10 tips dalam menelusuri Madrasah Ramadan

puasa_2

Alhamdulillah Ramadhan telah tiba lagi. Peluang keemasan yang hanya datang setahun sekali untuk kita memperbaiki diri menjadi insan yang lebih baik dan taat. Terlalu banyak ganjaran kebaikan yang boleh direbut sepanjang bulan mulia ini. Berikut tips buat panduan semua agar kita dapat yang terbaik daripada Ramadhan kali ini:

1.Mulakan dengan perkara dasar

Memang seronok tambah pahala sunat bulan ni, nak pulak semua berlumba-lumba tarawih dan qiamullail. Tapi jangan lupa MULAKAN dan UTAMAKAN perkara dasar iaitu amalan yang wajib. Perbaiki amalan wajib kerana Allah paling suka amalan  WAJIB. Jangan tenggelam dengan perkara sunat sehingga mengabaikan perkara wajib.

“Tidaklah hamba-hambaKu mendekatkan diri kepadaKu dengan sesuatu yang lebih Aku sukai dibanding hal-hal yang Aku wajibkan. Dan hambaKu akan terus mendekatkan diri kepadaKu dengan amalan-amalan nafilah, sampai Aku mencintainya. Maka apabila Aku telah mencintainya, Aku akan menjadi pendengaran dimana ia mendengar dengannya. Aku akan menjadi penglihatan yang ia melihat dengannya. Aku akan menjadi tangan dimana ia bertindak dengannya. Dan Aku akan menjadi kaki yang mana ia berjalan dengannya.” (Hadith Qudsi Riwayat Bukhari & Muslim)

2.Berterusan walaupun sedikit

Rancang amalan anda, kalau boleh biarlah ia mampu dilaksanakan secara berterusan. Kerana Allah sukakan amalan yang berterusan walaupun sedikit. Jangan terlalu gelojoh melakukan amalan di luar kemampuan kita, nanti akan terhenti di pertengahan jalan. Perubahan yang kecil tetapi berterusan lebih baik berbanding perubahan besar yang hanya dilakukan pada suatu masa sahaja.

Nabi s.a.w. bersabda"Wahai manusia lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Amalan yang paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.“(Bukhari & Muslim)

3.Perbanyakkan amalan yang memberi manfaat kepada orang lain

Kebiasaannya apabila disuruh menambahkan amalan soleh, yang sering terbayang pasti solat, zikir, puasa sahaja. Benar ia amalan soleh, dan ia memberi manfaat kepada mereka yang melakukannya. Tetapi alangkah baiknya sekiranya amalan soleh itu juga memberi manfaat kepada orang lain. Manfaat pahala dapat pada kita, manfaat kebaikan dapat juga pada orang lain. Jangan terlalu menumpukan kepada ibadah untuk diri sendiri sehingga melupakan ibadah yang bermanfaat untuk orang lain.

Sabda Rasulullah SAW: “Di antara pintu sedekah adalah takbir, tasbih, tahmid, tahlil, istighfar, mengajak kepada kebaikan, mencegah kemungkaran, menyingkirkan duri, tulang dan batu dari jalan yang dilaui manusia, menunjukkan jalan bagi orang yang buta, membantu orang yang tuli mendengar, memahamkan orang yang bisu, menunjukkan jalan bagi orang yang memerlukan ke arah yang engkau  ketahui tempatnya, berusaha sekuat tenagamu untuk menyelamatkan orang yang tenggelam, dan mengangkat tanganmu  meringankan beban yang lemah. Semua itu adalah pintu sedekah darimu dan untukmu”(Ahmad, Nasa’ie & Ibnu Hibban).

4. Buat pelaburan yang menguntungkan

Terdapat amalan soleh yang sekiranya dilaksanakan ia bagaikan pelaburan yang sentiasa memberi keuntungan kepada pelakunya. Amalan berbentuk pelaburan begini akan berterusan mengalirkan pahala kepada kita bukan sahaja sepanjang Ramadhan, malah selagi mana manfaat daripada amalan itu ada maka kita pasti akan mendapat ganjarannya meskipun nyawa terpisah dari badan. Ini baru betul yang orang kata buat untung walaupun tengah tidur!

Sabda Nabi SAW:“Ada tujuh perkara yang pahalanya tetap mengalir untuk seorang hamba setelah ia meninggal, padahal ia berada di dalam kuburnya: (1) orang yang mengajarkan ilmu pengetahuan, (2) orang yang mengalirkan sungai (yang terputus) (3) orang yang menggali telaga, (4) orang yang menanam kurma (buah), (5) orang yang membangun masjid, (6) orang yang mewariskan mushaf Alquran, dan (7) orang yang meninggalkan seorang anak yang sentiasa memohonkan ampun untuknya setelah ia mati.” (HR Al-Bazar)

5. Pelbagaikan jenis kebaikan

Jiwa manusia lemah dan cepat jemu. Oleh itu, bagi mengelakkan kebosanan melakukan sesuatu amalan yang sama, rancang sebaiknya amalan anda sepanjang Ramadhan. Hari ini sedekah, esok ziarah, lusa gotong royong bantu orang susah. Boleh juga pelbagaikan zikir-zikir harian, pelbagaikan tempat menunaikan solat tarawih atau pelbagaikan bentuk pemberian sedekah. Gunakan kreativiti anda, pasti setiap amalan dilakukan dengan lebih keseronokan!

6.Penunjuk kepada kebaikan sepertimana pelakunya

Ramadhan sebulan sahaja, terlalu banyak ganjaran yang nak direbut. Salah satu cara untuk memperbanyakkan ganjaran kebaikan adalah melalui mengajak orang lain melakukan kebaikan. Setiap kali orang tersebut melakukan kebaikan yang kita tunjukkan atau sarankan itu, pahalanya akan kembali semula kepada kita tanpa dikurangi walau sedikitpun. Lebih kerap orang itu mengulangi kebaikan tersebut, lebih banyak pahala kita. Ini belum kira lagi sekiranya dia mengajak orang lain pula melakukan kebaikan tersebut. Sabda Rasulullah SAW:

“Barangsiapa yang menunjuki kepada kebaikan maka dia akan mendapatkan pahala seperti pahala orang yang mengerjakannya” (HR. Muslim).

7. Pengorbanan yang lebih besar membuahkan ganjaran yang lebih besar

Allah memberi ganjaran berdasarkan kadar pengorbanan bukan nilaian manusia semata. Seringgit yang diinfaqkan oleh orang yang hanya memiliki 2 ringgit lebih besar maknanya berbanding seratus ribu ringgit yang disedekahkan oleh seorang yang kaya raya. Oleh itu jangan teragak-agak untuk bersedekah walaupun merasa kekurangan dan hanya mampu menghulurkan sedikit sahaja. Sabda Rasulullah SAW:

“Sebaik-baik sedekah adalah yang engkau keluarkan ketika engkau sihat, kedekut dan sangat mengharapkan kekayaan serta takut kemiskinan”(HR Bukhari & Muslim)

8. Peluang menggantikan

Sekiranya anda terlepas daripada melakukan satu-satu amal soleh, jangan biarkan begitu sahaja, segera rebut kembali peluang dengan menggantikan ibadah tersebut dengan ibadah lain. Ingat Ramadhan terlalu berharga untuk dipersiakan!

“Barangsiapa meninggalkan solat witir kerana tertidur, dia boleh menggantinya dengan solat setelah matahari terbit (Dhuha)”.(HR Tirmizi)

Bagi kaum wanita yang tidak dibolehkan menunaikan ibadah solat dan puasa kerana haid atau nifas, jangan lepaskan peluang menggantikannya dengan memberi atau menyediakan makanan untuk mereka yang berpuasa, boleh juga memudahkan urusan ibu-ibu yang menunaikan terawih dengan menjaga anak-anak mereka.

“Barangsiapa yang memberi makanan berbuka bagi orang yang berpuasa, maka baginya pahala yang sepertimana orang yang berpuasa tersebut tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa tersebut sedikit pun.” (HR. At Tirmidzi, beliau berkata, “Hadits Hasan Shahih”)

9.Awasi Penghangus Amalan

Jauhi dosa-dosa yang boleh menghanguskan amalan kebaikan, menghilangkan pahala dan mendatangkan kepayahan tanpa imbalan.

“Betapa ramai orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan betapa ramai orang yang bangun malam tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya kecuali hanya berjaga malam..”  (HR Ibnu Majah)

Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta malah mengamalkannya, maka Allah tidak butuh dari rasa lapar dan dahaga yang dia tahan.” (HR. Bukhari)

10. Utamakan yang lebih utama

Bagi mengoptimakan ganjaran di bulan mulia ini, kita perlu bijak dalam memberikan keutamaan kepada amalan yang lebih utama. Keutamaan amalan berbeza mengikut masa, jenis ibadah, tempat ibadah serta keadaan.

Antara amalan yang paling utama di bulan Ramadhan ialah solat malam (termasuk terawih) dan bersedekah berdasarkan hadith:

“Barangsiapa yang mengerjakan solat sunat pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan hanya mengharapkan pahala dari ALLAH, maka akan diampunilah dosanya yang telah lalu.”  (HR Bukhari & Muslim) 

“Rasulullah S.A.W adalah seorang yang paling dermawan, dan sifat dermawannya itu lebih menonjol pada bulan Ramadhan yakni ketika ditemui Jibril.  Biasanya Jibril menemuinya pada setiap malam bulan Ramadhan, dibawanya mempelajari al-Quran.  Maka Rasulullah S.A.W lebih murah hati melakukan kebaikan dari angin yang bertiup.”  (HR Bukhari).

Namun, jika memasuki 10 malam terakhir daripada bulan Ramadhan amalan paling utama ketika itu ialah beriktikaf  berdasarkan hadith Rasulullah SAW.

 “Nabi SAW beri’tikaf pada sepuluh hari yang akhir dari Ramadhan sehingga Allah mengambil nyawanya, setelah kewafatan baginda isteri-isteri baginda pun beri’tikaf .”(HR. Bukhari & Muslim )

 

Antara contoh lain keutamaan adalah amalan terbaik di waktu sahur ialah solat dan istighfar, manakala amalan terbaik sebelum berbuka puasa ialah berdoa. Menunaikan solat secara berjemaah di masjid lebih baik daripada melakukannya secara bersendirian di rumah. Ibadah solat adalah lebih utama berbanding membaca al-Qur’an, manakala membaca al-Qur’an adalah lebih utama berbanding berzikir. Kebijaksanaan merancang amalan dan menyesuaikan dengan keutamaan bakal memberikan ganjaran yang terbaik dengan izin-Nya.

Selamat merancang untuk Ramadhan kali ini! Semoga Allah sampaikan kita semua ke bulan Ramadhan dan memilih kita sebagai hamba-Nya yang berjaya dan diampunkan.

 

ustzh kauthar

Ustazah Kauthar Jamalludin
Pegawai Agama dan Perhubungan Sosial
Hospital Islam Az-Zahrah
Aktivis Wanita ISMA
Ahli Majlis Ulama ISMA

 

 

 

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *