KolumnisUtama

Selawat Alunan Gendang Perang Terhadap Sistem Jahiliyyah

 

gendang

Sekarang kita berada di dalam bulan Rabiul Awal. Tradisinya di negara ini, diadakan sambutan-sambutan memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW. Antara ingatan yang disegarkan semula menerusi majlis-majlis ini ialah kita disunatkan berselawat ke atas Baginda SAW. Berselawat kepada Baginda SAW adalah digalakkan menerusi ayat al Quran dan hadith-hadith Nabi SAW. Bahkan negara kita antara negara yang sangat subur dengan majlis-majlis besar berselawat ke atas junjungan besar Nabi SAW. Dilaksanakan majlis-majlis ini secara besar-besaran dan diaadakan secara teratur sekali yang melibatkan perbelanjaan yang agak besar dan kehadiran yang besar.

Tidak dinafikan ia adalah satu perbuatan yang baik bahkan kesannya akan lebih dirasai jika kita dapat menghayati bahawa berselawat ke atas Rasullullah SAW dan mengamalkan sunnah-sunnah Nabi SAW dalam kehidupan adalah merupakan usaha kita untuk menghubungkan diri kita   agar sentiasa hangat dengan Nabi SAW sebagai bekal untuk menyambung dan memikul beratnya sunnah perjuangan Nabi SAW. Antara sunnah yang diamanahkan kepada kita untuk terus diperjuangkan sehingga mencapai matlamatnya ialah memenangkan agama Allah di atas muka bumi ini walaupun pasti dibenci oleh orang – orang musyrikin. Ini ditegaskan oleh Allah SWT :

“Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad s.a.w) dengan membawa hidayah petunjuk dan ugama yang benar (ugama Islam), supaya Ia memenangkannya dan meninggikannya atas segala ugama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.”(QS al Saf: 9)

Perlu ditegaskan memenangkan agama Allah bermaksud memenangkan Islam sebagai cara hidup dan menghentikan segala sistem selain dari sistem Islam daripada terus menguasai kehidupan. Nabi SAW telah menunjukkan contoh bahawa seluruh hidup Baginda SAW dihabiskan untuk memenangkan Islam atas sistem-sistem  hidup yang lain.

Berselawat ke atas Nabi SAW di samping sebagai salah satu cara kita menzahirkan rasa cinta kita kepada Baginda SAW,  ia juga sepatutnya difahami sebagai ikrar kita untuk meneruskan perjuangan Baginda SAW memenangkan Islam dan meruntuhkan sistem-sistem jahiliyyah yang mengakar kuat dalam kehidupan moden hari ini.

Sebagai contoh ; apabila kita berselawat ke atas Baginda SAW, hakikatnya kita memuji seorang pejuang yang bersungguh-sungguh tanpa merasa gentar dan ragu-ragu membacakan ayat Allah

……Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba….” (Surah al Baqarah : 275 )

Kita memuji seorang pejuang yang tegas dan tidak pernah merasa putus asa menghapuskan riba dalam hutang piutang dan tranksaksi kewangan. Kita boleh bayangkan jika secara drastik para hadirin yang mengimarahkan majlis selawat sejumlah ribuan orang itu pada malamnya dan esok pagi mengisytiharkan secara praktikal beramai-ramai bertukar akaun dan cara jual beli kepada sistem yang tiada riba. Maka tindakan itu sudah tentu akan menggerunkan individu dan pihak yang selama ini mempertahankan sistem ekonomi kapitalis.

Majlis Selawat akan menggegarkan dan menakut-nakutkan hati-hati orang-orang yang tegar mempertahankan sistem ekonomi kapitalis . Maka majlis selawat seperti didengar mengalunkan bait-bait dan alunan indah namun hakikatnya adalah sebagai paluan gendang perang kepada sistem jahiliyyah. Persoalannya adakah pemahaman kita sampai ke tahap itu?

Contoh lain : Semasa berselawat yang menghimpunkan ribuan manusia untuk merasa dekat dengan kekasih kita Nabi Muhammad SAW yang pernah mengungkapkan dengan mulutnya yang mulia:

“…Telah bercerita kepada kami Qutaibah bin Sa’id telah bercerita kepada kami Laits dari Ibnu Syihab dari ‘Urwah dari ‘Aisyah (r.a) bahwa orang-orang Quraisy sedang menghadapi isu yang menggelisahkan, yaitu tentang seorang wanita suku Al Makhzumiy yang mencuri lalu mereka berkata; “Siapa yang mau merundingkan masalah ini kepada Rasulullah SAW?”. Sebagian mereka berkata; “Tidak ada yang berani menghadap Baginda SAW kecuali Usamah bin Zaid, orang kesayangan Rasulullah SAW. Usamah pun menyampaikan masalah tersebut lalu Rasulullah SAW bersabda: “Apakah kamu meminta keringanan atas pelanggaran terhadap aturan Allah?”. Kemudian Baginda SAW berdiri menyampaikan khuthbah lalu bersabda: “Orang-orang sebelum kalian menjadi binasa karena apabila ada orang dari kalangan terhormat (elitis)  mereka mencuri, mereka membiarkannya dan apabila ada orang dari kalangan rendah (masyarakat rendahan, rakyat biasa) mereka mencuri mereka menegakkan hukuman atasnya. Demi Allah, sendainya Fatimah binti Muhamamd mencuri, pasti aku potong tangannya”. {Hadith Riwayat al Bukhari}

Rasulullah SAW yang kita berselawat ke atasnya adalah seorang pejuang keadilan yang telah meruntuhkan sistem dwi standard terhadap perlaksanaan hukum dan pejuang yang tidak pernah berputus asa menegakkan sistem Allah dalam perundangan.

Alangkah mudah dan selesanya perundangan Allah semakin hampir ditegakkan sehingga mencapai matlamat keadilan jika selawat kita yang menghimpun ribuan yang mengalunkan selawat menyentuh jiwa-jiwa mukmin tetapi dalam masa yang sama menggegar dan menggelisahkan pendokong-pendokong pelaku kesalahan yang selama ini terlepas dari hukuman yang menegakkan keadilan di atas muka bumi ini.

Kesimpulannya, Selawat bukan sekadar diukur dengan indahnya alunan dan bait-bait pujian bagi kekasih Allah tetapi ia juga sebagai paluan gong perang kepada sistem jahiliyyah. Semoga Malaysia subur dengan siraman barakah selawat dan menumbuhkan benih-benih syariat menggantikan pokok-pokok reput sistem jahiliyyah. Maka berbaloi lah kita membelanjakan sejumlah wang dan mengumpul lautan manusia apabila ia dijadikan sumber ketakutan musuh terhadap taat setianya pengikut Nabi Muhammad SAW memenangkan agama Islam atas agama-agama yang lain.

SS HJ ZAMRI HASHIM

TIMBALAN MUFTI PERAK

 

AHLI MAJLIS ULAMA ISMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *