Hukum sedekah Qurban (berkongsi bahagian qurban)
Salam ust, adakah melakukan sembilan dengan cara sedekah qurban (kongsi duit untuk satu bahagian lembu) dikira melakukan ibadah qurban?
Sedekah korban ialah perbuatan seseorang menyumbangkan sejumlah wang bagi menampung sebahagian daripada harga bahagian korban. Sebagai contoh, jika harga satu bahagian korban ialah RM 200, maka seseorang yang menyumbang dengan jumlah yang kurang daripada itu adalah dikira melakukan sedekah korban.
Jadi, apakah status hukum bagi sedekah korban ini? Adakah seseorang yang melakukannya sama seperti melakukan ibadah korban atau tidak?
Bagi menjawab persoalan ini, perlu dijelaskan terlebih dahulu berkenaan pandangan ulama dalam isu berkongsi duit ketika melakukan ibadah korban atau dalam perbahasan fiqh disebut al-isytirak fi thamani al-udhiah.
Untuk binatang korban seperti lembu dan unta, majoriti ulama selain Malikiyyah berpandangan jumlah bahagian yang dibenarkan untuk berkongsi adalah seramai tujuh orang dengan setiap orang mengambil satu bahagian. [Al-Bayan Fi al-Mazhab asy-Syafi’e, Jil. 4/460-461]
Jika harga seekor lembu ialah RM 1400, maka setiap orang mesti menyumbang RM 200 dan tidak boleh kurang daripada jumlah itu. Hal ini berdasarkan sebuah hadis dari Jabir Bin Abdullah r.a:
نَحَرْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ عَامَ الْحُدَيْبِيَةِ الْبَدَنَةَ عَنْ سَبْعَةٍ ، وَالْبَقَرَةِ عَنْ سَبْعَةٍ
“Kami menyembelih bersama Rasulullah s.a.w ketika tahun Hudaibiyah, unta dan lembu dengan tujuh bahagian.” [Riwayat Muslim, No. 1318]
Manakala untuk kambing pula, ulama sepakat mengatakan hanya ada satu bahagian sahaja. Maka hanya seorang sahaja yang dibenarkan untuk melakukan korban. Sekiranya lebih dari seorang, maka tidaklah lagi dikira sebagai ibadah korban. Dari sudut berkongsi pahala pula, apabila seseorang ingin melakukan korban adalah tidak mengapa untuk melibatkan orang lain sekali, sama ada yang dilibatkan itu ahli keluarga atau bukan. [Bidayatu al-Mujtahid, Jil. 2/441-442]
Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan dari Abu Ayyub al-Ansori r.a dan Jabir Bin Abdullah r.a:
كُنَّا نُضَحِّي بِالشَّاةِ الْوَاحِدَةِ يَذْبَحُهَا الرَّجُلُ عَنْهُ ، وَعَنْ أَهْلِ بَيْتِهِ ، ثُمَّ تَبَاهَى النَّاسُ بَعْدُ فَصَارَتْ مُبَاهَاةً
Berkata Abu Ayyub al-Ansori r.a: “Dahulu kami melakukan korban seekor kambing, yang disembelih oleh seorang lelaki untuk dirinya dan ahli keluarganya. Kemudian manusia berbangga-bangga lalu jadilah (amalan berkorban) satu kebanggaan.” [Al-Muwatto’, No. 1018]
Berkata Jabir Bin Abdullah r.a: “Aku berada bersama Rasulullah s.a.w ketika Hari Raya Korban di masjid. Selepas Baginda s.a.w menghabiskan khutbahnya, lalu Baginda s.a.w turun dari mimbar dan pergi mendapatkan kibasy kemudian menyembelihnya sendiri sambil berkata: Bismillah wallahu akbar! Sembelihan ini adalah untuk diriku dan untuk mereka yang tidak dapat melakukan korban daripada umatku.” [Riwayat Abu Daud, No. 2810]
Daripada penjelasan di atas, dapat disimpulkan bahawa hukum sedekah korban yang dilakukan oleh kebanyakan orang sekarang bukanlah seperti ibadah korban kerana jumlah yang disumbangkan tidak mencukupi harga bagi satu-satu bahagian korban.
Dan untuk kes seperti lembu atau unta yang bercampur di antara bahagian korban dan sedekah korban, ulama berbeza pandangan dalam menentukan adakah bahagian-bahagian yang dibuat korban itu mencapai status korban atau tidak kerana tujuh bahagian daripada binatang itu tidak kesemuanya diniatkan untuk ibadah korban.
Dalam masalah ini, ulama Syafi’iyyah berpandangan bahawa bahagian-bahagian korban yang bercampur dengan bahagian-bahagian selain korban pada lembu atau unta adalah mencapai status korban (pada bahagian yang dilakukan secara korban) kerana setiap bahagian daripada unta dan lembu tersebut dilihat secara terasing sama nilai seperti seekor kambing. [Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu, Jil. 3/605]
Berkenaan dengan status pahala mereka yang melakukan sedekah korban, tidak diragukan lagi bahawa perbuatan ini merupakan salah satu amal kebaikan yang akan diganjari pahala memandangkan perbuatan adalah ta’awun ala al-birri wa at-taqwa (saling membantu dalam kebaikan dan taqwa). Lebih-lebih lagi apabila sedekah korban yang dilakukan dapat membantu golongan fakir miskin dan mereka yang memerlukan.
Wallahu a’lam.
Ust Muhammad Asyraf bin Othman Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)