BeritaUtama

RUU 355: Perundangan Islam adalah yang terbaik termasuk di Malaysia

photo_2016-08-23_15-15-32

BANGI, 23 Ogos-Kita sebagai umat Islam hendaklah meyakini sepenuhnya bahawa sistem perundangan Islam secara asasnya adalah sistem yang sangat realistik, releven dan terus bersesuaian dimana sahaja termasuklah di Malaysia.

Prof Madya Shamrahayu Abd Aziz, Felow Utama Pusat Kajian Syariah, Undang-undang & Politik IKIM berkata demikian dalam satu forum berkaitan Rang Undang-Undang 355 di Persada Canselori, UKM pagi tadi.

"Oleh kerana Islam mempunyai kedudukan yang istimewa di dalam Perlembagaan Persekutuan maka menjadi tanggungjawab serta kewajipan seluruh masyarakat Malaysia tanpa mengira bangsa atau agama memenuhi kehendak perlembagaan tersebut"

Tambah beliau lagi, bahkan sepatutnya golongan bukan Islam di negara ini perlu tahu pelbagai asas berkenaan Islam seperti cara orang Islam solat dan lain-lain kerana hakikatnya Islamlah identiti kepada negara ini.

Pada 26 Mei yang lepas, Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentang usul RUU Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat.

Ia bertujuan meminda Seksyen 2 bagi menggantikan peruntukan dalam undang-undang sedia ada iaitu Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas umat Islam dan dalam hal-hal kesalahan di dalam perkara yang disenaraikan di butiran 1 Senarai Negeri, mengikut jadual kesembilan Undang-Undang Persekutuan.

Ia juga bagi memasukkan Seksyen 2A iaitu dalam menjalankan undang-undang jenayah mengikut Seksyen 2, Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan mengikut seksyen yang disebutkan, selain hukuman mati.

Bagaimanapun, usul itu mendapat tentangan oleh beberapa pihak antaranya parti rasis dan cauvinis DAP serta rakan sekutu Barisan Nasional iaitu MCA dan MIC.

Usul itu akan diperbahaskan oleh anggota Parlimen pada sesi persidangan Dewan Rakyat Oktober nanti.

Forum pagi tadi "RUU 355: Antara Keadilan Islam dengan Realiti Masyarakat" adalah anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk memberi gambaran akan gambaran sebenar disebalik RUU Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016. Ianya dihadiri tokoh-tokoh perundangan Islam iaitu YB Dato' Takiyuddin Hassan, Prof Datin Dr Faridah Jalil, Dato Zainul Rijal Abu Bakar dan Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *