Al-Quran ;  Kalam Suci dan Bukti Kebenaran Risalah

“Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami dari segenap penjuru (ilmu pengetahuan) dan pada diri mereka sendiri sehingga jelaslah bagi mereka bahawa al-Quran itu adalah benar. Dan apakah Tuhanmu tidak cukup (bagi kamu) bahawa sesungguhnya Dia menyaksikan segala sesuatu?” (Fussilat : 53).

Al-Quran sebagai sebagai wahyu & mukjizat,

Kita sedia maklum bahawa al-Quran merupakan wahyu dan risalah agung yang diturunkan kepada Baginda Nabi Muhammad s.a.w. Wahyu secara istilah bermaksud pengetahuan atau ilmu Allah s.w.t yang diberikan kepada yang terpilih dari kalangan hamba-hamba-Nya mengikut kehendak dan hidayah-Nya secara sembunyi (tidak diketahui manusia biasa) dan pantas.[1] Dr Fadhl Hassan ‘Abbas pula mentakrifkan wahyu sebagai ilmu Allah s.w.t yang diturunkan kepada nabi-nabi-Nya iaitu hukum syara’ dan segala yang berkaitan dengannya.[2]

Mukjizat al-Quran merupakan mukjizat maknawi yang berbentuk ilmu dan hanya boleh diketahui selepas pembacaan, renungan dan fikiran yang mendalam. Mukjizat maknawi al-Quran boleh dibuktikan  kebenarannya hingga masa kini. Malah ia boleh diperiksa kebenarannya pada bila-bila masa dari aspek ilmu, bahasa, sastera, sejarah, dan berita yang terkandung di dalamnya. Mukjizat (ilmu) al-Quran akan berkekalan hingga akhir zaman.[3] Menurut Prof. Dr. Naim Yasin, al-Quran adalah kitab Rabbani yang melambangkan keesaan dan dipelihara kesuciannya oleh Allah s.w.t. Ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t :

“Sesungguhnya Kami lah yang menurunkan al-Quran dan Kami lah yang memeliharanya” (Al-Hijr : 9).[4]

Allah s.w.t mencabar manusia,

Melalui al-Quran, Allah s.w.t telah membuat beberapa cabaran kepada umat manusia dari sudut sastera, isi kandungan al-Quran, ketinggian ilmu pengetahuan dan kesucian al-Quran itu sendiri. Sebagai contoh dari sudut sastera dan isi kandungan al-Quran, Allah s.w.t mencabar manusia dengan firman-Nya yang bermaksud :

“Dan jika kamu (masih) dalam keraguan tentang al-Quran yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Muhammad)  buatlah satu surah yang serupa dengan al-Quran dan ajaklah penolong-penolong selain Allah, jika kamu orang yang benar” (Al-Baqarah : 23)

Jika dilihat pada hari ini tidak ada seorang pun ahli sastera arab mahupun bukan arab yang berkemampuan mencipta sastera penulisan yang lebih unggul daripada al-Quran.

Selain itu, al-Quran juga terpelihara dari sebarang kesalahan dan tidak bercanggah dengan norma hidup seorang manusia. Allah s.w.t mencabar manusia umat manusia dengan firman-Nya yang bermaksud:

“Maka apakah mereka tidak memperhatikan al-Quran? Kalau sekiranya al-Quran itu bukan dari sisi Allah, tentulah mereka mendapati pertentangan yang banyak di dalamnya” (an-Nisa’ : 82)

Hipotesis bukti kebenaran Al-Quran,

Dalam dunia sains moden hari ini, kajian dilakukan berdasarkan  kepada hipotesis dan null hipotesis. Apakah maksud hipotesis dan null hipotesis? Secara ringkasnya, hipotesis merupakan satu anggapan teori dan null hipotesis merupakan satu cara bagaimana teori itu boleh dibatalkan.[5] Sebagai contoh, hipotesisnya menyatakan seperti berikut: “Semua mahasiswa Malaysia di Jordan fasih berbahasa arab”. Null hipotesisnya pula akan menyatakan: “Cari mahasiswa Malaysia di Jordan yang tidak fasih berbahasa arab”. Jika ditemui seorang mahasiswa Malaysia yang tidak fasih berbahasa arab maka hipotesis berkenaan boleh terbatal.

Hebatnya al-Quran yang bertindak sebagai ibu segala ilmu pengetahuan telahpun memperkenalkan metodologi kajian ini lebih 1400 tahun lalu untuk membuktikan kebenaran al-Quran. Contoh hipotesisnya ialah: “Turunnya al-Quran itu tidak ada keraguan padanya, (iaitu) dari Tuhan seluruh alam (kalam Allah)” (As-Sajdah : 1).

Null hipotesis yang dikemukakan oleh al-Quran adalah dalam bentuk beberapa cabaran yang telah saya nyatakan sebelum ini. Contoh null hipotesis: “Cari kesalahan dalam al-Quran jika ada kesalahan yang ditemui maka al-Quran bukannya dari Allah” (An-Nisa’ : 82).

Berdasarkan kenyataan null hipotesis di atas, telah terbukti bahawa tidak ada seorang pun sarjana yang boleh membuktikan bahawa terdapat kesalahan dalam al-Quran. Maurice Baucille (1978) telah berkata: “Sementara terdapat kesalahan-kesalahan yang amat ketara dalam Bible, saya tidak dapat mendapati satu kesalahan pun dalam al-Quran”.[6]

Malah Bible yang dinamakan ‘Kitab Tuhan’ terdapat ajaran lucah dan perzinaan yang tidak bermoral seperti Incest iaitu hubungan seksual antara dua orang yang mempunyai hubungan yang sangat dekat (rujuk Injil – Kejadian 19: 33-36), Homoseksual, sodomi dan lesbianism (rujuk Injil – Rome 1: 22-27).[7]

Kesimpulannya,

Al-Quran merupakan kitab suci yang terpelihara serta tiada keraguan padanya. Ia berperanan sebagai mesej terakhir (final revelation) untuk dijadikan panduan kepada seluruh umat manusia. Al-Quran seharusnya difahami dengan sebaiknya berdasarkan kaedah yang betul dan tidak dicampur aduk dengan hawa nafsu manusia dan logik akal semata. Mukjizat al-Quran yang agung ini seharusnya menambahkan lagi keimanan kita kepada Allah s.w.t dan meyakini bahawa inilah panduan hidup seorang manusia dalam perjalanannya menuju ke syurga Allah s.w.t.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w :

“Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang mana kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang dengan keduanya iaitu Kitab Allah (al-Quran) dan Sunnah Rasul-Nya”[8]

 

Majlis Ulama ISMA (MUIS) Jordan

 

[1] Syeikh Manna’ Al-Qattan, Mabahith fi ‘Ulum Al-Quran, ms 34, Muassasah Ar-Risalah

[2] Dr. Fadhl Hassan ‘Abbas, Muhadhoroh fi ‘Ulum Al-Quran, ms 42, Dar Nafais

[3] Sulaiman Nordin, Sejarah Pemikiran 1, ms 28 cetakan 2015

[4] Prof. Dr. Naim Yasin, Al-Iman, ms 65, Dar Al-Furqan

[5] Sulaiman Nordin, Sejarah Pemikiran 1, ms 31 cetakan 2015

[6] Maurice Baucille, The Bible, The Quran and Science

[7] Ahmed Deedat, The Choice, ms 38,39 & 43, jilid 2

[8] HR Muslim no. 2137

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *