Ramadan mendidik kita cakna perihal Umat Islam

palestin ramadan

Adalah suatu perkara yang sangat merugikan apabila kita mendapat suatu anugerah daripada seseorang namun kita tidak tahu akan apakah tujuan daripada pemberian tersebut, adakalanya kita hanya memahami sebahagian fungsi anugerah tersebut namun gagal memahami sebahagian besar fungsinya yang lain. Lebih menyedihkan apabila anugerah tersebut terus diberi secara berulang-ulang kali oleh pemberi dengan harapan penerima tersebut kelak akan mendapat manfaat yang menyeluruh daripada anugerah tersebut.

Itulah Ramadan yang Allah SWT kurniakan kepada kita saban tahun, ianya adalah suatu anugerah khusus kepada umat Nabi Muhammad SAW yang padanya wujud pelbagai keistimewaan. Padanya diturunkan Al-Quran yang menjadi petunjuk juga pemisah antara hak dan batil (al-Furqan) supaya dengannya dapat menjadi panduan umat manusia keseluruhannya. Alangkah ruginya apabila kita tidak mendapat manfaat yang sempurna daripada anugerah ini.

Antara manfaat daripada bulan ini yang bagi saya kurang dijiwai dikalangan umat Islam khususnya di Malaysia adalah apabila kebanyakan kita membayangkan Ramadan itu sebagai bulan menyendiri (uzlah) serta duduk jauh daripada masyarakat. Dibayangkan pembentukan diri pada bulan ini sekadar berkait hubungan hamba dan Tuhan sahaja. Lalu kisah yang banyak diulang-ulang oleh penceramah berkenaan bulan ini adalah kisah ulama-ulama yang mengucapkan selamat tinggal sesama mereka apabila bulan ini tiba.

Punca kepada salah faham ini terjadi adalah apabila fahaman “sekular ibadah” ini tertanam dalam cara fikir kita tanpa kita sedari. Apabila tiba sahaja Ramadan yang disebut sebagai pesta ibadah maka kita membayangkan ibadah itu hanyalah perkara seperti membaca Al-Quran, solat, zikir, doa dan lain-lain. Ianya terhad kepada amalan-amalan berbentuk menyendiri dan tidak lebih daripada itu.

Sedangkan, hakikatnya erti ibadah itu jauh menjangkaui hal-hal tersebut. Hidup bermasyarakat serta cakna akan perihal umat juga adalah satu bentuk ibadah yang disarankan bahkan ditunjukkan sendiri oleh Baginda SAW di bulan yang mulia ini.

Kisah sirah Rasulullah saw dalam peperangan yang berlaku pada bulan ini seperti Badar, pembukaan kota Makkah dan banyak lagi peperangan yang berlaku pada zaman sahabat serta zaman-zaman khalifah setelah itu seperti Ain Jalut menjadi suatu bayangan akan hakikat Ramadan ini. Kita lupa, ianya adalah sebuah bulan perjuangan untuk mengangkat kalimah-Nya.

Hadis Rasulullah SAW yang mengisahkan akan ganjaran besar kepada mereka yang memberi makan berbuka puasa kepada orang lain di bulan yang mulia ini, juga seruan fuqaha’ agar solat sunat tarawih di malam-malam Ramadan hendaklah dilakukan secara berjemaah  jelas menunjukkan Ramadan mentarbiyyah kita hidup secara bermasyarakat.

Kita juga lupa bahawa sejak dariada kita sekolah rendah lagi, apabila disebut Ramadan maka terbayanglah akan tujuan lapar dan dahaga yang diwajibkan keatas seluruh umat Islam yang berbeza warna, bangsa juga kedudukan pangkat hanyalah untuk membentuk kesatuan antara umat. Kita adalah ahli keluarga besar walaupun berbeza rupa paras serta kedudukan. Supaya kita sedar kita adalah umat yang satu serta mempunyai misi yang satu-khalifah.

Sedarlah, bahawa antara tujuan utama bulan ini adalah untuk kita umat Islam keseluruhannya muhasabah bersama, kembali bertanya khabar akan keadaan saudara seaqidah kita tidak kira dimana mereka berada. Lalu perasaan ambil berat itu diterjemahkan kepada suatu usaha untuk kembali mengangkat peranan umat ini iaitu menjadi “saksi kepada seluruh manusia”.

Syiekh Dr Jamal Zawari Ahmad menyebut dalam suatu tulisannya berkenaan tarbiyyah politik dalam bulan Ramadan bahawa:

“Antara kesan besar bagi seorang mukmin di bulan Ramadan ini adalah ianya melahirkan sifat mengambil berat akan keadaan umat keseluruhannya khususnya di Palestin. Sebahagian ulama menyebut berkenaan ayat kefardhuan puasa (Al-Baqarah: 183) bahawa ayat tersebut terletak antara dua suruhan iaitu kefardhuan qisas (Al-Baqarah: 178) serta kefardhuan perang (Al-Baqarah: 216) membayangkan bahawa hubungan yang rapat antara bulan Ramadan, jihad mengangkat kalimah-Nya serta qisas terhadap perbuatan kejam musuh terhadap umat Islam. Dengan tarbiyyah Ramadan, ia menjadikan kemenangan itu suatu perkara yang semakin hampir”.

Tika mana kita banyak membelek helaian Al-Quran, kita juga sepatutnya turut sama membelek helaian-helaian akhbar berkenaan keadaan umat Islam di seluruh pelusuk dunia. Tika mana kita banyak bersedeqah di tabung-tabung masjid, kita juga perlu berusaha untuk menyalurkan sebahagian sumbangan kita kepada saudara seaqidah kita yang sedang diratah oleh musuh. Tika mana kita sibuk berdoa bagi pelbagai urusan kehidupan dunia kita, janganlah kita lupa untuk mendoakan ahli keluarga kita yang dengan berani menjadi benteng hadapan kepada umat ini.

Pengisian-pengisian di bulan yang mulia ini sepatutnya juga dihiasi dengan kisah-kisah perjuangan serta peperangan umat terdahulu di bulan ini disamping pengisian berkenaan kelebihan sedeqah, membaca Al-Quran dan lain-lain. Rahsia bagaimana Ramadan ini berjaya menyuntik suatu kekuatan yang luar biasa dalam jiwa umat ini sepatutnya dijadikan topik perbincangan kita. Akhirnya kita dapat fahami bagaimana dengan kekuatan inilah yang menjadi bekalan kepada umat sepanjang tempoh setahun sebelum ianya diperbaharui di Ramadan yang akan datang.

Sesungguhnya Ramadan itu hadir adalah untuk membentuk jiwa kita hingga menjadi seorang mukmin yang benar imannya, maka sepatutnya kita melihatnya sebagai suatu madrasah pembentukan yang menyeluruh mencakupi semua aspek dan bukannya pembentukan yang tempang. Seperti mana Islam mengambil berat hubungan manusia dengan sang Pencipta, ia juga melihat pentingnya hubungan manusia dengan manusia yang lain.

Tiada pisah antara keduanya!

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. (Al-Baqarah: 208)

firdaus

Ust Muhammad Firdaus Zalani

Pegawai Majlis Ulama ISMA (MUIS)

One thought on “Ramadan mendidik kita cakna perihal Umat Islam

  • June 23, 2015 at 4:57 am
    Permalink

    Istiqommah biarpun bersifat ‘kecil’.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *