KolumnisUtama

Menyingkap topeng musuh Islam

bersih_lgbt

Tulisan saya kali ini berinsprisasikan pembacaan saya terhadap buku tulisan Dr Munir Ghadban, Manhaj Haraki dalam Sirah Nabawi. Suatu tulisan yang hebat hingga memberikan kepada kita perspektif yang agak unik dalam memahami sirah Rasulullah saw.

Lalu dalam satu bahagian tulisan itu ada menceritakan bagaimana kebiasaannya bila kita tanyakan kepada orang ramai, siapa musuh kita orang Islam, saya yakin ramai akan jawab Syaitan.

Jawapan yang diberikan sangat tepat berdasarkan sepotong ayat Quran, firman Allah SWT :

(إِنَّ الشَّيْطَانَ لَكُمْ عَدُوٌّ فَاتَّخِذُوهُ عَدُوًّاِ)

Ertinya : Sesungguhnya Syaitan itu merupakan musuh kepada kamu, maka hendaklah kamu jadikannya sebagai musuh kamu.[Surat Fatir 6]

Namun, persoalan seterusnya yang perlu dijawab, siapakah selain syaitan?

Ramai akan terkeliru sampai yang mengatakan Syaitan sahaja musuh kita, selainnya adalah golongan yang kita perlu menyampaikan dakwah kepada mereka. Susah untuk menuduh ada musuh selain syaitan. Kononnya takut-takut kita menafikan rahmat Islam kepada seluruh alam berdasarkan ayat firman Allah SWT :

(وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ)

Ertinya : Dan tidak kami utuskan kamu wahai Muhammad selain untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. [Surat Al-Anbiya’ 107]

Namun begitu, apabila kita membaca sirah Baginda SAW, iaitu setelah tiba di Madinah. Kita melihat bagaiaman Baginda menyiapkan bala tentera yang akan menentang musuh mereka iaitu Quraysh.

Dr Munir Ghadban ada menyatakan pandangannya terhadap perang Badar yang seolah-olahnya dimulakan oleh Nabi Muhammad dengan hujah untuk merampas harta kafilah dagang Abu Sufyan yang ada di dalamnya harta muhajirin. Dr Munir menyatakan apabila mengakaji kitab Hadis semula, sebenarnya yang memulakan perang ialah pihak Quraysh yang mengutus surat kepada Abdullah bin Ubay di Madinah supaya membunuh Baginda SAW.

Dan juga Surat kepada Kaum muhajirin yang Quraysh pasti akan memerangi mereka. Oleh yang demikian, pada pandangan Dr Munir yang memulakan perang ialah golongan Quraysh iaitu dengan tindakan mengancam Rasulullah dan para muhajirin . Perkara ini juga bukanlah suatu yang ganjil kerana mereka telah merancang membunuh Rasulullah ketika Baginda di Mekah lagi lalu berlakunya peristiwa hijrah Rasulullah SAW.

Oleh yang demikian, Rasulullah SAW bersiap sedia menentang musuh Islam yang ketika itu ialah golongan Quraysh.

Kembali kepada persoalan di atas tentang musuh Islam siapa selain Syaitan?

Saya nyatakan di sini dengan tegasnya, Syaitan bukan seorang diri, setiap masa dan tempat, dia akan mengambil sekumpulan manusia menjadi pengikut setia bahkan tenteranya yang akan membantu menjayakan misinya menyesatkan manusia.

Pada zaman Rasulullah SAW di awal zaman kelompok ini ialah kaum Quraysh yang memerangi Baginda dan Baginda memerangi mereka dan memang berlakunya pertempuran hakiki yang menyebabkan pertumpahan darah kepada kedua belah pihak.

Begitulah hakikatnya musuh Islam. Mereka dari kalangan manusia berkelompok yang merancang menentang, menjatuhkan dan memusuhi Islam. Bukan hanya syaitan yang bayangnya tidak dilihat, tetapi Manusia di hadapan mata kita yang kita tidak sedari.

Sebab itulah dalam Al-Quran dalam satu surah lazim yang biasa kita baca bagaimana Allah swt mengajarkan kepada kita supaya minta perlindungan itu bukan daripada syaitan semata-mata! kerana hakikatnya musuh kita bukanlah syaitan berbentuk jin sahaja.

مِنَ ٱلۡجِنَّةِ وَٱلنَّاسِ )

(Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia. / (Surah An Nas-6)

Jika di zaman Rasulullah musuhnya Quraysh sebelum mereka memeluk Islam, siapakah mereka pada hari ini? jika jauh diluar sana Yahudi dan Amerika, siapa di sini?

Semoga kita berhati-hati mengambil kawan dan lawan. Kejelasan terhadap siapa musuh antara kejayaan Baginda SAW membawa Islam sehingga ke ufuk tinggi..

Wallahuallam.

Ust Ikram Abu Hassan

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *