mesti diletakkan di puncak keutamaan di samping usaha-usaha yang lain. Jadi, dalam ruangan ini, saya ingin berkongsi kepada para pembaca yang budiman tentang kefahaman ibadah Haji yang sebenar dengan menjadikan surah al-Hajj sebagai kupasan utama dalam tulisan saya ini.

Sebab kenapa surah ini menjadi pilihan tidak perlu diperjelaskan lagi kerana daripada namanya sahaja sudah cukup untuk menarik perhatian sesiapa yang ingin mendapatkan kefahaman sebenar berkenaan ibadah Haji yang begitu agung ini. Bahkan, surah ini menjadi lebih istimewa kerana tergolong sebagai salah satu surah yang diberikan nama oleh Rasulullah s.a.w sendiri. Dan Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya memetik kata-kata al-Ghaznawi:

                “Surah al-Hajj adalah antara surah-surah yang ajaib. Ia turun pada waktu malam dan siang, ketika musafir dan bermukim, ada ayat Makki dan Madani, turun ketika waktu aman dan perang, ada ayat nasikh dan mansukh, ada ayat Muhkam dan Mutasyabih.”

 Jadi, dengan izin Allah, saya hanya akan kupas beberapa ayat daripada surah ini untuk kita sama-sama dapatkan gambaran sebenar tentang tugas dan peranan kita hidup di muka bumi.

DUA KUMPULAN YANG BERTEMBUNG

Bagi memahami tugas dan peranan sebenar kita, perlulah kita memahami dan mengerti dahulu akan gambaran sebenar tentang perjalanan kehidupan kita di muka bumi ini. Dalam ayat 17 surah al-Hajj, Allah s.w.t menyatakan kepada kita bahawa di Akhirat nanti akan diberikan keputusan ke atas seluruh manusia yang terdiri dari penganut agama yang pelbagai.

إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَٱلَّذِينَ هَادُواْ وَٱلصَّٰبِ‍ِٔينَ وَٱلنَّصَٰرَىٰ وَٱلۡمَجُوسَ وَٱلَّذِينَ أَشۡرَكُوٓاْ إِنَّ ٱللَّهَ يَفۡصِلُ بَيۡنَهُمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ شَهِيدٌ ١٧

“Sesungguhnya  orang beriman, orang Yahudi, orang Sabi’in, orang Nasrani, orang Majusi dan orang musyrik, Allah akan memberi keputusan kepada mereka pada hari kiamat. Sesungguhnya Allah menyaksikan tiap-tiap sesuatu.”

Pun begitu, kepelbagaian agama ini tidak menjadikan keputusan Allah ke atas manusia itu nanti berbeza-beza. Di sisi Allah s.w.t, umat manusia hanya akan terbahagi kepada dua kesudahan; iaitu satu kumpulan yang akan mendapat syurga dan balasan yang baik. Mereka itulah orang beriman. Dan satu kumpulan lagi akan mendapat azab seksa yang amat pedih. Mereka itulah orang kafir yang melakukan kekufuran tanpa dibeza-bezakan jenis kekufuran yang ada pada mereka. Sama ada mereka itu menyekutukan Allah dengan menyembah berhala, atau menjadikan api sebagai tuhan, atau menjadikan malaikat sebagai tuhan, atau mempertuhankan nabi yang merupakan seorang manusia, semuanya itu tidak ada bezanya di sisi Allah s.w.t.

وَكَثِيرٞ مِّنَ ٱلنَّاسِۖ وَكَثِيرٌ حَقَّ عَلَيۡهِ ٱلۡعَذَابُۗ

“…dan ramai di antara manusia (berada di dalam syurga). Dan ramai juga yang telah ditetapkan azab ke atasnya.” [Surah al-Hajj: 18]

Perbezaan kesudahan manusia ini diperkuatkan lagi di dalam ayat seterusnya yang menerangkan tentang punca kepada perbezaan ini iaitu kerana ‘perbalahan’ yang berlaku antara manusia dalam perkara ketuhanan.

۞هَٰذَانِ خَصۡمَانِ ٱخۡتَصَمُواْ فِي رَبِّهِمۡۖ

“Inilah dua kumpulan yang saling berbalah tentang tuhan mereka…” [Surah al-Hajj: 19]

Ya, sejak di dunia ini lagi mereka berbalah. Orang mukmin bermati-matian mentauhidkan Allah s.w.t dalam seluruh kehidupan mereka, membawa manusia menghambakan diri kepada-Nya dan mempertahankan segala syiar-syiar tauhid yang ada di bumi. Di pihak lawan pula, mereka menjadikan hawa nafsu sebagai tuhan, mengelirukan manusia dengan memperlihatkan kebatilan sebagai kebenaran dan menyekat manusia dari memperbesarkan syiar-syiar Allah sama ada secara halus atau melalui kekerasan.

Apa yang saya sebutkan ini sesuai dengan hadis Abu Zar yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari bahawa ayat ini diturunkan kepada mereka yang berlawan pedang (dueling) ketika perang Badar. Saidina Ali r.a, Hamzah r.a dan Ubaidah Bin al-Harith r.a mewakili pihak muslimin. Manakala ‘Utbah Bin Abi Rabi’ah, Syaibah Bin Abi Rabi’ah dan al-Walid Bin ‘Utbah mewakili pihak musyrikin. Saat genting yang pertama kali dihadapi oleh umat Muhammad s.a.w. ini merupakan detik pemutus pertama antara dua kelompok sepertimana yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w dalam doanya sebelum perang:

اللهم إن تُهلِكْ هذه العصابة لا تعبد في الأرض

“Ya Allah, jika Engkau membinasakan kelompok ini (tentera Muslimin), Engkau tidak disembah di bumi ini.”

Kemenangan tentera muslimin dalam perang ini menunjukkan kesudahan yang baik akan menjadi hak milik orang beriman. Sama ada di dunia ataupun di akhirat. Dan juga merupakan isyarat jelas dari Allah s.w.t bahawa perjuangan menegakkan syiar-syiar Allah akan mendapat kemenangan. Seperti firman Allah dalam surah ini:

وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ

“…dan Allah pasti memberikan kemenangan kepada sesiapa yang membantu-Nya.” [Surah al-Hajj: 40]

Pertembungan seperti ini tidak akan pernah berhenti. Masakan tidak! Selagi mana manusia diberikan peluang untuk hidup, akan ada golongan kuffar yang sentiasa menghalang manusia dari jalan Allah s.w.t. Bagi orang beriman pula, adalah menjadi tugas mereka untuk tidak berdiam diri dan sentiasa memastikan halangan yang dibuat oleh musuh dapat dihilangkan supaya manusia dapat kembali ke jalan kebenaran. Inilah gambaran perjalanan kehidupan kita di dunia; iaitu sebuah kehidupan yang memberikan ruang untuk kita memilih salah satu di antara dua pihak yang saling bertembung.

Di pihak orang beriman, mereka tidak bersendirian dalam pertembungan yang panjang ini. Adalah tidak layak bagi Allah s.w.t meninggalkan mereka bersendirian dan sekadar bergantung pada diri sendiri lalu dikalahkan oleh golongan kuffar. Allah s.w.t berfirman:

۞إِنَّ ٱللَّهَ يُدَٰفِعُ عَنِ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْۗ

“Sesungguhnya Allah mempertahankan orang beriman…” [Surah al-Hajj: 19]

Ada beberapa noktah penting yang hendak disampaikan dari ayat ini. Pertamanya adalah ayat ini menunjukkan kepada kita bahawa di sana ada pertembungan (baca: peperangan) yang mesti dihadapi oleh orang beriman. Dan ketika pertembungan ini berlaku, Allah s.w.t akan memihak kepada orang beriman dengan memberikan bantuan dan mematahkan segala tipu daya musuh mereka.

Kedua, kalimah ُدافع) dalam ayat ini adalah sighah mubalaghah (hiperbola) kepada kalimah (يَدْفَع) yang bermaksud mempertahankan daripada sesuatu. Jadi, kalimah (يدافع) bermaksud mempertahankan daripada sesuatu yang berlaku secara berulang-kali dan berterusan dari pelaku. Dan pelaku dalam konteks ayat ini ialah Allah s.w.t.

Ketiga, dalam ayat ini sengaja tidak disebutkan daripada apa Allah s.w.t mempertahankan orang beriman adalah untuk menunjukkan kekerdilan dan kelemahan perkara tersebut; iaitu kerosakan dan bahaya yang ditimbulkan orang kafir. Dan juga untuk menunjukkan kehebatan kuasa Allah s.w.t.

KENAPA PERLU BERSUSAH PAYAH?

Perkhabaran yang memberitahu bahawa Allah s.w.t akan turut bersama-sama membantu mereka dalam setiap pertembungan menentang golongan kuffar dan memberikan kemenangan kepada sesiapa yang membantu agama-Nya dan adalah khabar gembira buat kita yang mahu menggabungkan diri bersama orang beriman.

Tetapi tahukah kita bahawa menempatkan diri bersama-sama orang beriman untuk menegakkan agama Allah s.w.t di bumi ini bukanlah suatu yang mudah. Kalau kita soroti sirah Rasulullah s.a.w dan melihat bagaimana akhirnya ibadah Haji disyariatkan, kita akan dapati jika tidak ada Fathu Makkah (Pembukaan Makkah), berkemungkinan besar Haji tidak akan disyariatkan. Ini berdasarkan pandangan terkuat yang mengatakan Haji disyariatkan ketika penghujung tahun 9 H, setahun selepas peristiwa Fathu Makkah. Iaitu setahun selepas kekuatan orang musyrik yang menyekat orang Islam dari memasuki Makkah berjaya dihancurkan.

Jika diteliti lagi, surah ini mengandungi ayat-ayat yang berkaitan tentang mengagungkan hurumat (kesucian) dan syiar-syiar Allah s.w.t; iaitu ayat 30 dan 32. Dalam masa yang sama juga, ia mengandungi ayat yang memberikan keizinan berjihad; iaitu ayat 39. Mungkin inilah rahsianya kenapa urusan menyusun ayat-ayat Quran adalah perkara tawqifi (perkara yang datang dari Allah dan Rasul), kerana saya melihat hubungan di antara ayat-ayat ini adalah syiar-syiar Allah s.w.t tidak akan mampu didaulatkan melainkan dengan dengan wujudnya umat yang berjihad.

Jadi, jika jihadlah jalannya, maka kerehatan dan bersenang-lenang mestilah dibuang dari kamus hidup orang beriman. Inilah sunnah Allah s.w.t kepada mereka yang memilih untuk meletakkan diri bersama-sama orang beriman. Tetapi kenapa kita perlu melalui jalan yang susah dan mencabar, sedangkan kita sedang membantu agama Allah sw.t? Bukankah sebagai orang yang memperjuangkan agama-Nya, kita sepatutnya mendapat bermacam-macam kemudahan dan kesenangan kerana itulah tanda Allah s.w.t sayangkan kita?

Antara hikmahnya kenapa Allah s.w.t membuat ketetapan sebegitu adalah mungkin kerana Allah s.w.t menginginkan mereka yang dipilih untuk memperjuangkan agama-Nya terdiri dari kalangan mereka yang kuat, tidak mudah berputus asa, berjiwa besar dan teguh pendirian. Bukannya mereka yang malas, lemah dan pentingkan diri.

AL-HAJJ MENGAJAR KITA TUGAS SEBENAR

Menurut Al-Banna, Allah s.w.t menyimpulkan tugas sebenar seorang muslim dalam satu ayat dan mengulang-ulangnya dalam beberapa ayat yang lain dalam al-Quran. Ayat yang menyimpulkan tugas sebenar seorang muslim itu ialah ayat 77-78 surah al-Hajj:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱرۡكَعُواْ وَٱسۡجُدُواْۤ وَٱعۡبُدُواْ رَبَّكُمۡ وَٱفۡعَلُواْ ٱلۡخَيۡرَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ۩ ٧٧ وَجَٰهِدُواْ فِي ٱللَّهِ حَقَّ جِهَادِهِۦۚ هُوَ ٱجۡتَبَىٰكُمۡ وَمَا جَعَلَ عَلَيۡكُمۡ فِي ٱلدِّينِ مِنۡ حَرَجٖۚ مِّلَّةَ أَبِيكُمۡ إِبۡرَٰهِيمَۚ هُوَ سَمَّىٰكُمُ ٱلۡمُسۡلِمِينَ مِن قَبۡلُ وَفِي هَٰذَا لِيَكُونَ ٱلرَّسُولُ شَهِيدًا عَلَيۡكُمۡ وَتَكُونُواْ شُهَدَآءَ عَلَى ٱلنَّاسِۚ فَأَقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُواْ ٱلزَّكَوٰةَ وَٱعۡتَصِمُواْ بِٱللَّهِ هُوَ مَوۡلَىٰكُمۡۖ فَنِعۡمَ ٱلۡمَوۡلَىٰ وَنِعۡمَ ٱلنَّصِيرُ ٧٨

“Wahai orang beriman! Rukuklah, sujudlah dan sembahlah Tuhan kamu, dan buatlah kebaikan agar kamu berjaya. Dan berjihadlah kamu di jalan Allah dengan sebenar-benar jihad. Dia telah memilih kamu dan Dia tidak menjadikan kesukaran ke atas kamu dalam agama. (Ikutlah) agama bapa kamu; Ibrahim. Dia (Allah) telah menamakan kamu (dengan) Muslimin sejak dahulu dan juga di dalam (Kitab) ini supaya Rasul menjadi saksi ke atas kamu dan kamu menjadi saksi ke atas manusia. Maka dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan berpeganglah dengan Allah (kerana) Dialah penjaga kamu. Dialah sebaik-baik penjaga dan pembantu.” [Surah al-Hajj: 77-78]

Menurut al-Banna lagi, tugas muslim itu terbahagi kepada dua bentuk; iaitu tugas peribadi dan tugas sosial. Tugas peribadi adalah; beribadah kepada Allah s.w.t dan melakukan kebaikan. Tugas sosial pula ialah berjihad di jalan Allah s.w.t dengan menyebarkan agama-Nya kepada manusia melalui bukti dan hujah. Dan menggunakan kekuatan dan senjata sekiranya mereka menolak dengan kekerasan dan kezaliman.

Inilah tugas dan peranan sebenar kita. Tetapi realiti umat Islam pada hari ini menunjukkan yang kebanyakkan dari kita hanya menumpukan pada tugas peribadi sahaja dan meninggalkan tugas sosial. Ketahuilah tugas peribadi seperti melakukan solat, puasa, zakat dan Haji adalah bekalan untuk kita ketika melakukan tugas sosial yang begitu mencabar seperti mana yang difahami oleh generasi salafussoleh. Berkata Abu ad-Darda’ r.a:

أيها الناس، عمل صالح قبل الغزو، فإنما تقاتلون بأعمالكم

“Wahai manusia, beramal solehlah dahulu sebelum kamu pergi berperang. Seseungguhnya kamu sebenarnya berperang dengan amalan-amalan kamu.”

Semoga musim haji pada tahun ini mampu mengingatkan kembali diri kita kepada tugas sebenar kita di dunia ini. Wallahua’lam.

Ust Muhammad Asyraf bin Othman
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *