KolumnisUtama

“al-Ihsan” sifir yang hilang dalam jiwa umat

surat kabarKeruntuhan umat Islam di Malaysia pada hari ini bukanlah suatu yang asing lagi, tiada satu sudut pun melainkan kita dilihat lemah dan tidak berdaya. Sebutlah samada sudut kemasyarakatan, kenegaraan, ekonomi, social, politik bahkan dalam hal agama yang kita anuti sendiri, kita lemah dalam menguasainya apatah lagi menggerakkannya kearah perkembangan ke hadapan.

Pergaduhan politik yang tidak berpenghujung, budaya kerja yang sebahagiannya diselimuti dengan rasuah dan tipu daya bahkan kehidupan kekeluargaan yang sangat rapuh hingga kita menyaksikan cerai itu seolah-olah menjadi perbualan harian masyarakat. Kita lihat umat hari ini seolah-olah sudah hilang punca atau petunjuk yang memandu mereka.

Apa yang kita saksikan pada hari ini suatu perkara yang sangat kontradik dengan kisah-kisah sahabat dan salafussoleh yang kita baca samada secara individu atau suasana yang wujud ketika itu. Sedangkan kalau hendak difikir pada logik akal, kita mempunyai pegangan akidah yang sama, punyai bilangan rakaat yang sama, rukuk sujud yang sama lalu  bagaimana kita boleh berbeza?

Pernah saya terbaca tulisan Syiekh Muhd Qutb dalam buku beliau Qabasat min ar Rasul yang bercerita tentang keadaan ini. Beliau menyebut hakikatnya ada satu formula yang dahulunya dipegang utuh oleh generasi terdahulu yang kini ianya sudah hilang dalam jiwa kita. Dengan sifir inilah umat Islam mampu membina sebuah tamadun yang maha hebat dan menguasai hampir keseluruhan dunia. Itulah yang disebut sebagai “al-Ihsan”.

قال : " فأخبرني عن الإحسان " ، قال : ( أن تعبد الله كأنك تراه ، فإن لم تكن تراه فإنه يراك )

Maksudnya: Kata (Jibril): Maka ceritakanlah kepada aku tentang al-ihsan. Maka Baginda saw menjawab : Engkau menyembah Allah seolah-olah engkau nampaknya namun jika engkau tidak mampu maka ingatlah bahawa Dia melihat engkau” (riwayat Muslim)

Perkataan ihsan bukanlah sekadar bermaksud kasih sayang seperti pada maksud bahasa tetapi ianya lebih daripada itu. Ianya adalah suatu sifir yang sangat besar yang jika digambarkan dalam ibadah maka ianya adalah kemuncak dalam kekhusukan sujud padaNya. Dalam masa yang sama, jika diterjemahkan kepada hal dalam ibadah kurban maka Baginda gambarkan:

إن الله كتب الإحسان على كل شيء ، فإذا قتلتم فأحسنوا القتلة ، وإذا ذبحتم فأحسنوا الذبحة ، وليحد أحدكم شفرته ، وليرح ذبيحته . رواه مسلم .

Maksudnya: Daripada Abu Ya’la Syaddad bin Aus RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah mewajibkan berlaku ihsan atas semua perkara. Jika kamu membunuh, berlaku ihsanlah ketika membunuh dan jika kamu menyembelih, berlaku ihsanlah ketika menyembelih. Kamu hendaklah menajamkan pisau dan menyenangkan haiwan sembelihan.

Lalu melihat kedua hadis tersebut Muhd Qutb simpulkan al-Ihsan itu adalah apabila kita membuat perkara yang paling baik pada setiap tindakan dan kerja kita. Ketika beribadah yang terbaik adalah sehingga kita mampu merasakan kita sedang melihat Allah swt dan al-ihsan dalam sembelihan adalah dengan kaedah dan cara yang penuh belas kasihan kerana itulah yang terbaik.

Kunci kepada al-ihsan ini adalah perasaan merasakan Allah swt sentiasa melihat dan memerhatikan kita atas segala yang kita lakukan maka hendaklah kita buat yang terbaik.

Asas terbesar di mana Islam membina semua binaannya iailah dengan “kamu menyembah Allah seolah-olah kami melihatNya” Diatasnya Islam membuna semua system, perundangan, ekonomi, social, pemerintahan dan segala system kehidupan yang wujud. (Qabasat min ar Rasul)

Hakikatnya punca kepada masalah umat yang ada pada hari ini adalah apabila kita sudah lagi tidak merasakan Allah melihat kita, apatah lagi berbicara perihal merasakan kita melihat Allah swt.

Bayangkan mana mungkin seorang pemimpin itu menyalah gunakuasa ketika mana dia merasakan Allah sedang melihatnya! Mana mungkin dia mengambil rasuah atau melakukan tipu daya ketika mana dia tahu ada kuasa yang memerhatikannya! Mana mungkin dia berani melakukan maksiat, memperlekeh agama ini ketika mana dia yakin bahawa dia sedang dinilai dan kelak akan dihisab olehNya. Maka apabila perasaan itu hilang, inilah menjadikan umat seperti yang kita lihat hari ini.

Lalu jika kita ingin kembalikan umat ini disinilah kuncinya. Ketika mana lurus kefahaman kita dalam hal ini maka akan luruslah semua urusan umat ini. Kita perlu tanam dalam diri kita, keluarga, masyarakat hinggalah akan lahir seorang pemimpin yang mampu berkata seperti mana Saidina Umar ra yang sudah tertanam utuh akan sifir al-ihsan ini lalu menyebut:

“Jikalau seekor anak kambing mati di pinggir sungai Furat (kerana kehausan akibat gagal sampai ke Sungai Furat), sudah tentu aku takut ALLAH akan menghisab Umar kerana perkara tersebut.” (Umar ibn al-Khattab : Shaksiyyatuhu wa ‘asruhu” )

Dengan al-Ihsan kita akan bina sebuah tamadun!

 

Ust Firdaus Zalani
Pegawai Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *