Menjadi antara dua pemimpin: Saifuddin Qutuz atau Genghis Khan

tatar

Dalam kisah sejarah Tatar kita menyaksikan bagaimana wujudnya dua peribadi yang telah mengubah perjalanan sejarah manusia. Seorangnya adalah Saifuddin Qutuz, dan seorang lagi ialah Genghis Khan. Sejarawan memperakui bahawa kedua peribadi ini telah memberi kesan kepada jutaan manusia bahkan rupa bentuk geografi dunia pada waktu itu hinggalah hari ini.

Namun disebalik persamaan tersebut terdapat hakikat perbezaan antara dua watak ini. Diatas titik perbezaan inilah sepatutnya kita hayati supaya kisah tersebut tidaklah sekadar menjadi tulisan-tulisan sejarah, tetapi ianya menjadi ibrah dan penghayatan kepada kita sebagai seorang muslim.

1. Antara hawa nafsu dan keimanan

Antara ibrah yang boleh kita ambil ialah faktor sumber pembentukan yang berbeza sebenarnya akan melahirkan tindakan dan kesan yang berbeza pada dua peribadi tersebut. Keimanan akhirnya melahirkan satu peribadi yang membangunkan ketamadunan manusia hinggakan membina sebuah peradaban. Lalu dengan sifat tersebut melayakkan peribadi tersebut menyempurnakan tugasan utama mereka atas muka bumi ini iaitu menjadi khalifah.

إِنِّي جَاعِلٌ فِي الأَرْضِ خَلِيفَةً

Sesungguhnya aku ingin menjadikan diatas muka bumi ini khalifah (al-Baqarah:30)

Sedangkan dengan hawa nafsu dan kekuatan fizikal semata-mata membawa kepada kehancuran, kezaliman lalu membawa keruntuhan sebuah ketamadunan manusia. Lalu peribadi sebegini tiada yang layak baginya melainkan laknat Allah swt.

Maka boleh kita katakan pengaruh seorang ini lahir dengan kebuasan hawa nafsu, senjata dan fizikal sedangkan seorang lagi lahir daripada pembentukan keimanan serta ruh syariat Islam itu sendiri.

2. Tidak mudah membina tamadun

Hakikat yang tidak dapat dinafikan juga ialah dunia hari ini bahkan sepanjang sejarah sendiri menyaksikan peribadi seperti Genghis Khan adalah lebih ramai berbanding Saifuddin Qutuz walaupun hasil dan pengakhiran kehinaan atau kemuliaan antara mereka sudah jelas. Ini kerana seperti pepatah arab menyebut:

من السهل جدًّا أن تُدمِّر، لكن من الصعب جدًّا أن تبني.

من السهل جدًّا أن تظلم، لكن من الصعب جدًّا أن تعدل.

من السهل جدًّا أن تغضب، لكن من الصعب جدًّا أن تعفو.

Tersangatlah mudah untuk menghancurkan sedangkan teramatlah susah untuk membina, tersangatlah mudah untuk menzalimi sedangkan teramatlah susah untuk bersikap adil serta teramat mudah untuk marah sedangkan teramatlah susah untuk memaafkan.

Menjadi atau membina peribadi yang akan membangunkan sebuah tamadun bukanlah mudah tetapi untuk menjadi seorang yang melakukan kehancuran itu adalah mudah bahkan adakalanya tidak perlu diajar. Jadi jika kita ingin menjadi seorang pemimpin yang beriman dan hebat maka ianya menuntut kepada suatu mujahadah yang tinggi.

3. Peribadi membina ummah

Selain itu, kedua peribadi ini juga mengajar kita bahawa perubahan sejarah ini memerlukan wujudnya peranan secara peribadi tertentu. Ianya jelas menafikan pandangan sesetengah pihak yang menyebut bahawa satu peribadi tidak akan mampu merubah sebuah perjalanan manusia namun sejarah sendiri membuktikan sebaliknya. Peribadi seperti Abu Bakar as SIddiq, Umar al-Khattab, Musa bin Nusair, Imaduddin al-Zinki mengajar kita akan peri pentingnya wujud peribadi yang hebat dan mengesani dalam menghasilkan sebuah perubahan.

Sebab itulah dalam satu hadis Rasulullah saw menyebut:

إِنَّ اللهَ يَبْعَثُ لِهَذِهِ الأُمَّةِ عَلَى رَأْسِ كُلِّ مِائَةِ سَنَةٍ مَنْ يُجَدِّدُ لَهَا دِينَهَا

Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda: Sesungguhnya Allah swt akan mengutus pada umat ini satu pemimpin setiap 100 tahun untuk memperbaharui agama (riwayat Abu Daud)

Tanpa menafikan pentingnya wujudnya suasana dan sistem, namun sistem semata-mata tanpa sebarang usaha berbentuk sentuhan permbentukan peribadi tidak akan membawa hasil yang hebat. Pada sudut inilah menunjukkan tarbiyyah (pendidikan) serta bijak memilih peribadi yang berpotensi  adalah perkara yang mustahak dalam menbangunkan kembali tamadun Islam.

4. Sumber yang suci

Dalam tarbiyyah (pendidikan) tersebut juga, kita hendaklah memastikan ianya benar-benar bersumberkan daripada Al-Quran dan As-Sunnah. Kerana hakikatnya agama Islam ini jika dihayati sebenar-benarnya ianya pasti akan memberi kesan kepada diri kita. Dr Raghib al-Sargani ada menyebut:

أعظم معجزات هذا الدين هي «صناعة الرجال»!

Mukjizat yang terbesar pada agama ini adalah (jika dihayati dengan betul) ialah mampu melahirkan rijal

Tiada beza, Al-Quran dan As Sunnah yang kita ada pada hari ini hakikatnya adalah kitab yang sama membentuk peribadi Saifuddin Qutuz.Yang berbeza hanya pada tahap penghayatan serta bersihnya pemikiran ini daripada sumber kefahaman yang lain.

Selagi mana pembentukan tersebut bersih daripada kefahaman-kefahaman barat selagi itulah umat ini akan terus berada atas jalan kebenaran. Masalah inilah yang dihadapi kita pada hari ini sehinggakan pembentukan Al-Quran dan As-Sunnah tidak mengesani masyarakat kita walaupun dibentuk sejak sekolah rendah lagi, iaitu kerana bercampur baur dengan kefahaman lain. Sumber tersebut tidak cukup suci.

5. Legasi kita?

لَقَدْ كَانَ فِي قَصَصِهِمْ عِبْرَةٌ لأُولِي الأَلْبَابِ

Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Surah Yusuf: 111)

Akhir sekali, kedua peribadi ini mengajar kita bahawa mereka telah membina legasi mereka sendiri. Telah berlalunya kelompok solihin dan telah matinya orang-orang zalim bersama tentera-tentera mereka. Saifuddin Qutuz dan Genghis Khan masing-masing akan mendapat balasan terhadap apa yang telah mereka lakukan. Yang tinggal untuk kita hanya suatu ibrah yang terserah kepada kita untuk mengambilnya atau membiarkan ianya berlalu. Yang tinggal hanyalah satu persoalan kepada diri kita

Adakah kita ingin menjadi pemimpin seperti Saifuddin Qutuz yang mulia atau menjadi Genghis Khan yang hina?

Ust Muhammad Firdaus bin Zalani
Pegawai Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *