Hukum muslimah dalam hal bersolek
Soalan
Saya ingin bertanya pasal pamakaian make up.Saya baca di internet ia mengatakan haram,tapi saya juga ad abaca satu artikel mengatakan make up nipis yang tidak ketara di benarkan Saidatina Aiasyah R.A pernah memberi penadapat ini tentang ini.Jadi bagi pasangan pengantinperempuan adalakah dibenarkan sekiranya mereka memakai make up yang ni
Jawapan:
Kecantikan adalah sinonim dengan sifat kewanitaan. Allah telah menganugerahkan wanita dengan kecantikan yang tidak ada tolok bandingannya. Sama ada yang dilahirkan secara cantik semulajadi ataupun sebaliknya. Definisi kecantikan itu sendiri adalah subjektif. Sesungguhnya setiap kejadian adalah ketentuan Allah S.W.T.
Dalam bab kecantikan seorang wanita, telah disebutkan dalam surah An Nur ayat 31.
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya”
Berdasarkan ayat di atas “janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka” termasuklah kecantikan wanita itu sendiri. Bersolek atau memperlihatkan pehiasan berlebihan di dalam Islam itu digelar Tabarruj.
Menurut Ibn Manzhur di dalam kitab Lisanul Arab, tabarruj menurut bahasa adalah wanita yang mempamerkan keindahan dan perhiasan kepada lelaki.
Manakala, menurut Imam Abu ‘Ala Al Maududi, asal kalimah tabaruj ialah “برج” yang bermaksud menara. Sesuatu yang jelas kelihatan disebabkan keadaan tinggi binaannya.
Disini dapat kita fahami, makna Tabarruj ini kepada tiga:
- Wanita mempamerkan keindahan rupa paras dan keelokkan tubuh badannya.
- Wanita mempamerkan kepada laki-laki pakaian dan perhiasannya
- Wanita yang menunjuk-nunjukkan cara lenggang lenggok cara berjalan
Tabarrajatil mar’ah artinya wanita yang menampakkan kecantikkan leher dan wajahnya. Ada juga pendapat yang mengatakan maksudnya juga wanita yang menampakkan perhiasannya, wajahnya dan kecantikannya kepada lelaki dengan maksud untuk membangkitkan nafsu syahwatnya.
Bersolek dan berhias yang tidak sampai ke peringkat tabarruj yang dilarang boleh dikategorikan sebagai adat kebiasaan seorang wanita. Ini berdasakan pada Kaedah Fiqhiah : “Sesungguhnya hukum asal kepada setiap perkara adalah harus”.
Dalam perkara adat, hukum asalnya adalah harus selagi tidak ada dalil yang mengikatnya kepada hukum tertentu atau mengatakan ia adalah haram.
Adat kebiasaan bagi masyarakat di Malaysia, pengantin akan berhias untuk nenampakkan keterampilan diri di hari perkahwinannya. Sekiranya perhiasan yang digunakan oleh pengantin itu dari bahan yang halal dan perhiasan yang sederhana dan tidak membawa kepada pembaziran serta tidak sampai ke tahap tabarruj yang dilarang, maka ianya dibenarkan.
Wallahua’lam.
Ustazah Hayati Zari
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)