Kenyataan RasmiUtama

Resolusi Muzakarah Ulama Fiqh Muwatanah

DSC_0307

Pada 2 April 2016 Muzakarah Ulama Fiqh Muwatanah (Kewarganegaraan) telah memutuskan tujuh resolusi yang telah dibacakan oleh Pengerusi Majlis Ulama Isma (Muis), Prof Madya Dr Aznan Hasan di akhir majlis.

Muzakarah yang berlangsung selama enam jam ini telah menggabungkan 26 ahli ulama dan golongan pemikir yang terdiri daripada mufti, ahli akademik serta tokoh masyarakat dan turut dihadiri oleh lebih 100 pemerhati.

Berikut adalah tujuh resolusi yang dipersetujui dalam muzakarah:

1. Muzakarah bersetuju bahawa Piagam Madinah merupakan satu dokumen kenegaraan yang meletakkan garis-garis kasar sebuah Negara Islam. Kajian kepada sahifah menunjukkan bahawa Rasulullah SAW telah meletakkan garis-garis panduan tentang kenegaraan Islam termasuk perkara yang berkaitan dengan kewarganegaraan.

2. Segala perkara dalam Piagam Madinah di dalam hal-hal kewarganegaraan adalah bermatlamatkan penjagaan identiti Negara Islam yang berpaksi kepada siyadah (ketuanan) syarak dan Muslimin serta memberikan keadilan kepada semua.

3. Muzakarah berpandangan bahawa Perlembagaan Persekutuan secara umumnya berperanan menjaga identiti sebuah Negara Islam yang mesti dipertahan dan diperkasakan.

4. Muzakarah menegaskan bahawa segala ijtihad siyasi (politik) perlulah bermatlamatkan penjagaan identiti negara Islam, siyadah (ketuanan) syarak dan kepentingan umat Islam sebagai paksi asasi sebuah Negara Islam. Ini termasuk isu-isu yang berkait dengan agama pemerintah, ketinggian undang-undang Islam dan penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam.

5. Muzakarah menolak sebarang idea asing yang mengancam dan bercanggahan dengan Perlembagaan. Umat Islam bertanggungjawab untuk memastikan bahawa pemerintahan tetap berada di tangan mereka dalam rangka menjaga identiti negara Islam dan siyadah (ketuanan) Syarak.

6. Menjadi tanggungjawab semua warganegara untuk memelihara perpaduan dan keharmonian berteraskan kesetiaan kepada kepimpinan Islam dan kedaulatan undang-undangnya.

7. Perlembagaan Islam menjamin hak dan keadilan kepada semua warganegara tanpa mengira agama dan bangsa selagi mana mereka taat setia kepada pemerintahan Islam dan tidak melakukan aktiviti di luar prinsip-prinsip kenegaraan Islam.

Wallahua’lam

Leave a Reply