Kenyataan RasmiUtama

MUIS menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan)2016

logoMUIS_transparent_small

Pendirian Majlis Ulama ISMA (MUIS) berkenaan isu berkait Rang Undang-Unadang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan)2016 :

الحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه ومن تبع هداه وبعد

 

وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰ‌ۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٲنِ‌ۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ‌ۖ

Firman Allah swt yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah (Al-Maidah: 2)

1. Majlis Ulama ISMA (MUIS) berpendirian menyokong sepenuhnya segala usaha ke arah mengukuhkan sistem Perundangan Syariah di Malaysia kerana usaha tersebut merupakan salah satu langkah ke arah mendaulatkan Islam di Negara ini. Ini termasuklah dalam isu berkait dengan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan)2016 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada hari Khamis, 26 Mei lalu.

2. Pihak MUIS mengucapkan tahniah kepada Dato’ Seri Abdul Hadi Awang di atas inisiatif beliau membawa rang undang-undang persendirian ini. Usaha ini menunjukkan komitmen beliau dan Parti PAS secara umumnya di dalam usaha memperjuangkan dan memartabatkan perlaksanaan syariat di Malaysia. Semoga Allah merahmati beliau dan memberikan limpahan kesihatan kepada beliau.

3. Pihak MUIS juga berharap pihak kerajaan, terutamanya Parti UMNO tidak menjadikan isu ini sebagai suatu isu permainan politik. Setelah ianya diketengahkan sebagai suatu rang undang-undang persendirian, diharapkan ianya akan mendapat sokongan yang sepatutnya agar usul ini diluluskan. Sesungguhnya rakyat melihat sepenuhnya segala tindakan kerajaan terutamanya Parti UMNO. Segala permainan politik dalam hal-hal sebegini akan membawa akibat yang buruk daripada pihak rakyat. Sedarlah, sesungguhnya rakyatlah yang telah menghantar kalian ke Dewan Rakyat. 

4. Pendirian untuk menyokong sepenuhnya bil ini dibuat di atas dasar bahawa MUIS menginsafi bahawa cadangan pindaan undang-undang tersebut akan membawa kepada pembaikan pengamalan undang-undang Islam di Malaysia. 

5. Pendirian ini juga dibuat dengan kesedaran bahawa usaha tersebut amatlah bertepatan dengan ruh perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan dan mempunyai kedudukannya yang tinggi seperti yang terkandung di dalam Perkara 3 serta Jadual Keempat, sumpah Yang di-Pertuan Agong dan sebagainya. 

6. Kerisauan yang dilontarkan beberapa pihak daripada bukan Islam merupakan suatu perkara yang agak pelik. Ini adalah kerana pindaan ini hanya melibatkan umat Islam sahaja tanpa melibatkan pihak lain. Apa yang ditakuti, penentangan ini pada hakikatnya bukanlah penentangan terhadap rang-rang undang-undang itu sendiri, tetapi penentangan terhadap segala usaha mendaulatkan Islam di Malaysia.

7. Kebimbangan yang dinyatakan sebahagian orang Islam khususnya yang mengaku sebagai pejuang Islam lagi-lagilah tidak dapat boleh diterima, jika ditimbang dengan neraca Islam. Ini adalah kerana usaha ini adalah satu usaha ke arah mendaulatkan syariat Islam maka sepatutnya merekalah yang patut berdiri di hadapan menyokong usaha ini. Ketepikanlah segala pertikaian kepartian sempit. Sokonglah rang undang-undang ini yang pada hakikatnya bermatlamatkan penaikan taraf undang-undang Syariah dan mahkamah Syariah di Malaysia. 

8. Oleh itu, MUIS menyeru kepada semua umat Islam untuk bersepakat ke arah memartabatkan Islam di Malaysia dan menolak segala usaha untuk menggugat kedudukan Islam oleh mana-mana pihak sekalipun. Islam sepatutnya dijadikan kepentingan yang paling utama menjangkaui segala kepentingan lain, termasuklah kepentingan kepartian, individu atau mana-mana kumpulan.

9. Kepada ahli Dewan Rakyat yang beragama Islam, ingatlah bahawa kedudukan yang anda berada sekarang ini adalah suatu lantikan oleh umat kerana ingin melihat anda menjadi benteng di Dewan Rakyat, di dalam menjaga kepentingan Islam  dan umat Islam agar terus terpelihara dan diperjuangkan. Ingatlah bahawa tanggungjawab ini akan dipersoalkan oleh Allah SWT kelak. Lantaran itu, adalah menjadi suatu kewajipan kepada kesemua ahli Dewan Rakyat yang beragama Islam untuk menyokong sebarang usul yang berkaitan kepentingan Islam dan umatnya termasuklah dalam isu berkait Rang Undang-Unadang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan)2016 ini. Inilah masa untuk anda buktikan bahawa kepentingan Islam dan umatnya adalah menjadi keutamaan anda di dalam menunaikan tanggungjawab anda sebagai Ahi Dewan Rakyat.

10. Kepada semua umat Islam, sebarang penerimaan dan penolakan mana-mana ahli parlimen berugama Islam, begitu juga seberang penentangan mana-mana ahli parlimen bukan Islam terhadap rang undang-undang ini seharusnya menjadi antara neraca utama di dalam memilih semula mereka untuk menjadi ahli Dewan Rakyat untuk penggal yang akan datang. Jika mereka menolak atau menentang, seharusnya umat Islam menolak untuk mengundi mereka di dalam pilihanraya yang akan datang. Tidak ada gunanya kita mengundi mereka dan apabila mereka berada di Dewan Rakyat, mereka mengundi menolak atau menentang usul-usul yang membawa kebaikan kepada Islam dan umatnya di Malaysia ini.

 

وَٱللَّهُ غَالِبٌ عَلَىٰٓ أَمۡرِهِۦ وَلَـٰكِنَّ أَڪۡثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعۡلَمُونَ

dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkanNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (Yusuf: 21)

Semoga Allah memberkati segala usaha untuk memartabatkan Syariat Allah di muka bumi ini. 

Sekian. Wassalam

 

Prof Madya Dr Aznan Hasan
Pengerusi Majlis Ulama ISMA (MUIS)

 

Leave a Reply