Hubungan Orang Islam Dengan Bukan Islam : Salah Faham Konsep Wala’ dan Bara’

Pendahuluan

Dalam melaksanakan ajaran-ajaran Islam yang syumul, umat Islam dituntut bukan sekadar ikhlas, tetapi mestilah mengikut apa yang digariskan syara’.  Hari ini ramai dalam kalangan kita yang tidak mengetahui secara terperinci bahkan salah faham terhadap konsep wala’ dan bara’ yang sebenar. Sedangkan wala’ dan bara’ merupakan persoalan akidah yang mesti difahami dan diteliti kerana terdapat banyak firman Allah yang menyebut secara qat’ie tentang wala’ di dalam ayat al-Quran.

Justeru, melalui penulisan ini saya ingin berkongsi sedikit pengenalan tentang wala’ dan bara’, serta kepentingannya agar kita semua dapat mengenali konsep sebenar wala’ dan bara’ seterusnya mampu mengaplikasikannya dengan konsep yang sebenar  di Malaysia.

Pengertian Wala’ dan Bara’

Wala’ adalah مصدر (kata terbitan) bagi perkataan (ولي) yang membawa maksud pertolongan, perlindungan, ikutan, kecintaan, persahabatan, kesetiaan, maksud yang berlawanan dengan musuh dan sebagainya[1].

Manakala Bara’ pula daripada perkataan (برئ) yang membawa maksud berlepas diri atau menjauhkan diri, peringatan, dan permusuhan[2] .

Al-wala’ menurut istilah ialah memberi pertolongan, kasih sayang serta kemuliaan. Al-bara’ pula menjauhi dan melepaskan diri serta memusuhi selepas memberi peringatan dan amaran[3] .

Konsep Wala’ dan Bara’[4]

Wala` yang sebenar hanya diberikan kepada Allah, Nabi SAW dan orang-orang yang beriman.

إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ اللّهُ وَرَسُولُهُ وَالَّذِينَ آمَنُواْ الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلاَةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ رَاكِعُونَ

“Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, dan mereka tunduk kepada Allah.”

(Al-Maidah: 55)

Wala` kepada orang-orang beriman adalah dengan mencintai mereka karena iman mereka, menolong, menasihati, mendoakan, mengucapkan salam kepada mereka, menziarahi yang sakit, mengiringi jenazah bagi yang mati, membantu mereka dan berkasih sayang dengan mereka.

Bara` kepada orang-orang kafir pula adalah dengan membenci mereka dari segi agama, berlepas diri dari mereka, tidak cenderung kepada mereka atau mengagumi mereka, berhati-hati sehingga tidak meniru mereka, menyelisihi mereka secara syar’ie, berjihad melawan mereka dengan harta, lisan dan pedang dan lain-lainnya yang merupakan tuntutan dari memusuhi karena Allah.

Kepentingan Wala’ dan Bara’ dalam Islam[5]

  1. Sesungguhnya wala` dan bara` merupakan syarat iman sebagaimana firman Allah swt :

تَرَى كَثِيرًا مِّنْهُمْ يَتَوَلَّوْنَ الَّذِينَ كَفَرُواْ لَبِئْسَ مَا قَدَّمَتْ لَهُمْ أَنفُسُهُمْ أَن سَخِطَ اللّهُ عَلَيْهِمْ وَفِي الْعَذَابِ هُمْ خَالِدُونَ وَلَوْ كَانُوا يُؤْمِنُونَ بِالله والنَّبِيِّ وَمَا أُنزِلَ إِلَيْهِ مَا اتَّخَذُوهُمْ أَوْلِيَاء وَلَـكِنَّ كَثِيرًا مِّنْهُمْ فَاسِقُونَ

“Kamu melihat kebanyakan dari mereka tolong-menolong dengan orang-orang kafir. Sesungguhnya amat buruklah apa yang mereka sediakan untuk diri mereka, iaitu kemurkaan Allah kepada mereka, dan mereka akan kekal dalam seksaan. Sekiranya mereka beriman kepada Allah, kepada Nabi dan kepada apa yang diturunkan kepadanya, maka mereka tidak akan mengambil orang-orang kafir itu menjadi penolong-penolong, tetapi kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.” (Al-Maidah: 80-81)

Ibnu Taimiyah berkata tentang ayat ini:  “Ayat al-Quran ini menggunakan jumlah syartiyyah dengan menggunakan huruf (لو ) ‘sekiranya’. Jumlah syartiyyah ini menghendaki penafian kepada tuntutannya. Allah berfirman, “Sekiranya mereka beriman kepada Allah, kepada Nabi dan kepada apa yang diturunkan kepadanya (Nabi), maka mereka tidak akan mengambil orang-orang kafir itu menjadi penolong.” (Al-Maidah: 82).

Ini menunjukkan bahwa iman yang disebut dalam ayat ini menafikan, menentang dan menolak pengambilan orang-orang kafir sebagai penolong. Barangsiapa mengangkat mereka menjadi penolong, maka dia tidak menunaikan iman yang diwajibkan kepadanya iaitu beriman kepada Allah, Nabi dan apa yang diturunkan kepadanya.”

  1. Wala` dan bara` adalah tali simpul iman terkuat sebagaimana sabda Nabi SAW ;

(أوثق عرى الإيمان الحب في الله والبغض في الله)

“Tali simpul iman terkuat adalah menyintai karena Allah dan membenci karena Allah.”

(Riwayat Ahmad dan Hakim)

Syeikh Sulaiman bin Abdullah, penulis kitab Taisir al-Aziz al-Hamid, Syarah Kitab at-Tauhid berkata:

“Agama akan menjadi sempurna, jihad dapat ditegakkan serta panji amar makruf dan nahi mungkar dapat dikibarkan, sekiranya cinta kerana Allah, benci kerana Allah serta wala’ dan bara’ kerana Allah.  Jika manusia bersatu di atas cara yang satu dan mengasihi orang-orang kafir tanpa permusuhan dan kebencian, maka tidak akan ada perbezaan di antara yang hak dengan yang batil, tidak pula antara orang-orang mukmin dengan orang-orang kafir.

Jenis Wala’ yang Diharamkan

Syeikh Sa’id Hawwa berkata  dalam buku penulisannya Jundullah Thaqafatan wa Akhlaqan[6] :

Sebahagian daripada nas-nas al-Quran dan sunnah ada menggariskan tanda-tanda wala’ yang diharamkan yang menjadikan orang yang beriman itu menjadi munafik dan mengeluarkan seseorang muslim itu dari sifat-sifat Islam.

Antara wala’ yang diharamkan oleh Allah:

  1. Memberi pertolongan atau kesetiaan, ketiadaan taat kepada Allah bersama-sama

dengan orang kafir, serta ada ikatan yang teguh dengan mereka.

Firman Allah :

أَلَمْ تَرَ إِلَى ٱلَّذِينَ نَافَقُوا۟ يَقُولُونَ لِإِخْوَٰنِهِمُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ مِنْ أَهْلِ ٱلْكِتَٰبِ لَئِنْ أُخْرِجْتُمْ لَنَخْرُجَنَّ مَعَكُمْ وَلَا نُطِيعُ فِيكُمْ أَحَدًا أَبَدًا وَإِن قُوتِلْتُمْ لَنَنصُرَنَّكُمْ

“Apakah kamu tidak memerhatikan orang-orang munafik yang berkata kepada saudara-saudara mereka yang kafir di antara ahli kitab: “Sesungguhnya jika kamu diusir nescaya kami pun akan keluar bersamamu,  dan kami selama-lamanya tidak akan patuh kepada siapapun untuk (menyusahkan) kamu, dan jika kamu diperangi pasti kami akan membantu kamu.”

(Al-Hasyr : 11)

Termasuk wala’ yang diharamkan dalam bahagian ini adalah perbuatan orang-orang politik yang mengangkat orang-orang kafir dan mulhid (atheis) samada mereka itu daripada individu, jemaah atau kumpulan. Termasuk juga perbuatan orang-orang yang ‘berintisab’ (berhubung,bersetuju,menyokong) dengan parti atau kumpulan yang sesat.

  1. Memberikan rahsia orang-orang mukmin kepada orang-orang kafir. 

Firman Allah ;

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَتَّخِذُوا۟ عَدُوِّى وَعَدُوَّكُمْ أَوْلِيَآءَ تُلْقُونَ إِلَيْهِم بِٱلْمَوَدَّةِ

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuhmu menjadi teman-teman setia yang kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita Muhammad), kerana rasa kasih sayang..” (al-Mumtahanah : 1)

Kata Imam Ibnu Kathir ;

Adapun sebab turunnya surah tersebut adalah kisah Hatib bin Abi Baltaah, di mana Hatib ini adalah salah seorang lelaki Muhajirin, beliau juga salah seorang ahli badar (ikut dalam perang Badar), masih mempunyai anak dan harta di Mekah. Apabila Rasulullah saw berazam untuk menyerang Mekah (fathul Makkah), pada waktu itu Rasulullah saw memerintahkan para sahabat bersedia dengan kelengkapan perang dan berdoa:

اللهم عم عليهم خبرنا

 “Wahai Tuhan! Sembunyikanlah berita kami ini daripada pengetahuan mereka

 Hatib ingin membocorkan rahsia tersebut kepada ahli keluarganya di Mekah dengan mengirimkan surat melalui seorang wanita Quraisy untuk memberitahu mereka berita tentang keinginan Rasulullah SAW. Allah telah mewahyukan kepada Nabi saw berkenaan dengan perbuatan Hatib sebagai tanda mengabulkan doa Rasulullah SAW, lalu baginda SAW menghantar utusan bagi merampas kembali surat  tersebut.

Jelas di sini, memberitahu kepada orang kafir tentang rahsia-rahsia orang mukmin untuk menggagalkan perancangan orang mukmin atau kerana takutkan orang kafir adalah merupakan wala’ yang terkeluar daripada iman melainkan orang-orang yang bertaubat.

  1. Kecintaan dan kasih sayang

Firman Allah ;

لَّا تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْاخِرِ يُوَآدُّونَ مَنْ حَآدَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ

“Kamu tak akan mendapati kaum yang beriman pada Allah dan hari akhirat, saling berkasih-sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya..”(al-Mujadalah : 22)

Rasulullah SAW bersaba ;

{المرء مع من أحبه}

“Seseorang itu bersama-sama dengan orang yang dicintainya.” (Muttafaqun alaih)

Ibnu Mas’ud berkata:

“Sekiranya hamba Allah itu di antara batu dan maqam selama tujuh puluh tahun, tidak dikumpulkan oleh Allah melainkan bersama-sama dengan orang yang dicintainya.”

Barangsiapa yang hatinya cenderung kepada kaum yang melakukan maksiat serta redha dengan perbuatan maksiat mereka, maka dia termasuk dalam golongan maksiat tersebut. Sama juga keadaannya apabila berjauhan dengan mereka (tetapi hatinya menyokong).

Rasulullah SAW bersabda ;

إذا عملت خطيئة في الأرض كان من شهدها فكرها كمن غاب عنها، ومن غاب عنها فرضيها كان كمن شهدها

“Sekiranya seseorang melakukan kesalahan di bumi, dan ada yang menyaksikannya, maka hendaklah dia membencinya, sama juga seperti orang yang tidak bersama dengannya. Sekiranya seseorang yang tidak bersama dengannya (orang yang melakukan kesalahan) lalu dia meredhainya, maka dia sama seperti orang yang menyaksikannya.” (Riwayat Abu Daud)

  1. Duduk bersama dengan orang-orang kafir dan munafik (dalam satu majlis) secara rela hati dan mendengar percakapan mereka tanpa membantah, marah atau keluar daripada majlis tersebut.

Firman Allah ;

وَقَدْ نَزَّلَ عَلَيْكُمْ فِى ٱلْكِتَٰبِ أَنْ إِذَا سَمِعْتُمْ ءَايَٰتِ ٱللَّهِ يُكْفَرُ بِهَا وَيُسْتَهْزَأُ بِهَا فَلَا تَقْعُدُوا۟ مَعَهُمْ حَتَّىٰ يَخُوضُوا۟ فِى حَدِيثٍ غَيْرِهِۦٓ ۚ إِنَّكُمْ إِذًا مِّثْلُهُمْ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ جَامِعُ ٱلْمُنَٰفِقِينَ وَٱلْكَٰفِرِينَ فِى جَهَنَّمَ جَمِيعًا

“Dan sungguh Allah telah menurunkan kepada kamu di dalam Al Quran bahwa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk bersama mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain. Karena sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan semua orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam Jahannam.” (an-Nisa’ : 140)

Demikianlah Allah berfirman, إِنَّكُمْ إِذًا مِّثْلُهُمْ : Sesungguhnya (apabila kamu berbuat demikian), jadilah kamu serupa dengan mereka.

Banyak tanda-tanda yang termasuk dalam perkara ini, antaranya ialah apabila seseorang insan itu menyokong seruan orang-orang kafir, atheis, orang yang melakukan maksiat serta syahwat (hawa nafsu), atau menghadiri perayaan agama mereka.

Termasuk juga dalam perkara tersebut adalah berhubung dengan parti-parti (kumpulan) orang kafir serta mendokong pencalonan dan pilihan raya mereka.  Semuanya itu merupakan sebesar-besar jenis wala’ yang berlaku di zaman kita. Tiada keraguan lagi bahawa sesiapa yang berbuat demikian maka dia telah mengeluarkan dirinya dari sempadan keimanan kepada sempadan nifaq.

Rasulullah SAW bersabda;

من فارق الجماعة قيد شبر فقد خلغ ربقة الاسلام من عنقه وإن صلى وصام وزعم أنه مسلم

Sesiapa yang keluar daripada Jemaah sekadar satu jengkal, maka dia telah meleraikan ikatan Islam dari tengkuknya meskipun dia solat dan puasa dan menyangka bahawa dia muslim.”

(Riwayat Ahmad dan Tarmizi)

  1. Memberi ketaatan.

Sesungguhnya Allah telah mengharamkan ke atas kita mentaati orang-orang kafir dan munafik sehingga kita tidak mejadi seperti mereka. Al-Quran telah menjelaskan secara terperinci berkenaan dengan mereka yang diharamkan bagi kita memberikan ketaatan.

Firman Allah ;

وَإِن تُطِعْ أَكْثَرَ مَن فِى ٱلْأَرْضِ يُضِلُّوكَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ ۚ إِن يَتَّبِعُونَ إِلَّا ٱلظَّنَّ وَإِنْ هُمْ إِلَّا يَخْرُصُونَ

“Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini, niscaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah).”

( Al-An’am Ayat: 116)

 Firman Allah lagi ;

وَلَا تُطِعِ ٱلْكَٰفِرِينَ وَٱلْمُنَٰفِقِينَ وَدَعْ أَذَىٰهُمْ وَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ ۚ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ وَكِيلًا

“Dan janganlah kamu menuruti orang-orang yang kafir dan orang-orang munafik itu, janganlah kamu hiraukan gangguan mereka dan bertawakkallah kepada Allah. Dan cukuplah Allah sebagai Pelindung.” (Al-Ahzab : 48)

Firman Allah lagi ;

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِن تُطِيعُوا۟ فَرِيقًا مِّنَ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَٰبَ يَرُدُّوكُم بَعْدَ إِيمَٰنِكُمْ كَٰفِرِينَ

“Hai orang-orang yang beriman, jika kamu mengikuti sebahagian dari orang-orang yang diberi Al Kitab, niscaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang kafir sesudah kamu beriman.” (Ali Imran : 100) 

  1. ‘Tasyabbuh’ (penyerupaan). Sabda Rasulullah SAW ;

من تشبه بقوم فهو منهم

“Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka.”

(Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Thabrani)

Sesiapa yang menyerupai dengan Rasulullah SAW dan para sahabatnya, sesungguhnya dia telah berwala’kan mereka dan dia dari kalangan mereka. Sesiapa yang menyerupai orang-orang kafir maka dia adalah dari kalangan mereka. Tidak termasuk apa yang diperkatakan itu perkara-perkara yang disepakati bersama  oleh manusia seperti makan, minum, dan berpakaian, akan tetapi apa yang diperkatakan itu adalah bentuk syiar atau lambang khusus bagi orang kafir.

Salah Faham Tentang Konsep Wala’ dan Bara’ di Malaysia 

Banyak fenomena atau situasi yang berlaku disebabkan salah faham umat Islam terhadap konsep wala’ dan bara’. Kita ambil contoh di Malaysia bagaimana berlakunya situasi salah faham umat Islam terhadap konsep ini. Antaranya :

  1. Menjadikan orang kafir sebagai orang yang terpecaya, memberi jawatan yang tinggi bagi mengendalikan masalah negara serta menjadikan mereka sebagai penasihat.

Apabila melihat sejarah Nabi Muhammad SAW hanya sedikit sahaja kisah yang didapati bagaimana Rasulullah SAW meminta tolong dengan orang kafir seperti menjadikan Abdullah bin Uraiqat seorang musyrikin yang diupah sebagai penunjuk jalan tersembunyi menuju ke Madinah, dan bagaimana Rasulullah SAW meminjam senjata peperangan dari Safwan bin Umaiyah yang masih lagi seorang musyrik ketika itu.

Jika diteliti perkara ini, Rasulullah SAW hanya meminta tolong bukan pada perkara-perkara yang besar seperti melibatkan negara. Syeikh Muhammad Sa’id Ramadan al-Buti di dalam kitabnya Fiqh Al-Seerah menyatakan bahawa meminta pertolongan daripada orang kafir harus dengan syarat orang Islam merasa yakin terhadap kebenaran dan kejujuran mereka, tidak menyebabkan orang Islam dikuasai orang lain atau menyebabkan tertinggalnya sebahagian perkara wajib dan fardhu yang dituntut dalam agama serta tidak menjejaskan kehormatan dan maruah orang Islam.[7]

  1. Memberikan wala’ kepada parti dan pimpinan parti, atau jemaah yang tidak berdiri di atas satu akidah.

Salah anggap ini berlaku kerana mereka mendapati syiar parti tersebut tidak bercanggah dengan Islam, malah menguntungkan Islam. Perkara ini adalah tidak betul sama sekali, kerana  dasar pertubuhan parti atau kumpulan tersebut bukanlah untuk menaikkan agama Islam bahkan mereka tidak pernah berhasrat untuk menegakkan syariat-syariat Allah di atas muka bumi ini. Hal ini berbeza dengan prinsip umat Islam.

  1. Banggakan mereka

Ramai umat Islam hari ini menyatakan kebanggan mereka kepada orang bukan Islam seperti sistem pendidikan yang mereka jalankan, sistem negara serta demokrasi yang mereka laungkan, sistem sosial yang mereka bawa, terkesan dengan liberalisma dan pluralisma, malah ada juga yang sudah terpengaruh dengan gaya hidup mereka. Hakikatnya kita lupa bahawa rosaknya akidah dan batilnya hati mereka jauh berbeza dengan kesempurnaan Islam yang telah Allah kurniakan kepada kita.

Firman Allah ;

وَلَا تَمُدَّنَّ عَيْنَيْكَ إِلَىٰ مَا مَتَّعْنَا بِهِۦٓ أَزْوَٰجًا مِّنْهُمْ زَهْرَةَ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا لِنَفْتِنَهُمْ فِيهِ ۚ وَرِزْقُ رَبِّكَ خَيْرٌ وَأَبْقَىٰ

“Dan janganlah kamu tujukan kedua matamu kepada apa yang telah Kami berikan kepada golongan-golongan dari mereka, sebagai bunga kehidupan dunia untuk Kami cubai mereka dengannya. Dan karunia Tuhan kamu adalah lebih baik dan lebih kekal.” (Thaaha : 131)

Kesimpulan

Sesungguhnya wala’ adalah persoalan yang tidak pernah mengenal tolak ansur lantaran ianya adalah persoalan akidah, persoalan yang disebut secara qat’ie di dalam al-Quran. Akidah yang benar akan membezakan seseorang itu daripada orang-orang kafir dan golongan munafik.

Bertitik tolak dari ini, Islam dan bukan Islam tidak boleh bersatu kerana masing-masing mempunyai prinsip yang berbeza. Umat Islam yang mempunyai prinsip dasar kepada akidah Islam berusaha untuk menaikkan agama Allah tidak akan mampu mencapai kata sepakat dengan orang bukan Islam dalam isu politik. Mana mungkin prinsip yang berlainan dapat bekerjasama, saling bantu-membantu dan mencapai kata sepakat dalam memperjuangkan prinsip masing-masing.

Sesungguhnya perbuatan politik Islam yang betul ianya tidak bertentangan dengan Islam dan berasaskan syara’, berazam untuk meninggikan syiar agama Islam, dan dalam waktu yang sama ia tidak memberi ketaatan kepada orang kafir. Politik yang seumpama ini kita boleh beri wala’ kepadanya.

Tetapi tidaklah bermaksud umat Islam membenci dan memusuhi orang bukan Islam semata-mata tanpa menafikan sifat toleransi dan tolak ansur kepada mereka. Umat Islam diperintahkan agar berbuat baik, bersopan santun dan berkata-kata yang mulia kepada mereka dalam perkara-perkara yang tidak melibatkan soal akidah, dan hubungan yang baik itu tidaklah sama sekali meredhai mereka kekal dengan agama mereka.

Dhabitah Panjaitan binti Maruli

Calon Ijazah Sarjana Usuluddin

Universiti Yarmouk, Jordan

Rujukan

[1] Ibnu Manzur, Lisanul Arab, jld 15, m/s 406-409

[2] Ibid,  jld 1, m/s 33

[3] Syeikh Muhammad bin Sa’id alQahtani, Al-Wala’ wal Bara’ Fil Islam, m/s 89-90

[4] Abdul Aziz bin Muhammad Abdul Lathif, Nawaqidhul Iman al-Qauliyyah wal Fi’liyyah, m/s 360-361

[5] Ibid, m/s 358

[6] Syeikh Sa’id Hawwa, Jundullah Thaqafatan wa Akhlaqan, m/s 206-212

[7] Syeikh Syeikh Muhammad Sa’id Ramadan al-Buti, Fiqh Al-Seeran An-Nabawiyyah, mls 308

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *