Kebebasan sebenar adalah hamba yang merdeka

sujud_3

Hamba yang merdeka. Paradoks. Ganjil bunyinya . Tak masuk dek akal. Dua kalimah yang berlawanan dirangkumkan dalam satu frasa. ‘Hamba’ dilihat terkongkong dan tidak bebas membuat pilihan manakala ‘Merdeka’ difahami sebagai bebas membuat apa sahaja tanpa perlu minta izin restu sesiapa.

Siapa yang tidak mahu bebas dan merdeka? Jauh sekali mahu dikongkong. Maka Islam menyuluh makna merdeka yang hakiki adalah pengabdian kepada Ilahi. Firman Allah s.w.t ‘Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.’ Surah Az-Zariyat ayat 56. Merdeka daripada manusia.Merdeka dari hawa nafsu. Memainkan peranan sebagai hamba kepada yang hanya layak disembah tuhan sekalian alam dan patuh kepada suruhannya.

Patuh Syariat adalah Kongkongan?

Seorang pelajar yang rajin menelaah pelajaran dan berdisplin mengikuti pesan gurunya pasti akan berjaya. Seorang rakyat yang patuh pada undang-undang negara adalah rakyat yang taat setia kepada negaranya. Begitu juga dengan kita. Allah s.w.t mengatur kehidupan manusia dengan ketetapan Syariah tidak lain dan tidak bukan untuk kebaikan manusia itu sendiri. Berkata Al-Izz bin Abdul Salam yang digelar sebagai Sultanul Ulama'[1]: “Syariah itu semuanya, maslahah (kebaikan) samada menolak mafsadah (kerosakan) ataupun menarik maslahah

Yang Taat Akan Selamat,Yang Ingkar Kan Binasa

Allah s.wt telah menggambarkan dua golongan manusia dalam Al-Quran. Pertama mereka yang patuh dalam Surah Baqarah ayat 256:-

لَآ إِكۡرَاهَ فِي ٱلدِّينِۖ قَد تَّبَيَّنَ ٱلرُّشۡدُ مِنَ ٱلۡغَيِّۚ فَمَن يَكۡفُرۡ بِٱلطَّٰغُوتِ وَيُؤۡمِنۢ بِٱللَّهِ فَقَدِ ٱسۡتَمۡسَكَ بِٱلۡعُرۡوَةِ ٱلۡوُثۡقَىٰ لَا ٱنفِصَامَ لَهَاۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ ٢٥٦

Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam).Sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat. Barang siapa yang ingkar kepada Thaghut (orang-orang zalim) dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan tali (agama) yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Bayangkan kita tercampak di lautan yang luas hampir lemas di dalamnya.Apabila tiba bantuan dan dicampak talian hayat kepada kita sudah pasti kita akan berpaut dan mengikat diri padanya agar selamat. Begitulah jua janji Allah s.w.t menyelamatkan mereka yang taat dari tenggelam nafsu dan karam dunia.

Kedua mereka yang ingkar dan balasannya, Al-Quran Surah Al-Kahfi ayat 29:-

وَقُلِ ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّكُمۡۖ فَمَن شَآءَ فَلۡيُؤۡمِن وَمَن شَآءَ فَلۡيَكۡفُرۡۚ إِنَّآ أَعۡتَدۡنَا لِلظَّٰلِمِينَ نَارًا أَحَاطَ بِهِمۡ سُرَادِقُهَاۚ وَإِن يَسۡتَغِيثُواْ يُغَاثُواْ بِمَآءٖ كَٱلۡمُهۡلِ يَشۡوِي ٱلۡوُجُوهَۚ بِئۡسَ ٱلشَّرَابُ وَسَآءَتۡ مُرۡتَفَقًا ٢٩

Dan katakanlah (wahai Muhammad) kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya. Kerana Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api Neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka,amatlah buruknya minuman itu dan amatlah buruknya Neraka sebagai tempat tinggal

Begitu dahsyat seksaan menanti bagi mereka yang ingkar dan dijelaskan secara terperinci untuk melahirkan rasa insaf dan takut.

Kebebasan Palsu Vs Kemerdekaan Hakiki

Malangnya, kedua ayat di atas sering dimanipulasi oleh aliran songsang liberal dan golongan hawa nafsu menyatakan manusia itu bebas itu melakukan apa sahaja tanpa paksaan dari pihak mana sekalipun. Bebas menyukai apa yang dipilih dan bebas memilih apa yang disukai sehinggakan jenayah Murtad keluar dari agama Islam pun dibolehkan 

Ya,manusia bebas membuat pilihan tapi dia tidak bebas memilih balasan pilihannya itu. Masakan peniaga yang memilih untuk malas bisa untung juta-juta.Dan pelajar yang suka culas cemerlang dalam pelajarannya. Itu baru sahaja hukum dunia, apatah lagi bila soal balasan syurga neraka. Allah s.w.t  jelas menyatakan hal ini pada Surah As-Syams ayat 9-11:-

 قَدۡ أَفۡلَحَ مَن زَكَّىٰهَا ٩ وَقَدۡ خَابَ مَن دَسَّىٰهَا ١٠  كَذَّبَتۡ ثَمُودُ بِطَغۡوَىٰهَآ ١١

Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa.Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan)Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).

Sempena ulang tahun kemerdekaan tanah air kita yang ke-59,marilah kita sama-sama menghayati semula makna kemerdekaan yang hakiki menurut neraca timbangan Al-Quran dan Sunnah. Menyemarakkan semula semangat perjuangan datuk nenek kita mengusir penjajah dari Tanah Melayu semata-mata ingin melihat anak cucu mereka hidup bebas merdeka. Ayuh pastikan diri kita bebas melakar negara ini menurut acuan Islam dari segenap aspek ekonomi,undang-undang,sosial,ideologi dan lain-lain. Hanya yang mendalami makna kehambaan kepada Tuhan pasti akan menggapai hakikat kemerdekaan. Wallahu a’lam

 

[1] Qawa'id al-Ahkam fi Mashalih al-Anam

 
Ustaz Mohd Ridzuan Bin Ahmad Mazaki
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)
Guru Tahfiz Maahad Imtiyaz,Ipoh
 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *