Qurban adalah syiar Rahmat untuk sekelian alam

islam sembelih

Memang sudah menjadi kebiasaan sebelum daripada sambutan hari Raya AidilAdha akan berlaku banyak perbincangan berkaitan ibadah qurban. Samada ianya berkait pantang larang orang yang melakukan ibadah tersebut, kadar pembahagian binatang qurban, sedeqah qurban serta banyak perkara lagi. Begitu juga hal berkait keadaan semasa ibadah tersebut berjalan seperti cara peneyembelihan serta cara pengurusan daging tersebut. Semua persoalan ini jelas dan tiada masalah kerana ianya sebagai peringatan kepada manusia itu yang sentiasa lupa serta memerlukan tazkirah saban tahun apabila tibanya perayaan ini.

Namun tahun ini secara tiba-tiba muncul isu baru yang tidak pernah timbul sebelum ini berkaitan setelah ibadah tersebut berjalan. Munculnya seruan kononya atas nama toleransi agama supaya gambar ibadah tersebut tidaklah ditayangkan kepada umum. Hujah kononnya tindakan itu akan mengguris mereka yang beragama lain serta kononnya berdiri atas asas rahmat untuk semua manusia.

Agak tertanya-tanya melihat keadaan ini, cara fikir yang bagaimanakah yang telah tertanam dalam jiwa mereka hinggakan seruan sebegini boleh timbul? Islam bagaimanakah yang mereka ingin persembahkan kepada dunia hari ini? Mungkin hari ini mereka sekadar menyeru kearah tidak disebarkan gambar sembelihan, esok lusa mungkin bertitik tolak daripada kefahaman sebegini akhirnya mereka akan seru ibadah itu diadakan secara tertutup didalam rumah masing-masing kononnya atas kefahaman rahmat. Kecelaruan yang tidak pernah berpenghujung daripada kelompok ini.

“Allah tidak akan menerima daging-daging dan darah-darah haiwan kurban mereka akan tetapi yang Allah terima adalah ketaqwaan dari kalian” (Al-Hajj:37)

Kefahaman kita terhadap qurban perlulah berdiri atas petunjuk wahyu dan bukannya kesamaran hawa nafsu. Allah swt melalui Al-Quran apabila berbicara tentang soal ibadah qurban itu berbicara pada sudut yang menarik iaitulah sebagai lambang ketaatan kepadaNya. Ia merupakan syiar kepada ketaqwaan iaitu perkara yang paling mulia bagi orang beriman. Ketika masyarakat jahiliyah ketika itu menjadikan daging serta darah binatang sembelihan kononya sebagai hadiah kepada tuhan mereka, Islam hadir memberikan gambaran baru terhadap ibadah ini. Lalu syiar ketaqwaan itu perlu dipersembahkan kepada umat Islam serta dunia amnya.

Menarik juga dalam ibadah ini adalah ianya bukan sekadar pada persoalan hati semata-mata tetapi ianya meliputi bagaimana kefahaman hati itu diterjemahkan kepada tindakan ibadah tersebut dalam bentuk yang penuh terhormat dan adab. Ibadah ini juga sebenarnya adalah suatu lambang rahmat Islam itu sendiri terhadap haiwan serta alam keseluruhannya.

Daripada ibnu Umar ra : Bahawa beliau telah lalu terhadap suatu kaum yang membunuh binatang (untuk dimakan) dengan cara dibalingnya ayam tersebut hingga mati. Maka berkata ibu umar: Siapa yang buat ini? Sesungguhnya Rasulullah SAW melaknat sesiapa yang membuat perkara seperti ini. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Ketikamana sebahagian manusia bertindak menghina serta zalim terhadap binatang dikurung, diseksa serta dibunuh sesuka hati sedangkan sebahagian yang lain terlalu melampau memuliakan binatang hingga menjadikan binatang ini sebagai tuhan, najis mereka sebagai perkara yang suci namun Islam hadir dengan kefahaman wasatiyah serta rahmah yang sebenar. Binatang dan alam ini dilihat sebagai makhluk Allah swt yang pada mereka ada hak-hak yang perlu ditunaikan.

Atas asas inilah binatang sembelihan itu dilayan dengan penuh hormat sebagai makhluk Allah swt dalam suatu kaedah yang disebut sebagai “al-Ihsan”. Alat sembelihan mestilah benar-benar tajam, dibawa binatang dengan tenang, dihadapkan kearah qiblat, disembelih dengan dipastikan kedua-dua urat itu benar-benar putus, dipastikan benar-benar telah terputus nyawanya barulah dilapah dagingnya serta pelbagai adab lagi. Bahkan rahmah ibadah qurban itu bukan sekadar ketika sembelihan sahaja, tetapi ianya meliputi hal setelah itu seperti larangan pembuat korban mengambil lebih 1/3 daripada daging binatang itu, selebihnya anugerah ini hendaklah dikongsikan bersama umat Islam yang lain.

Dunia hari ini sangat mendahagakan qudwah seperti ini. Haiwan hari ini dilayan sebagai alat bagi memenuhi kehendak hawa nafsu harta kebanyakan manusia. Ianya disembelih sesuka hati, dibunuh sesuka hati serta diseksa sesuka hati. Maka pada keadaan ini  sangat perlu diketengahkan cara sebenar melayan makhluk ini sebenar-benarnya. Atas kelompongan inilah ibadah korban umat Islam perlu mengisi.

“Sesiapa dari kalangan manusia yang membunuh seekor burung atau yang selain darinya tanpa haknya, maka Allah akan meminta dia bertanggungjawab kelak di akhirat.” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apa haknya?” Rasulullah menjawab, “Disembelih lalu dimakan, dan janganlah seseorang memotong kepalanya (membunuhnya) lalu dibuang.” (Hadis Riwayat an-Nasaa’i, 13/312, no. 4274. Dinilai dhaif oleh al-Albani)

Ibadah qurban ini menjadi suatu lambang mulia bagaimana Islam mengajar akhlak bukanlah sekadar pada hubungan sesama manusia semata-mata, tetapi ianya meliputi haiwan bahkan seluruh alama ini. Kefahaman inilah yang sepatutnya kita fahami dengan betul lalu semakin meyakinkan kita bahawa atas dasar inilah umat Islam layak menjadi khalifah diatas dunia ini, selayaknya memimpin seluruh manusia amnya serta merasakan manusia hari ini wajib berada dibawah sistem Islam yang dilimpahi dengan rahmah ini. Inilah sebenarnya intipati kepada kalam Allah yang selalu kelompok ini sebutnya secara berulang-ulang tanpa pernah disebut bersama ayat setelah itu.

وَمَآ أَرۡسَلۡنَـٰكَ إِلَّا رَحۡمَةً۬ لِّلۡعَـٰلَمِينَ (١٠٧) قُلۡ إِنَّمَا يُوحَىٰٓ إِلَىَّ أَنَّمَآ إِلَـٰهُڪُمۡ إِلَـٰهٌ۬ وَٲحِدٌ۬‌ۖ فَهَلۡ أَنتُم مُّسۡلِمُونَ (١٠٨) فَإِن تَوَلَّوۡاْ فَقُلۡ ءَاذَنتُڪُمۡ عَلَىٰ سَوَآءٍ۬‌ۖ وَإِنۡ أَدۡرِىٓ أَقَرِيبٌ أَم بَعِيدٌ۬ مَّا تُوعَدُونَ (١٠٩)

Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. (107) Katakanlah: Sesungguhnya yang diwahyukan kepadaku (mengenai ketuhanan ialah) bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang bersifat Esa, maka adakah kamu mahu menurut apa yang diwahyukan kepadaku? (108) Sekiranya mereka berpaling ingkar maka katakanlah: Aku telah memberitahu kepada kamu (apa yang diwahyukan kepadaku) dengan keterangan yang jelas untuk kita bersama dan aku tidak mengetahui samada (balasan buruk) yang dijanjikan kerana keingkaran kamu itu, sudah dekat atau masih jauh. (Al-Anbiya: 109)

Mereka yang mengaku kononnya pejuang rahmat ini sepatutnya sibuk melawan sifat kebiadaban banyak syarikat multinasional barat dalam melayan binatang. Banyak dokumentari serta laporan berita yang mendedahkan tentang sifat buruk hawa nafsu serta hipokrit barat ini tetapi golongan ini terus senyap seribu bahasa perihal isu ini. Barat terus dipuji dan dimuliakan serta umat Islam terus diperlekeh serta dipersoal.

Seruan golongan seperti ini tiada bezanya dengan seruan sebelum ini supaya azan subuh tidak dilaungkan kerana akan menganggu manusia lain yang sedang lena tidur atau seruan supaya orang Islam tidak sepatutnya sebarkan agama mereka kepada manusia lain kerana menganggu ketenteraman awam. Bahkan seruan ini juga hakikatnya selari dengan seruan yang dilaungkan oleh barat selama ratusan tahun supaya dijadikan agama itu sekadar hal peribadi tanpa dikaitkan dengan masyarakat serta jauh sekali daripada pemerintahan.

Kalaulah ini yang dimaksudkan maka sesungguhnya Islam bukanlah seperti yang mereka fahami.

firdausUst Muhammad Firdaus bin Zalani

Pegawai Majlis Ulama ISMA

One thought on “Qurban adalah syiar Rahmat untuk sekelian alam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *