Jihad bukan sekadar berperang melawan musuh Islam

jihad kemuncak islam

Jihad antara kemuncak tertinggi dalam Islam

JIHAD adalah satu perkataan dalam bahasa Arab dan sebahagian daripada ajaran agama Islam. Malah, ia disebut berulang kali dalam al-Quran dan juga hadis baginda Nabi saw.

Dewasa ini, jihad digambarkan dengan gambaran negatif sekaligus pandangan buruk itu juga dikaitkan dengan agama Islam.

Banyak kejadian seperti letupan berlaku dan kemuncaknya peristiwa 11 September yang memberi kesan buruk terhadap Islam.

Selain dijadikan agenda jahat musuh Islam seperti media Barat, gambaran buruk itu dicetuskan sendiri oleh umat Islam yang cetek ilmu pengetahuan dengan menyertai kumpulan-kumpulan militan yang menggunakan pendekatan keganasan dalam mencapai objektif mereka.

Malangnya, perjuangan mereka itu disandarkan kepada ‘jihad’, ‘perjuangan menegakkan agama Allah’ dan slogan-slogan lain yang membawa imej Islamik.

Apakah pengertian jihad yang sebenar? Adakah ia terhad kepada ‘peperangan melawan orang kafir’? Wajarkah Islam diberikan imej ‘agama keganasan’?

Persoalan ini akan terjawab apabila kita mempunyai kefahaman yang jelas mengenai konsep jihad menurut agama Islam.

PENGERTIAN JIHAD

Dari segi bahasa, jihad adalah perkataan masdar yang berasal daripada perkataan ja-ha-da yang bermaksud ‘bazlu at-taqah wa al-mashaqqah’ (mengeluarkan tenaga dan menghadapi kesusahan). [1]

Dari segi istilah pula, jihad bermaksud ‘mengerah seluruh tenaga dan kemampuan dalam memerangi musuh-musuh Allah sama ada dengan harta, lidah atau gigi, demi menjadikan kalimah Allah itu paling tinggi dan menyampaikan dakwah kepada semua manusia di seluruh dunia. [2]

Imam al-Raghib al-Asfahani dalam kitabnya Mufradat Alfaz al-Quran berkata, jihad itu ada tiga jenis:

  1. Jihad melawan musuh yang nyata;
  2. Jihad melawan syaitan;
  3. Jihad melawan hawa nafsu.

Tiga jenis jihad ini terkandung dalam firman Allah ayat 78, Surah al-Hajj dan ayat 41, Surah al-Taubah. [3]

Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Sheikh Dr Yusof al-Qardawi dalam bukunya Fiqh al-Jihad menyebut, makna kalimah jihad adalah lebih luas berbanding perkataan Qital (perang), kerana kalimah jihad merangkumi mujahadah melawan hawa nafsu dan syaitan, jihad melaksanakan Amar Makruf Nahi Mungkar, jihad berkata benar di hadapan raja yang zalim dan berperang di jalan Allah.

Oleh itu, kalimah jihad lebih umum berbanding kalimah perang. Semua perang adalah jihad tetapi tidak semua jihad dalam bentuk peperangan. [4]

MEDAN JIHAD

Jihad mempunyai medan yang pelbagai dan tidak terhad hanya pada peperangan bersenjata melawan orang kafir.

Imam Ibnu al-Qayyim berkata, terdapat empat medan jihad yang dihadapi dengan cara tertentu:

  1. Jihad melawan hawa nafsu

Jihad ini dimulakan dengan berusaha memiliki ilmu, diikuti dengan mengamalkannya, kemudian menyampaikannya kepada orang lain (berdakwah) dan diakhiri dengan bersabar di atas jalan iman dan dakwah.

  1. Jihad melawan syaitan

Jihad ini dilakukan dengan melawan syubhah yang ditimbulkan dalam soal akidah, kemudian berjihad melawan hasutan syaitan dalam melakukan maksiat dan kerosakan.

  1. Jihad melawan orang kafir dan munafik

Jihad ini dimulakan dengan hati iaitu dengan membenci, diikuti dengan menggunakan lidah harta seterusnya dengan nyawa.

  1. Jihad melawan orang zalim dan fasik

Jihad ini dilakukan dengan hati, jika mampu dilakukan dengan lidah dan jika mampu ia dilakukan dengan tangan.

Selain empat medan jihad di atas, terdapat juga medan-medan lain yang memerlukan umat Islam berjihad seperti medan pendidikan, pertahanan, ekonomi, perundangan, politik, kesihatan, kemasyarakatan dan sebagainya.

Umat Islam dituntut untuk berjihad dalam bidang-bidang tersebut bagi membangunkan sistem Islam dan memajukan umat Islam.

Perbahasan mengenai jihad adalah amat luas. Banyak ayat al-Quran, hadis, panduan sirah dan buku karangan para ulama yang membahaskan konsep jihad menurut Islam.

Berdasarkan penjelasan ringkas di atas, dapat kita simpulkan bahawa konsep jihad adalah lebih luas dan tidak terhad kepada peperangan melawan orang kafir dan musuh Islam semata-mata.

Ustaz Mohd Firdaus Salleh Hudin
Ahli Majlis Ulama Isma

Rujukan:

  1. Lisan al-‘Arab 135/3 dan Mu’jam al-Wasit 142/1
  2. Fath al-Qadir, 435/5
  3. Mufradat Alfaz al-Quran ms271, Taj al-‘Arus 329-330/2
  4. Fiqh al-Jihad 42/1

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *